Eropah Timur atau pernah dikenali Tirai Besi Eropah pernah menyaksikan kebangkitan pasukan-pasukan terbaik. Dahulu,
kita pernah lihat 3 gergasi besar iaitu Kesatuan Soviet, Yugoslavia dan Czechoslovakia.
Namun, nama-nama ini sudah ditimbus zaman tatkala rebahnya penguasaan komunis. Kita imbas kembali, barisan terbaik
mereka dalam kancah Piala Dunia.
Pembukaan
Sebenarnya, FIFA telah menetapkan segala statistik negara-negara yang hilang di peta dunia kepada negara tertentu. Sebagai contoh, rekod Rusia dipilih untuk mewarisi semua statistik bagi Kesatuan Soviet.
Serbia pula mewarisi rekod bagi Yugoslavia yang sudah dibubarkan. Rekod Czechoslovakia pula dipegang oleh Republik Czech.
Debut
Romania dan Yugoslavia membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia 1930. 4 tahun kemudian, Czechoslovakia dan Hungary pula
menjadi muncul dalam Piala Dunia.
Pada kejohanan 1938, Poland pula menjadi wakil terbaru dari kalangan negara Eropah Timur.
20 tahun berselang, Kesatuan Soviet tampil buat kali pertama dalam saingan Piala Dunia iaitu pada 1958. Pada edisi 1962,
Bulgaria telah beraksi di kejohanan ini buat pertama kali.
Siapa masih ingat pertemuan sesama Jerman pada 1974? Pada kejohanan tahun itulah, Jerman Timur membuat debut dalam Piala Dunia.
Rebah dan bangkit semula
Anggota mantan Kesatuan Soviet, Rusia membuat penampilan pertama pada Piala Dunia 1994. Ukraine pula bersaing dalam kancah Piala Dunia untuk kali pertama pada edisi 2006.
Bagi negara-negara serpihan Yugoslavia, Croatia turun ke gelanggang kejohanan ini ketika kejohanan Perancis 1998. 4 tahun kemudian, giliran milik Slovenia pula.
Bosnia dan Herzegovina menjadi pasukan terbaru daripada Yugoslavia bersaing di Piala Dunia iaitu kejohanan 2014 di Brazil.
Czechoslovakia berpecah kepada dua sahaja iaitu Republik Czech dan Slovakia. Slovakia menyertai Piala Dunia pada 2010 di bawah entiti sendiri.
Siapakah terbaik?
Czechoslovakia menjadi naib johan Piala Dunia 1934 dan 1962. Namun begitu, mereka mara ke Piala Dunia kali terakhir ialah pada 2006 di mana mereka menggunakan nama Republik Czech.
Pada kejohanan 1930, sebenarnya tiada perlawanan penentuan tempat ketiga. Tetapi FIFA mengiktiraf Yugoslavia sebagai pasukan tempat keempat terbaik berdasarkan statistik.
Yugoslavia menduduki tangga keempat Piala Dunia 1962 setelah tewas kepada tuan rumah, Chile dalam play-off tempat ketiga.
Tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia pernah menamatkan kempen terbaik dengan tempat keempat. Pada ketika itu, mereka beraksi dalam Piala Dunia 1966 di England.
Dan waktu itu, mereka dikenali sebagai Kesatuan Soviet.
Terbaik antara yang terbaik
Hungary pernah menduduki tangga kedua Piala Dunia secara keseluruhan. Kali pertama ialah pada 1938 dan mereka mengulanginya pada 1954.
Pada Piala Dunia 1974, Poland meraih tangga ketiga kejohanan. Rekod terbaik Poland ini sekali lagi berlaku pada Piala Dunia 1982.
Bulgaria berjaya mencuri tumpuan pada Piala Dunia 1994. Mereka memasuki kelompok 4 terakhir dan menamatkan kempen sebagai pasukan keempat terbaik dalam kejohanan pada ketika itu.
Croatia turut menyelinap sebagai pasukan 3 terbaik sewaktu Piala Dunia 1998 di Perancis. Ukraine pernah mara sejauh suku akhir Piala Dunia 2006 di Jerman.
Aksi terbaik Romania di kejohanan ini pada 1994. Namun begitu, perjalanan mereka tersekat sehingga ke suku akhir. Slovakia pernah mara ke pusingan kedua pada edisi 2010.
Namun, kempen Slovenia serta Bosnia & Herzegovina hanya setakat pusingan kumpulan sahaja. Mereka tidak melepasi ke pusingan kalah mati.
Penutup
Eropah Timur umpama gergasi yang sedang tidur. Mungkinkah suatu hari nanti akan ada wakil dari kawasan ini dinobatkan sebagai juara dunia?
Mungkinkah kita akan menjadi generasi yang menyaksikan keajaiban bola sepak ini. Siapa tahu?