Kekalahan 4-1 kepada Colombia dalam aksi kumpulan C pada Piala Dunia 2014 yang lalu, mahu ditebus semula oleh pemain pertahanan Jepun, Maya Yoshida apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu pada 19 Jun ini dalam saingan Kumpulan H.
Yoshida dan rakan sepasukan terpaksa akur pasukan mereka disingkirkan oleh Colombia dalam perlawanan penentuan peringkat kumpulan C.
Bercakap kepada FIFA.com, pemain pertahanan Southampton itu berkata tidak pernah lupa bagaimana Colombia menunjukkan mereka jalan keluar di Piala Dunia empat tahun yang lalu.
“Kami berada dalam situasi yang sukar bertemu Colombia dalam perlawanan yang dianggap sebagai penentuan pada ketika itu.”
“Apabila bertemu Colombia, kami berada dalam senario wajib menang, memandangkan kami tewas pada perlawanan pertama keatas Ivory Coast sebelum seri dengan Greece.”
“Kekalahan ke atas Ivory Coast menjadi beban kepada kami. Kami berjaya menjaringkan gol diawal perlawanan tetapi akhirnya kami ketinggalan dan tewas.”
“Jadi bertemu Colombia merupakan situasi yang sukar bagi kami dan mereka (Colombia) telah mengajar kami bertapa sukarnya bermain di Piala Dunia.”
Mengulas mengenai perlawanan yang melibatkan pasukannya di Rusia nanti, Yoshida turut berpendapat perlawanan kali ini adalah berbeza berbanding empat tahun dahulu dan bertekad untuk membalas dendam pada pertemuan pertama bertemu Colombia.
“Saya sangat teruja untuk bertemu mereka (Colombia) semula. Tetapi kali ini situasinya jauh berbeza berbanding yang lepas.” ujar Yoshida.
“Empat tahun lalu, kami berdepan mereka pada perlawanan terakhir, tetapi di Rusia nanti kami akan bertemu satu sama lain dalam perlawanan pertama.”
“Kebiasaanya, perlawanan pertama ini merupakan perlawanan yang sukar bagi setiap pasukan dan Colombia tidak terkecuali. Saya pasti ianya akan menjadi perlawanan yang sengit.”