Aksi unifi Liga Super Malaysia semalam menyaksikan satu perlawanan sahaja berlangsung namun ianya perlawanan yang cukup menarik yang diadakan.
Dua pasukan Selangor iaitu PKNS FC dan juga Selangor bertemu sesama sendiri untuk kali kedua dalam aksi liga di Stadium Shah Alam.
PKNS FC pastinya mahu membalas dendam di atas kekalahan di Cheras tempoh hari sementara Selangor mahu mencatat kemenangan berganda ke atas Sang Semut Merah dalam saingan liga.
Di separuh masa pertama perlawanan, PKNS FC lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan pelbagai asakan ke kubu pihak lawan.
Teraju serangan tuan rumah yang diketuai oleh Rafael Ramazotti dan juga Faris Ramli beberapa kali mengucar-kacirkan pertahanan pihak lawan dan menguji penjaga gol – Khairul Azhan Khalid.
Hasilnya pada minit ke-18, Ramazotti berjaya meledak gol pertama tuan rumah.
Gerakan yang bermula dari sebelah kiri padang berjaya disudahkan dengan satu rembatan dengan yang menuju ke bumbung gol Selangor.
Separuh masa kedua menyaksikan pasukan Selangor pula melakukan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah.
Beberapa siri percubaan yang dilakukan dari luar kotak penalti seperti dari Amri Yahyah dan juga K. Kannan bagaimanapun gagal menghasilkan bahaya buat PKNS FC.
Tandukan Rufino Segovia dari dalam kotak penalti juga tidak mampu menghasilkan gol apabila usahanya ditepis keluar penjaga gol – Taufiq Rasyid.
Usaha Selangor untuk menjaringkan gol berhasil pada minit ke-79 menyaksikan pasukan Selangor berhasil mendapatkan gol menerusi Segovia.
Sama seperti gol PKNS FC, gerakan dari sebelah kiri yang dimulakan Rufino sendiri kemudiannya disudahkan beliau menerusi tandukan.
Untuk rekod, ia merupakan gol pertama Segovia untuk Selangor di gelanggang lawan dalam saingan liga pada musim ini.
Drama hadir pada fasa akhir perlawanan apabila Selangor berjaya mendapatkan gol kedua mereka menerusi D. Kugan.
Hantaran lintang dari sebelah kiri berjaya melepasi beberapa pertahanan PKNS FC dan jatuh di kaki Kugan.
Beliau dengan mudah menolak masuk bola itu melepasi celah kangkang Taufiq.
Dikala Selangor berasakan mereka bakal pulang dengan 3 mata, Ramazotti sekali lagi hadir untuk mengecewakan Selangor.
Tandukan beliau hasil sepakan percuma berjaya ditanduk dan menerjah jaring menewaskan Azhan pada masa kecederaan.
Hasil keputusan seri ini menyaksikan PKNS FC kini mengumpul 20 mata di tangga keenam sementara Selangor mengumpul 18 mata di tangga kelapan.
Selangor bagaimanapun berkelebihan 1 perlawanan mengatasi PKNS FC.