Penyerang berpengalaman, Nicklas Bendtner telah digugurkan daripada senarai 23 pemain Denmark untuk ke Piala Dunia disebabkan masalah kecederaan pangkal peha yang dialaminya.
Beliau mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi bersama kelabnya Rosenborg, di Norway, seminggu sebelum melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan.
Bendtner juga dilihat berlatih bersendirian dan tidak diturunkan dalam aksi persahabatan yang menyaksikan Denmark terikat seri tanpa jaringan menentang Sweden, Sabtu lalu.
Pengurus Denmark, Aage Hareide menerusi laman Twitter FA Denmark menjelaskan yang dia mahukan pemain yang cergas sepenuhnya untuk di bawa ke Rusia.
VM-truppen er udtaget!
Her kan du se Åge Hareide fortælle om sine valg.#ForDanmark pic.twitter.com/NINBIVJ7RT— DBU – En Del Af Noget Større (@DBUfodbold) June 3, 2018
“Kami tidak percaya mereka akan cergas tepat pada masanya bagi perlawanan pertama menentang Peru, ia terlalu suntuk dan perlawanan itu amat penting,” jelas Hareide.
Menurutnya, Denmark akan bersaing dengan Peru dan Australia untuk kedudukan kedua kumpulan. Mereka berada di dalam Kumpulan C bersama-sama Peru, Australia dan Perancis.
“Dan itulah sebabnya ia penting untuk bermula dengan baik dan kami perlukan pemain yang cergas,” jelas pengurus yang berasal daripada Norway itu lagi.
Pemain yang diberi gelaran Lord Bendtner itu mungkin lebih terkenal dengan sikap nakalnya sebelum ini, namun dia kini telah berubah dan ianya adalah sejarah lampaunya.
Kini, pada usia 30 tahun, dia telah menunjukkan tanda kematangannya dalam menerima keputusan pengurus yang menggugurkannya daripada pasukan.
“Bendtner tampil dan bertanya adakah dia boleh mengatakan sesuatu kepada para pemain dan mengharapkan mereka melakukan yang terbaik di Rusia nanti,” cerita Hareide.
Seperkara yang menarik, petisyen agar Piala Dunia ditangguhkan sehingga Bendtner cergas telah dibuat. Sehingga hari ini, petisyen itu telah mendapat sambutan hampir 10,000 orang.
Menurut Soccer Memes yang mencipta petisyen itu, Piala Dunia tanpa Bendtner merupakan satu penghinaan, jadi berbanding membatalkannya, mereka memohon penundaan Piala Dunia.
Berdasarkan rekod, dia merupakan penjaring terbanyak Denmark yang masih aktif beraksi iaitu 30 gol dan hanya dipisahkan 7 gol dari lagenda mereka, Michael Laudrup.
Dan berkemungkinan Piala Dunia 2018 adalah penampilan terakhirnya di kejohanan terbesar di dunia itu. Bendtner kini berusia 30 tahun dan memiliki 81 kaps.