Penjaga gol utama AS Roma dan Brazil, Alisson Becker kini menjadi buruan beberapa kelab terkemuka dunia untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi musim hadapan.
Chelsea, Liverpool dan Real Madrid merupakan antara kelab yang menunjukkan minat terhadap penjaga gol berusia 25 tahun yang kini dalam persiapan ke Piala Dunia 2018.
Alisson menegaskan bahawa beliau mahu keputusan mengenai masa depannya akan dirungkaikan sebelum sepak mula aksi di Rusia yang tinggal beberapa hari sahaj lagi.
”Saya percaya dan mengharap agar segalanya dapat diselesaikan sebelum bermulanya Piala Dunia.”
”Sejujurnya saya menyerahkan segala-galanya ditangan ejen saya,” jelas Alisson bercakap selepas perlawanan yang menyaksikan Brazil menang 3-0 keatas Austria pada Ahad lalu.
”Sekiranya tidak dapat diselesaikan sebelum Piala Dunia, ia akan dibincangkan selepas itu kerana tumpuan saya kini hanya untuk Brazil (menghadapi Piala Dunia).
Alisson juga masih belum dapat membayangkan pasukan mana yang bakal disertainya.
”Kami akan melihat apa yang bakal terjadi pada minggu ini.”
Alisson Becker masih mempunyai kontrak sehingga tahun 2021 bersama AS Roma dan tidak mustahil juga untuk beliau terus kekal bersama pasukan dalam saingan Serie A itu.
Becker menjadi tunjang utama buat AS Roma sehingga berjaya melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.