9 Rekod Dicipta Messi Di Barcelona Yang Mungkin Tidak Akan Terpecahkan

Selepas 21 tahun, Lionel Messi akhirnya sah akan angkat kaki dari Barcelona dan saingan La Liga. Pelbagai rekod luar biasa telah dicipta oleh Messi sepanjang tempoh itu.

Berikut adalah sembilan daripada rekod tersebut yang mungkin tidak akan terpecahkan oleh mana-mana pemain pada masa akan datang,

1. Gol terbanyak untuk sesebuah kelab

Jumlah jaringan keseluruhan yang dihasilkan oleh Messi bersama Barcelona ialah 672 gol, dilakukan dari 778 penampilan dan rekod itu seperti sukar untuk digugat oleh sesiapa sahaja. Untuk memecah rekod seperti ini, seseorang pemain perlu menghasilkan ratio jaringan yang luar biasa dan beraksi untuk sebuah kelab untuk tempoh yang lama.

Hari ini tiada pemain yang mempunyai jumlah jaringan di sesebuah kelab dengan jumlah jaringan yang hampir seperti dihasilkan Messi. Kemungkinan untuk seseorang pemain kekal lama bersama sesebuah kelab sehingga ke penghujung karier juga seperti sudah mustahil pada hari ini.

2. Gol terbanyak dalam sejarah La Liga

Apabila menjadi penjaring terbanyak untuk sesebuah kelab, ia juga bermakna Messi adalah penjaring terbanyak dalam sejarah La Liga. 474 gol dari 520 perlwanan domestik membenarkan Messi mempunyai kelebihan sebanyak 163 gol berbanding pesaing terdekat, Cristiano Ronaldo.

Sukar untuk melihat Ronaldo kembali ke La Liga dan mengejar kembali jumlah jaringan yang dihasilkan Messi. Rekod ini juga akan kekal buat sekian lama atau menjadi milik Messi buat selamanya.

3. Gol terbanyak dalam tempoh semusim La Liga

Belum pernah ada pemain menghasilkan jaringan sebanyak dilakukan Messi, iaitu sebanyak 50 gol dari 37 penampilan dalam tempoh semusim. Rekod itu dihasilkan Messi pada musim 2011/12.

Anehnya dengan jumlah jaringan tersebut, Barcelona masih gagal meraih kejuaraan La Liga (dimenangi oleh Real Madrid). Sesiapa sahaja akan berhadapan kesukaran menjaringkan 50 gol semusim di mana sahaja liga utama di eropah.

4. Gol terbanyak dalam tempoh satu tahun kalendar

Dibantu oleh jumlah jaringan luar biasa pada musim 2011/12, Messi menjaringkan 91 gol keseluruhan sepanjang tahun 2012.

Ia adalah gol terbanyak dalam tempoh satu tahun kalendar yang sukar diulangi oleh mana-mana pemain.

5. Penjaring gol berturut-turut paling panjang dalam sejarah bola sepak

Rekod ini hanya mengambil kira perlawanan kompetitif sahaja. Rata-rata pemain profesional pada hari ini sudah cukup gembira sekiranya mampu menghasilkan 21 gol semusim. Messi pula menjaringkan gol dalam 21 perlawanan secara berturut-turut.

Ia adalah konsistensi yang seperti sukar dan mustahil untuk disaingi oleh mana-mana pemain moden pada hari ini.

6. Kasut emas eropah terbanyak

Messi juga boleh berbangga dengan enam Anugerah Kasut Emas Eropah – anugerah yang diberi kepada penjaring terbanyak dari kalangan liga utama di seluruh eropah.

Sebagai perbandingan, Cristiano Ronaldo pernah memenangi empat anugerah. Tidak ada pemain lain yang pernah memenanginya lebih dari dua kali. Bayangkan pula saingan musim hadapan dan aksi Messi di Ligue 1.

7. Gol terbanyak dalam sejarah El Clasico 

Messi ibarat duri di dalam daging buat Real Madrid dan menjadikan pentas El Clasico sebagai tempat mempamerkan sentuhan penyudah. Untuk rekod, Messi telah menjaringkan 26 gol untuk Barcelona menentang seteru utama mereka Real Madrid.

El Clasico mungkin tidak akan sama lagi selepas ini tanpa Messi.

8. Pemenang Ballon d’Or secara berturut-turut

Kapten Argentina ini adalah pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak enam kali, dan pemenang terbanyak setakat ini. Malah beliau kini adalah antara pilihan untuk memenanginya buat kali ke-7!

Dominasi Messi sebagai pemain terbaik dunia juga jelas apabila beliau memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak empat kali berturut-turut di antara 2009 sehingga 2012. Tidak ada pemain lain pernah memiliki pencapaian sedemikian, walaupun Cristiano Ronaldo.

Ia gambaran Messi adalah pemain terbaik dunia secara konsisten untuk tempoh masa yang cukup lama. Dalam bola sepak moden yang semakin kompetitif pada hari ini, pencapaian serupa sudah dianggap mustahil.

9. Top three Ballon d’Or sebelas kali berturut-turut

Walaupun ketika melalui musim serba tidak kena, Messi masih lagi dianggap salah seorang pemain terbaik dunia, dan tidak pernah mengakhiri kedudukan undian Ballon d’Or di luar kedudukan tiga teratas sejak 11 tahun yang lalu.

Nama Messi sentiasa konsisten sebagai calon utama anugerah tersebut dari 2007 sehingga 2017. Barcelona tidak akan lagi memiliki pemain sehebat Messi. Dunia bola sepak juga tidak akan dapat melihat pencapaian tidak masuk akal seperti yang dihasilkan Messi lagi pada masa hadapan.

Penutup

Bukanlah mustahil untuk rekod di atas dipecahkan. Tetapi bukan selalu kita berkesempatan menyaksikan seorang pemain dengan kemampuan Lionel Messi.

Pemain seperti Messi ibarat hanya akan hadir seorang di dalam tempoh 100 tahun. Anda antara generasi terpilih kerana sempat menyaksikan pemian sehebat Lionel Messi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN