Brad Maloney akan turut membawa bersama sembilan pemain daripada skuad kelayakan Piala Asia B-23 untuk kem latihan bagi edisi ketiga Piala AFF B-23 yang bakal berlangsung di Kemboja bermula 14 Februari depan.
Senarai 30 pemain untuk latihan pusat skuad B-23 negara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi. Dalam senarai 30 pemain itu, pengendali, Brad Maloney dilihat memilih majoriti pemain yang berbeza daripada skuad yang telah berjaya membawa skuad Harimau Muda terbang ke Piala Asia B-23.
Piala AFF B-23 juga dilihat medan untuk Brad Maloney mencuba pemain lain yang mungkin boleh diserap ke dalam skuad yang bakal beraksi di Piala Asia B-23 yang bakal dilangsungkan di Uzbekistan pada Jun depan.
Sembilan pemain itu adalah Umar Hakeem Suhar Rezwan, Shafi Azswad Sapari, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, T. Saravanan dan Aiman Afif Afizul. Selebihnya baki pemain lain yang dipanggil kali ini terdiri daripada muka-muka baharu.
Selain itu, beberapa pemain yang pernah dipanggil ke kem latihan pusat sebelum ini turut mendapat panggilan dalam kem latihan pusat yang dijangka akan bermula pada 27 Januari depan sehingga skuad negara berlepas ke Kemboja pada 12 Februari 2022. Mereka akan lalui kem latihan pusat untuk tempoh dua minggu.
Turut mencuri tumpuan adalah kelibat Wan Kuzri Wan Kamal yang beraksi di Amerika Syarikat bersama Akron Zips telah dipanggil untuk bersama kem latihan pusat kali ini. Sebelum ini, beliau pernah menjalani sesi latihan bersama skuad B-22 kendalian Datuk Ong Kim Swee sebagai persediaan ke Sukan SEA pada edisi 2019.
‘Wan Kuzri Sah Dalam Radar’ – Pemain Itu Sudah Menyatakan Kesediaannya
Namun, impiannya untuk menyarung jersi kebangsaan gagal akibat masalah dokumentasi. Beliau juga tidak dibawa oleh Brad Maloney bersama skuad kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung Oktober tahun lalu.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos dan Indonesia dengan hanya satu tiket pasti mara ke separuh akhir apabila peringkat kumpulan dipecah kepada tiga kumpulan. Tiga juara kumpulan akan mara ke separuh akhir, sementara satu pasukan naib juara terbaik akan turut mara ke pusingan separuh akhir.
Pasukan yang akan bersaing di Kumpulan A adalah Kemboja, Filipina, Timor Leste dan Brunei sementara Kumpulan C pula dilihat sengit apabila persaingan melibatkan kuasa besar, Thailand, Vietnam dan Singapura.