Kurang dua minggu sahaja lagi saingan Piala Dunia 2018 di Rusia bakal membuka tirainya dengan perlawanan pembukaan akan menemukan tuan rumah, Rusia bertemu wakil dari Asia, Arab Saudi.
Bagi terus menyemarakkan kehangatan Piala Dunia di tanah air, pihak Twitter dan Astro telah menjalinkan kerjasama erat dalam memberikan informasi secara lebih dekat buat para pengguna setia media sosial tersebut.
Kerjasama itu bakal merangkumi beberapa aspek antaranya maklumat jaringan terkini (goal alert) pada hari perlawanan, video ulangan jaringan dari setiap sudut, detik menarik dan juga koleksi klip video pemain menyerlah pada setiap perlawanan.
Ketua Perkongsian Sukan Twitter Asia Tenggara, Maurizio Barbieri jelas gembira dengan kerjasama yang dijalinkan pihaknya dengan Astro.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Astro bagi membawakan kandungan aksi Piala Dunia secara eksklusif seperti analisis pakar dan video sorotan di Twitter bersama-sama perbualan dan ‘tweet’ pada waktu sebenar(perlawanan).”
”Rakyat Malaysia begitu bersemangat terhadap bola sepak dan para peminat seharusnya terus ke Astro dan Twitter untuk melihat dan membicarakan tentang apa yang berlaku sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.”
Bagi Ketua Sukan Astro, CK Lee, beliau berkata: ”Astro mengharapkan agar dapat mewujudkan perbualan yang meriah dan menarik dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap detik Piala Dunia kegemaran mereka dengan klip ‘near-live’ kami di @stadiumastro.”
”Jadi, ikuti @stadiumastro di Twitter untuk pengalaman Piala Dunia paling lebih sosial dan digital.”
Kerjasama terbaru ini merupakan kesinambungan di antara pihak Twitter dan Astro yang sebelum ini pernah bekerjasama dalam Liga Perdana Inggeris, F1, MotoGP, PGA dan Asian Tour (Golf), Tenis (Grand Slam) dan Liga Juara-Juara Asia.
Foto: Mirror UK