Bekas penyerang Import Felda United, Ifedayo Olusegun menjadi taruhan terbaharu Melaka United apabila bakal berdepan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Pemain kelahiran Nigeria berusia 27 tahun itu pernah beraksi dengan beberapa kelab bermula dengan kelab di negara kelahirannya, Rising Stars FC sebelum beraksi di Liga Divisyen 1 Bahrain bersama kelab Malkiya SCC dan Al-Hidd.
Beliau kemudiannya menyertai Felda United musim lalu dengan menjaringkan 5 gol daripada 9 penampilan bersama ‘The Fighters’ sebelum kembali ke Al-Hidd.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi berkata, mereka akan menurunkan Ifedayo Olusegun, bekas pemain kelab Bahrain, Al-Hidd pada aksi malam ini.
Pengalamannya ketika beraksi dengan Felda United akan dimaafatkan sepenuhnya untuk memastikan 3 mata penuh dapat dibawa pulang.
“Malah, dia juga pernah beraksi di Liga Malaysia ketika menyertai FELDA United musim lalu, sekali gus diharap menjadi motivasi buatnya membantu kejayaan pasukan Hang Tuah.” kata Yusoff Mahadi seperti dipetik dalam Berita Harian.
Selepas berjaya mengejutkan Kedah 2-0 minggu lalu, skuad Hang Tuah intai peluang untuk menghuni kedudukan 5 teratas Liga Super.