8 Perpindahan Pemain Yang Hampir Berlaku

1) Pele ke Real Madrid/Manchester United/Juventus (sekitar tahun 1960-an)

Pele mendedahkan Real Madrid adalah salah satu daripada 3 kelab gergasi Eropah yang pernah mencuba untuk menandatanganinya ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain di Santos.

“Real Madrid mahukan saya. Manchester United dan Juventus juga sama.”

“Malah, presiden Juventus hampir melengkapkan perpindahan tersebut dengan bantuan kewangan daripada Fiat.”

Tetapi seperti kebanyakan pemain Brazil pada era 60-an, kebanyakannya tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan kelab kesayangan mereka.

“Saya ada terfikir juga untuk datang ke Eropah. Tapi saya lebih suka untuk kekal bersama satu-satunya pasukan dalam hati saya, Santos.”

2) Diego Maradona ke Sheffield United (1978)

Pada tahun 1978, pengurus Sheffield United, Herry Haslam berkesempatan melihat Diego Maradona dalam satu scouting trip ke Argentina. Maradona pada ketika itu baru berusia 17 tahun dan masih bermain di Argentinos Junior.

Haslam terus terpikat dengan aksi Maradona dan terus membuat perjanjian bernilai £200,000 (kini bernilai £740,000) untuk membawanya beraksi di Bramall Lane.

Bagaimanapun ahli-ahli lembaga pengarah Sheffield United menolak pembelian impian Haslam kerana mereka tak mahu membayar kos-kos tambahan daripada yuran perpindahan £200,000 tersebut.

Haslam terpaksa berpuas hati dengan pilihan alternatif, Alex Sabella yang dibawa ke Bramall Lane dengan harga £160,000.

Walaupun Sabella menyerlah di Sheffield United, beliau masih tak mampu menghalang kelabnya daripada tersingkir ke Divisyen 3 England. Sabella kemudiannya dijual kepada Leeds United dengan harga £400,000.

3) Robert Lewandowski ke Blackburn Rovers/West Brom (2010)

Ketika banyak peninjau bakat mengatakan Robert Lewandowski terlalu kurus untuk menjadi penyerang di England, West Brom adalah antara kelab terawal yang berani mengambil risiko untuk menandatangani penyerang Poland ini.

Pengurus West Brom ketika itu, Tony Mowbray mahu meminjam Lewandowski terlebih dahulu (dengan klausa perpindahan £600,000 jika West Brom berminat untuk membelinya).

Tetapi Lewandowski menolak tawaran tersebut kerana mahukan semusim lagi memperkembangkan permainannya di Poland.

Pada tahun 2010 ketika beliau dilantik menjadi pengurus Celtic, Mowbray mencuba sekali lagi untuk menandatangani Lewandowski. Kali ini harganya telah naik menjadi £4 juta.

Harga tersebut dianggap terlalu mahal buat Celtic dan Mowbray terpaksa melupakan Lewandowski. Blackburn kemudiannya datang membida dengan harga £4.2 juta.

Proses pembelian Blackburn berjalan lancar. Malah Lewandowski telah dijadualkan untuk datang sendiri ke Ewood Park untuk menandatangani kontrak.

Bagaimanapun penerbangan Lewandowski dibatalkan kerana situasi abu gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland yang menyebabkan semua penerbangan keluar dan masuk di England dibatalkan.

Pada ketika inilah Borussia Dortmund datang ‘mengacau’ dan membuat bidaan. Bidaan £4.5 juta Dortmund diterima dan Lewandoski menjadi milik mereka.

4) Zinedine Zidane ke Blackburn Rovers (1995)

Biarpun baru sahaja bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim 1994/95, Blackburn giat berusaha menguatkan pasukan untuk musim 1995/1996.

Penolong pengurus, Ray Harford dan staf jurulatih, Derek Fazackerley mencadangkan Zinedine Zidane – pemain muda Bordeaux yang berusia 23 tahun – kepada pengurus, Kenny Dalglish.

Mereka turut mencadangkan Christophe Dugarry untuk dibawa sekali ke Ewood Park.

Dalglish kemudiannya mendesak pengerusi kelab, Jack Walker untuk membeli Zidane. Bagaimanapun Walker menyanggah cadangan Dalglish dan berkata:

“Mengapa kamu mahu menandatangani Zidane apabila kita mempunyai Tim Sherwood?”

5) Cristiano Ronaldo ke Arsenal (2003)

Menurut Arsene Wenger, Cristiano Ronaldo pernah dijemput berlatih bersama pasukan utama The Gunners untuk memujuknya menyertai Arsenal.

Malah Wenger memberitahu pada 2008, Ronaldo telah pun diberi jersi nombor 9.

Bagaimanapun perpindahan itu tidak menjadi realiti kerana Arsenal tidak bersetuju dengan harga yang diletakkan oleh Sporting Lisbon untuk servis pemain sayap yang pada ketika itu baru berusia 18 tahun.

Pada tahun 2013 dalam satu temu bual dengan ITV4, Wenger menjelaskan bagaimana pemain Portugis itu terlepas dari genggamannya.

“Manchester United telah melantik Carlos Queiroz sebagai penolong pengurus kepada Alex Ferguson.”

“Kehadiran Carlos Queiroz di United banyak mempengaruhi keputusan Ronaldo untuk berpindah ke Manchester United.”

6) Zlatan Ibrahimovic ke Arsenal (1997)

ibra-kanaa-sax-ah_800x1200

Sebagai seorang pemain yang baru berusia 17 tahun di sebuah kelab (Malmö FF) yang sering bergelut di zon penyingkiran liga Sweden, sudah pastilah Zlatan Ibrahimovic sangat gembira apabila dipikat oleh Arsenal.

Pada usia 16 tahun, Zlatan Ibrahimovic sudah melawat kemudahan latihan Arsenal, berlatih dengan pasukan utama dan diberi baju dengan cetakan namanya belakang.

Semuanya nampak lancar sehinggalah Arsene Wenger membuat satu kesilapan – Wenger mahu Ibrahimovic melalui proses ujibakat.

Personaliti Ibrahimovic terserlah apabila beliau menolak tawaran ujibakat tersebut dan berkata:

“Zlatan tidak melakukan uji bakat.”

“Beliau (Wenger) sebenarnya tidak pernah membuat tawaran yang baik. Ia adalah lebih kepada: saya mahu melihat bagaimana bagusnya anda, apa jenis permainan anda. Jalani ujibakat.”

“Jika anda tak mengenali saya, ia bermakna anda tak benar-benar mahukan saya.”

Wenger bagaimanapun mempertahankan keputusannya menyuruh Ibrahimovic menjalani ujibakat terlebih dahulu dalam satu temu ramah dengan Daily Mail pada tahun 2012.

“Saya tidak mengenali dia. Anda tidak boleh mendaftar pemain yang anda tidak pernah lihat kerana ia hanya menunjukkan anda tidak serius.”

“Dia berumur 16 tahun. Saya meminta beliau untuk menyertai sesi latihan sedikit dengan pasukan utama dan dia sudah pandai berkata ‘tidak’.”

“Adakah saya menyesal? Tidak. Saya akan terus berbuat demikian. Melainkan jika staf saya telah melihat pemain dan berkata: Lihat! dia benar-benar bagus 100 peratus.”

7) Paul Gascoigne ke Manchester United (1988)

Sir Alex Ferguson pernah memberitahu penyesalan terbesar beliau ialah tidak menandatangani Paul ‘Gazza’ Gascoigne – pemain muda sensasi Newcastle United yang baru berumur 21 tahun – pada tahun 1988.

Selepas dimahkotakan dengan Anugerah Pemain Terbaik PFA untuk musim 1987/88, Gazza terus mendapat perhatian Tottenham Hotspur dan Manchester United yang berminat untuk membelinya.

Manchester United tewas kepada Spurs dalam perebutan membeli Gazza, apabila Spurs membeli sebuah banglo untuk ibu bapa Gazza.

Ferguson memberitahu Daily Mail:

“Saya bersembang dengan dia (Paul Gascoigne) pada malam sebelum saya pergi bercuti. Dia berkata: pergilah dan nikmati cuti anda Mr Ferguson, saya akan menandatangani kontrak dengan Manchester United.”

“Lalu saya pergi bercuti tetapi Martin Edwards (ketika itu pengerusi United) menelefon dan berkata: saya ada berita buruk. Dia menandatangani kontrak dengan Tottenham.”

8) Eric Cantona ke Sheffield Wednesday (1992)

Pada usia 25 tahun, Eric Cantona pernah mengumumkan persaraannya sebagai tanda protes terhadap penggantungan 2 bulannya.

Cantona digantung selepas membaling bola kepada pengadil semasa bermain di Nimes dan memanggil semua ahli-ahli jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Perancis sebagai ‘bodoh’.

Pengurus pasukan kebangsaan Perancis ketika itu, Michel Platini kemudiannya memujuk Cantona untuk kembali dari persaraan.

Malah Platini dilaporkan telah memujuk bos Sheffield Wednesday, Trevor Francis untuk memberi peluang trial kepada Cantona.

Cuaca buruk pada musim sejuk bermakna Francis hanya dapat menguji Cantona di atas padang astroturf. Francis kemudiannya meminta Cantona untuk kekal seminggu lagi untuk mengujinya di padang rumput asli. Cantona mengamuk dan terus meninggalkan Sheffield Wednesday.

Cantona kemudiannya disambar oleh Leeds United, yang mengambil risiko menandatangani Cantona tanpa trial. Di Leeds, Cantona diangkat sebagai ikon kelab sebelum menjadi lagenda di Manchester United.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Eddie Izaddi. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].

Baca juga: 8 Bapa Yang Menamakan Anak Mereka Sempena Pemain/Kelab Bola Sepak Kegemaran

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN