9 Intipati Menarik Fasa Pertama Di Dalam ‘Kitab’ Roadmap F:30 FAM

Roadmap

Sekalung tahniah diucapkan kepada badan induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas pelancaran Peta Hala Tuju ataupun Roadmap FAM yang diberi nama F:30, semalam.

Ia merupakan langkah permulaan yang berani digerakkan oleh FAM di bawah pentadbiran Datuk Hamidin Mohd Amin dan ia adalah satu pelan komprehensif hala tuju bola sepak negara.

Ini merupakan kali pertama FAM mengeluarkan pelan sebegini sejak ditubuhkan 85 tahun yang lalu, berbanding cara atau kaedah sebelum ini yang hanya meletakkan sasaran-sasaran tertentu.

Telah dimaklumkan kepada umum, pelan ini akan mengambil masa selama 12 tahun dan ianya telah dipecahkan kepada tiga fasa utama mengikut tahun iaitu 2019-2022, 2023-2026 dan 2027-2030.

Setiap aspek yang dinyatakan di dalam pelan ataupun Roadmap ini mempunyai perincian bagaimana ianya mahu dicapai dan ini satu perubahan yang mungkin akan memberikan impak lebih positif.

Dalam fasa pertama ini, FAM telah membahagikannya kepada tiga tonggak utama sebagai asas kepada Roadmap yang lebih kukuh selepas ini iaitu kepimpinan, pembangunan dan pertandingan.

Berikut adalah antara intipati menarik yang terkandung di dalam Roadmap FAM di peringkat pertama ini yang akan mula dirasai oleh para peminat dan penyokong selewatnya musim 2022.

Pemindaan Statut FAM dan ahli gabungan

FAM komited mahu membentuk Statut yang mematuhi peraturan FIFA dan AFC, lebih baik serta boleh menjadi model ikutan buat ahli persatuan dan juga badan sukan dalam rantau Asean.

Seperti yang umum ketahui, Statut FAM kerap kali menimbulkan persepsi negatif terhadap badan induk itu contohnya Artikel 88 yang telah menjadikan beberapa individu ‘mangsa korban’.

Selain FAM, ahli-ahli gabungan FAM juga turut akan diwajibkan untuk meminda Statut persatuan masing-masing agar ianya selari dengan Statut FIFA dan AFC serta juga FAM selepas ini.

Falsafah pemain, jurulatih dan bola sepak Malaysia

Ini merupakan antara perkara yang terdapat di dalam tonggak pembangunan di dalam Roadmap FAM fasa pertama. Konsep ‘Cara Malaysia’ akan diangkat sebagai DNA bola sepak negara.

Jika dibandingkan dengan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), terdapat beberapa aspek yang identikal dan membayangkan kerjasama antara FAM dan NFDP akan direalisasikan.

Menariknya, fasa terakhir NFDP juga akan berakhir pada tahun 2030, sama seperti mana pelan yang dirangka oleh FAM menerusi Roadmap F:30 ini. Kebetulan atau sudah dirancang bersama?

Oleh itu, FAM akan menyelaraskan semula semua kursus lesen kejurulatihan agar jurulatih yang akan dibentuk dan dilahirkan selari dengan DNA bola sepak negara yang ditetapkan itu.

Dan apabila jurulatih yang memahami konsep serta DNA bola sepak negara telah dilahirkan, maka para pemain yang akan dibangunkan akan mampu mengikuti konsep ‘Cara Malaysia’.

Pelan strategi skuad kebangsaan

Beberapa perkara akan ditambahbaik dalam pelan strategi skuad kebangsaan iaitu:

  • Meningkatkan kemampuan jurulatih tempatan.
  • Meningkatkan kualiti dan menambah latihan persediaan bagi menghadapi kejohanan.
  • Mewujudkan jaringan Pencari Bakat.
  • Menyediakan pendedahan antarabangsa secukupnya menerusi aksi menentang lawan berkualiti serta gaya permainan berbeza.
  • Laluan mengembangkan bakat para pemain.
  • Mewujudkan lebih banyak pilihan pemain menerusi proses pemilihan yang berani.
  • Menggunakan pangkalan data profesional dan sistem analisis perlawanan untuk menjejaki kesemua pemain Malaysia berbakat.

Program akar umbi

Sasaran utama aspek ini adalah untuk meningkatkan penglibatan kanak-kanak dalam sukan bola sepak. KPI yang diletakkan untuk aspek ini adalah sebanyak 20% penglibatan menjelang tahun 2022.

FAM akan memperkenalkan tiga jenis standard dan keahlian untuk program akar umbi iaitu Emas, Perak dan Gangsa.

Selain itu, berikut adalah antara perkara yang dirancang dibawah program akar umbi iaitu:

  • Program FAM First Touch
  • Festival dan liga akar umbi serta latihan untuk pembangunan jurulatih-jurulatih
  • Anugerah Akar Umbi FAM
  • Duta dan Carta Akar Umbi FAM

Liga Futsal Pro

FAM turut tidak melupakan sukan futsal dalam merencana Roadmap F:30 ini. Sasaran awal menjelang tahun 2023 adalah untuk menjadi pencabar terkuat pasukan handalan Asia.

Untuk mencapai sasaran awal tersebut, bermula pada 2019, FAM akan memperkenalkan Liga Futsal Pro dan Liga Futsal Negeri. Selain itu, LFK B-19 dijangka dilangsungkan pada 2020.

Perlesenan untuk kelab futsal juga bakal diperkenalkan untuk membolehkan mereka layak beraksi di Kejuaraan Futsal AFC 2020.

Bola sepak wanita

Bola sepak wanita juga mendapat tempat dan tidak dipinggirkan oleh FAM di dalam Roadmap F:30 ini apabila struktur pembangunan bola sepak wanita bakal disusun semula

FAM dijangka bakal membuat penambahbaikkan dan juga akan meningkatkan lagi format pertandingan kejohanan sedia ada iaitu kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah.

Selain itu, FAM turut akan menganjurkan karnival, festival, bengkel dan kursus pendidikan untuk arena bola sepak wanita.

Akademi Pengadil

Perubahan untuk aspek pengadil turut berada dalam Roadmap F:30 dengan FAM dijangka akan meningkatkan jumlah pengadil bertauliah dengan mewujudkan Akademi Pengadil.

Selain itu, FAM turut ingin memperbaiki standard pengadil tempatan agar mereka diiktiraf oleh FIFA seterusnya berjaya dilantik untuk ke pertandingan anjuran AFC.

Liga Malaysia (Liga M) juga dijangka bakal menggunakan pengadil professional sepenuh masa bermula pada tahun 2019 ke atas dengan pengenalan laluan kerjaya yang lebih baik.

Pembangunan infrastruktur

Untuk mendapatkan hasil kerja yang baik di kalangan staf serta menjadi badan induk yang moden dan progresif, FAM merangka pelan untuk meningkatkan kondisi ibu pejabat sedia ada.

Selain itu, Pusat Kecemerlangan Bola Sepak Kebangsaan turut dirangka akan dibina dan disediakan iaitu satu pusat latihan berteknologi moden buat skuad kebangsaan.

Pestabola Merdeka

Antara yang turut disebut di dalam Roadmap F:30 adalah pengenalan semula kejohanan Pestabola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2013 di Kuantan, Pahang.

Pestabola Merdeka kerap dibatalkan sehingga ia semakin hilang tarikannya. Tidak seperti King Cup di Thailand yang hampir saban tahun dianjurkan dengan penyertaan negara yang tidak kurang hebatnya.

Penutup

Terdapat pelbagai intipati lagi dalam Roadmap F:30 yang tidak disentuh di dalam artikel ini. Para pembaca boleh dapatkan ‘kitab’ pelan bola sepak negara di laman sesawang rasmi FAM.

Ini cumalah pelan yang dirangka dan pastinya akan ada halangan dan onak duri yang bakal dilalui oleh FAM dalam merealisasikan impian yang terdapat di dalam Roadmap tersebut.

Justeru, sokongan ahli gabungan sangat diperlukan ketika ini untuk menjayakan Roadmap F:30 ini. FAM telah membuka langkah yang berani dan ia juga perlu diikuti oleh ahli gabungan.

Empat tahun pertama bermula pada tahun 2019 depan adalah fasa penting untuk menjadi asas kepada dua lagi fasa berikutnya yang menyasarkan pencapaian di peringkat Asia dan juga dunia.

Tiada yang mustahil untuk digapai jika segala pelan yang telah dirancang teliti oleh FAM ini berjaya diikuti dengan jayanya.

“Dayung sudah di tangan, perahu pun sudah di air.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN