Jendela perpindahan musim panas kini sedang dibuka dan setiap kelab di eropah sedang giat memperkuatkan pasukan masing-masing dengan membawa masuk pemain baharu – selain melepaskan pemain yang tidak diperlukan.
Aktiviti perpindahan pada musim panas ini mungkin perlahan dari kebiasaan mengambil kira keadaan ekonomi yang melanda setiap pasukan akibat pandemik.
Berikut adalah antara pemain berstatus ejen bebas yang boleh dipertimbangkan oleh pasukan-pasukan bertanding untuk tujuan pengurangan kos.
Andy Carrol
Pertama kali Andy Carrol meninggalkan Newcastle United adalah ketika beliau enyertai Liverpool pada nilai £35 juta. 10 tahun kemudian, sekali lagi Carrol meninggalkan kelab itu tetapi kini dengan masa depan yang tiada kepastian.
Selepas hanya tampil dalam 18 perlawanan dan menjaringkan 1 gol pada musim lalu, Carrol sedar beliau perlu mendapatkan pasukan baharu yang boleh memberikan dirinya minit perlawanan lebih banyak sebagai pemain utama. Untuk berbuat demikian, Carrol harus melihat ke luar Premier League, yakni di saingan Championship.
Diego Costa
Diego Costa telah menjadi agen bebas selama tujuh bulan setelah secara bersama bersetuju untuk menamatkan kontraknya dengan Atletico Madrid pada bulan Desember yang lalu. Penyerang itu sebelum ini pernah berkata enggan terburu-buru untuk kembali beraksi.
Sukar untuk mengetahui apa yang dimahukan oleh Costa. Jendela perpindahan musim panas ini dilihat peluang terbaik untuk beliau kembali menyertai mana-mana pasukan dengan melalui latihan pra musim secara bersama. Setakat ini pemain tersebut telah menolak peluang untuk kembali ke Premier League selepas minat dari Wolves seperti dipandang sipi.
Jerome Boateng
Tatkala perpindahan David Alaba ke Real Madrid sudah disahkan sejak Mei lalu, rakan segandingan bek tengah itu di Bayern Munich, Jerome Boateng, masih lagi bergelar ejen bebas.
Jerome Boateng memutuskan untuk meninggalkan Allianz Arena setelah 10 tahun mengabdikan dirinya bersama kelab Bavarian itu. Hari-hari terbaiknya mungkin sudah berlalu di belakang, tetapi pemain Jerman itu baru berusia 32 tahun dan masih mampu menyumbang di peringkat tertinggi untuk beberapa musim lagi.
Nikola Maksimovic
Seorang lagi pemain bek tengah yang masa depannya belum jelas adalah Nikola Maksimovic. Pemain antarabangsa Serbia ini pernah dikaitkan dengan Manchester United dan Tottenham, namun sehingga kini belum menemui kelab baharu sejak kontrak bersama Napoli tamat pada penghujung musim lalu.
West Ham dilaporkan telah menyatakan minat untuk pemain berusia 29 tahun itu, tetapi rundingan di antara kedua-duanya gagal mencapai persepakatan akhir. Real Betis dan Crystal Palace juga telah dikaitkan dengan Maksimovic.
David Luiz
Sepanjang tempoh musim lalu, Arsenal seperti yakin akan mengekalkan David Luiz di Emirates, tetapi kelab itu memutuskan untuk tidak berbuat demikian pada akhir musim. Bek tengah Brazil itu kini sedang mencari kelab baharu untuk saingan musim hadapan, dan kini sedang fokus untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan lutut yang dialaminya.
Luiz akan berusia 35 tahun pada musim hadapan dan tidak mungkin akan mengikat kontrak lebih dari setahun jika menyertai kelab-kelab utama. Perpindahan ke Turki dianggap sebagai langkah bijak seterusnya, tatkala Marseille juga dikhabarkan mahukan khidmat Luiz.
Franck Ribery
Franck Ribery mungkin berusia 38 tahun, tetapi persaraan seperti masih jauh dar fikiran pemain ini – tidak sama seperti rakannya, Arjen Robben yang telah menggantung but buat kali kedua.
Setelah dua musim di Fiorentina, ejen pemain itu mendedahkan Ribery mahu mencari pengalaman bersama kelab Serie A yang lain. Jika tiada tawaran dari Itali, Ribery turut dikhabarkan berminat ke Prmier League.
Alex Teixeira
Alex Teixeira pernah hangat dikaitkan dengan Liverpool, tetapi perpindahan itu tidak menjadi realiti setelah pemain Brazil itu memilih untuk ke China bersama Jiangsu Suning.
Setelah lima tahun di Asia, Teixeira kini berminat untuk kembali ke Eropah. Setakat ini Besiktas telah melahirkan minat untuk khidmat beliau. Manakala beberapa kelab di Amerika Syarikat dan Brazil turut mempertimbangkan untuk menawarkan kontrak kepada pemain berusia 31 tahun itu.
Ezgjan Alioski
Ezgjan Alioski memainkan peranan penting untuk membantu Leeds menamatkan persaingan Premier League di pertengahan liga pada musim lalu. Pemain antarabangsa Macedonia itu kini bagaimanapun tidak mempunyai pasukan setelah gagal mencapai kesepakatan kontrak baharu bersama Leeds.
Dicanang bakal ke Galatasaray pada mulanya, Alioski kini turut terbuka untuk menyertai skuad Jose Mourinho di AS Roma. Telah membuktikan kemampuannya bersama Leeds di Premier League, ia tidak menghairankan jika ada kelab Inggeris lain berusaha mengejar pemain ini.