Bagaimana Tite mahu melakukannya? Episod dibelasah oleh Jerman dengan jaringan 7-1 di Piala Dunia 2014, dianggap sebagai episod memalukan buat Brazil. Apatah lagi ketika bergelar tuan rumah.
Namun bagaikan ada hikmah di sebaliknya, Brazil kembali bangkit terutama sejak dua tahun yang lalu di bawah kendalian Tite.
Skuad Brazil ke Rusia
Tite tidak membuang masa menamakan senarai pemain yang akan dibawa ke Rusia, mengumumkannya seramai 15 pemain seawal Februari lalu, sebelum melengkapkan senarai akhir 23 pemain pada pertengahan Mei.
Ia adalah indikasi jelas keyakinan yang dimiliki oleh Tite terhadap pemain-pemainnya.
Tiada tempat untuk mereka yang beraksi di China seperti Oscar dan Hulk, namun Tite masih menaruh keyakinan kepada Renato Agusto yang beraksi bersama Beijing Guoan.
Pemilihan skuad Brazil turut dibayangi dengan kecederaan bintang utama, Neymar. Namun penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu sudah mulai menyertai latihan, dan perlawanan persahabatan sebagai persiapan cabaran di Rusia.
Cabaran Brazil
Selepas apa yang berlaku pada empat tahun yang lalu ketika bergelar tuan rumah, Tite sudahpun melaungkan keyakinan mampu melakukan pencapaian lebih baik berbanding skuad Zico.
Empat tahun yang lalu, Brazil mengakhiri cabaran di tempat keempat, dan turut dipalit dengan kekalahan memalukan 7-1 ke atas juara, Jerman.
Diundi di dalam Kumpulan E, Brazil boleh dianggap sebagai pasukan pilihan utama apabila diundi bersama Switzerland, Costa Rica dan juga Serbia.
Analisis taktikal
Brazil dikenali sebagai sebuah pasukan menyerang dengan corak permainan menarik sejak dahulu lagi.
Walaupun tanpa Neymar, skuad sedia ada masih mampu mengatasai sistem pertahanan yang paling kompak di dunia.
Walaupun memiliki rangkaian pemain tengah dan penyerang yang prolifik, salah satu isu yang sentiasa menyelubungi skuad Brazil ialah sistem pertahanan mereka yang rapuh.
Namun Tite yang mengambil alih pasukan ini sejak dua tahun yang lalu, berjaya memberi kestabilan kepada pasukan ini. Bagaimana Tite melakukannya?
Pasukan Brazil kendalian Tite dibentuk menggunakan formasi 4-3-3, di mana 3 barisan hadapan ditugaskan untuk menyukarkan pertahanan lawan mengeluarkan bola dari zon bahaya.
Gabriel Jesus berperanan memintas bola dari pertahanan kepada pemain tengah lawan, dan adakalanya ditugaskan melakukan larian untuk melakukan tekanan kepada pertahanan tengah lawan.
Neymar biasanya akan berada di sebelah kiri dan sama ada Douglas Costa, Willian ataupun Philippe Coutinho akan berada di sebelah kanan, berada di antara pemain tengah dan pemain bek lawan.
Kedudukan ini membenarkan pemain-pemain ini untuk melakukan pressing (tekanan) ke atas pemain lawan, ketika lawan mengubah transisi permainan kepada menyerang.
Selain membenarkan Brazil memenangi bola dengan secepat mungkin, sistem ini turut menafikan lawan untuk melakukan serangan balas pantas.
Selepas barisan tiga pemain pertama di bahagian serangan, pasukan Brazil ini turut memiliki 3 pemain tengah yang mempunyai kestabilan di dalam aspek pertahanan.
Ketika lawan masih lagi memiliki penguasaan bola di tempat sendiri, lawan tidak diberi ruang di bahagian tengah sehingga memaksa bola dihantar ke bahagian sisi sayap.
Ini akan menyebabkan dua pemain sayap Brazil akan turun sedikit ke bawah untuk membentuk 4-5-1.
Di dalam sistem pertahanan oleh Tite ini, dua bek sayap Brazil tidak perlu keluar dari garisan pertahanan masing-masing untuk mengekalkan bentuk kompak di bahagian belakang.
Sistem ini turut memudahkan Brazil memerangkap lawan di garisan tepi padang untuk mematikan serangan lawan.
Secara keseluruhan, sistem pertahanan zonal dan pressing yang efektif telah berjaya memberikan kestabilan kepada Brazil. Ia membenarkan mereka memenangi bola di garisan atas secepat mungkin, memungkinkan untuk memberi ancaman kepada lawan sekaligus memberikan lebih perlindungan kepada pertahanan.
Pemain tumpuan
Neymar dijangka akan cergas sepenuhnya untuk Brazil setelah berehat selama dua bulan akibat kecederaan ketika bersama Paris Saint-Germain (PSG).
Dianggap sebagai antara pemain terbaik dunia, namun sentiasa dibayangi oleh bekas rakan sepasukan di Barcelona, Lionel Messi dan juga Cristiano Ronaldo, Piala Dunia adalah pentas terbaik untuk Neymar membuktikan dirinya.
Selain Neymar, anggota termuda di dalam skuad Brazil ini, Gabriel Jesus turut harus diberikan tumpuan oleh lawan.
Pemain ini menunjukkan prestasi yang baik pada musim lalu. Merupakan pilihan utama Guardiola untuk menggantikan Sergio Aguero, sehingga kecederaan pada musim lalu, Roberto Firmino adalah saingan Jesus untuk peranan sebagai No.9 di dalam skuad Brazil ini.
Sasaran realistik
Brazil sentiasa mensasarkan kejuaraan di dalam setiap edisi Piala Dunia. Walau betapa teruk prestasi semasa mereka sebelum Piala Dunia, Brazil sentiasa adalah Brazil.
Mereka boleh menghiburkan kita dengan bola sepak ibarat tarian samba mereka walaupun tidak berada di prestasi terbaik, atau mengejutkan dunia dengan tersungkur sepertimana yang mereka lalui ketika bergelar tuan rumah empat tahun yang lalu.
Namun dalam edisi pada kali ini, suku akhir adalah sasaran yang paling realistik. Tetapi sepertimana yang diperkatakan tadi. Brazil selamanya adalah Brazil walau sepincang manapun.
Siapa tahu apa skuad kendalian Tite yang serba serbi lebih baik dari skuad 4 tahun yang lalu mampu capai?
Penutup
Segalanya kini terserah kepada Neymar dan rakan-rakan untuk meneruskan tradisi Brazil sebagai salah sebuah kuasa bola sepak dunia.
Di dalam kejohanan apa sekali pun, Brazil sentiasa adalah salah sebuah pasukan tumpuan dunia.
Mampukan barisan pemain sedia ada meletakkan nama mereka sebaris dengan senarai legenda sepanjang zaman Brazil yang lain?