Quantcast
11 Filem Bola Sepak Terbaik. #2 Adalah Favourite Kita Semua.
BERITA

11 Filem Bola Sepak Terbaik. #2 Adalah Favourite Kita Semua.

Monday, 9 Feb 2015

Terdapat lambakan filem berorientasikan sukan bola sepak di pasaran, namun filem manakah yang sesuai untuk anda? Adakah anda mencari inspirasi atau sekadar mahu berhibur? Anda mengalami masalah untuk mencari judul filem yang sesuai untuk movie date anda ? Mungkin juga anda ingin mempelajari sesuatu tentang sejarah kelab bola sepak anda tetapi malas nak menelaah buku?

Jangan risau. Kami sediakan kompilasi 11 filem terbaik bola sepak ini untuk panduan anda. Jom layan!

11. Escape to Victory, 1981

victory

Escape to Victory, atau Victory (tajuk versi Amerika), adalah filem mengenai sebilangan askar tahanan pihak perikatan yang ditawan oleh askar Jerman semasa perang dunia ke-2 yang bermain bola sepak persahabatan dengan pasukan Jerman. Walau bagaimanapun, tujuan sebenar perlawanan persahabatan dianjur adalah untuk menyebarkan propoganda pihak Jerman.

Filem ini sebenarnya diinspirasikan dari filem Ketfelido a Pokolban ( Dua Separuh Masa di Neraka), sebuah filem dari Hungary. Filem ini diarahkan oleh John Huston dan dibintangi oleh Michael Caine, Sylvester Stallone dan lagenda bola sepak dunia, Pele.

Verdict: Selepas beberapa penelitian, boleh dikatakan bahawa filem ini merupakan salah sebuah filem bola sepak yang terbaik yang pernah dihasilkan dan mampu memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

10. Will, 2012

will

Mengisahkan kepayahan jerih perih peminat pasukan Liverpool, Will Brennan dan seorang bekas pemain bola sepak Bosnia, Alek dalam usaha mereka untuk menonton perlawnan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2005. Perlawanan yang berlangsung di Istanbul, Turki itu berlangsung diantara pasukan Liverpool dan AC Milan.

Will yang baru berusia sebelas tahun itu, sebenarnya sudah kematian ibu dan bapanya manakala Alex pula telah berhenti bermain bola sepak kerana mendapat kecederaan sewaktu perang Bosnia. Adakah mereka akan berjaya sampai ke Ataturk Olympic Stadium dan menyaksikan perlawanan tersebut? Korang harus tengok untuk tahu kesudahan kisah hebat ini.

Terdapat juga penampilan istimewa bintang Liverpool, Jamie Carragher, Stevie G dan lagenda The Kops, King Kenny.

Verdict: Damien Lewis berjaya menggarap watak Will dengan lakonan yang sangat berkesan. Bawa tisu dan bersedia untuk menangis. Sama ada menangis kerana sedih, mahupun menangis kerana gembira.

9. The Miracle Of Bern, 2003

bern2

The Miracle of Bern (Das Wunder von Bern) adalah filem yang diarahkan oleh Sonke Wortmann yang berkisar tentang kehidupan pasca peperangan sebuah keluarga di Jerman dan keajaiban kemenangan Jerman Barat menjuarai Piala Dunia 1954 di Bern, Switzerland. Dengan lebih 6 juta penonton, filem ini dianggap sebagai filem Jerman yang paling berjaya.

Kisahnya bermula apabila Richard, seorang bekas askar kembali setelah 11 tahun menjadi tahanan puak Soviet. Dia menjadi agak kekok untuk bergaul semula dengan keluarganya yang banyak berubah. Bagaimanapun, Richard dan anaknya, Matthias menuju ke Bern untuk menyaksikan Jerman Barat di pentas final Piala Dunia, menentang Hungary.

Verdict: Sebuah filem yang berjaya membawa penonton ke pengalaman pasca perang di Jerman di tahun 1950-an. Filem ini bukanlah berkisar tentang keajaiban yang berlaku di pentas Piala Dunia 1954 itu sahaja, malah betapa pentingnya kemenangan itu terhadap rakyat Jerman pada ketika itu amnya. Sebuah negara yang telah berpecah dan berbalah semasa sendiri akibat perang, akhirnya menjumpai kekuatan dan harapan yang baru.

8. Goal II: Living The Dream, 2007

10966609_10204639214632669_76750168_n

Goal II : Living The Dream merupakan sekuel kepada filem triologi Goal! dan ia mula ditayangkan pada bulan Februari 2007 di United Kingdom dan bulan Ogos 2008 di Amerika Syarikat. Filem berkisar tentang kehidupan Santiago Munez yang sudah menjadi pemain terkenal dan berpindah ke salah sebuah kelab terbesar di dunia, Real Madrid.

Filem ini juga mempunyai penampilan cameo Zinedine Zidane, David Beckham, Ronaldo, Ronaldinho serta ramai lagi bintang bola sepak besar dunia pada era itu.

Verdict: Ingin menyelami kehidupan jerih, perih, susah senang seorang pemain bola sepak profesional di tahap tertinggi? Filem ini sesuai untuk anda.

7. United, 2011

10965379_10204639214392663_311846707_n

United merupakan sebuah telemovie British yang diarahkan oleh James Strong. Filem diinspirasikan daripada cerita sebenar mengenai Bubsy Babes, gelaran kepada pemain Manchester United yang terkorban dalam Munich Air Disaster 1958 dan rentetan peristiwa yang berlaku selepasnya.

Telefilem ini memfokuskan pengalaman dan peranan watak pembantu pengurus Manchester United ketika itu, Jimmy Murphy (lakonan David Tennant) dan Bobby Charlton (lakonan Jack O’Connell).

Verdict: Filem yang memberi inspirasi yang tinggi. Khusus untuk penyokong The Red Devils yang mahu belajar sejarah kelab bola sepak yang mempunyai franchais terbesar di dunia.

6. Fever Pitch, 1997

10965311_10204639236993228_1597443116_n

Filem ini berlatar belakangkan tahun 1988-1989, dimana memfokuskan musim dimana Arsenal memenagi kejuaraan First Divison mereka. Diadaptasi dari novel dengan tajuk yang sama oleh penulis Nick Hornby, ia berkisar tentang watak Paul Ashworth (lakonan Colin Firth) yang merupakan seorang cikgu di sebuah sekolah di Utara London.

Cikgu Paul kemudiannya jatuh cinta dengan seorang cikgu baru, Sarah Hughes (lakonan Ruth Gemmel) dan naik turun hubungan cinta mereka pun turut sama terkesan dengan keadaan Arsenal di liga. Antara babak yang menarik dalam filem ini adalah saat Michael Thomas menjaringkan gol keatas Liverpool di minit terakhir permainan musim tersebut yang menjamin kejuaraan Arsenal di takhta liga.

Verdict: A must see movie untuk fans Arsenal. Medium pemangkin yang baik untuk merangsang makwe anda meminati Arsenal dan sukan bola sepak.

5. Bend It Like Beckham, 2002

10966830_10204639213912651_1677189716_n

Filem bergenre drama komedi ini dibintangi oleh Parminder Nagra, Keira Knightly (makwe Pirates of the Carribean versi budak) , Jonatahan Rhys Meyers dan beberapa lagi aktor UK yang tak berapa terkenal. Ia berkisar tantang seorang makwe punjabi yang menetap di London yang berbakat bermain bola sepak tetapi mendapat tentangan dari keluarganya kerana dia seorang perempuan.

Dia akhirnya menyertai pasukan bola sepak perempuan tempatan di kawasan kejiranannya dan berusaha untuk ke puncak liga.

Verdict: Sesuai untuk mereka yang terhibur masa tengok filem Gol Dan Gincu. Sesuai untuk layan bola dengan makwe. Harus berfikiran terbuka dengan berkemampuan menghayati sebuah filem UK yang meleret dan membosankan.

4. Green Street, 2005

1616238_10204639221112831_1689298371_n

Green Street merupakan sebuah filem tentang budaya hooliganism dalam sukan bola sepak di UK yang diarahkan oleh Lexi Alexander. Memaparkan kisah seorang pelajar kolej dari Amerika yang menyertai West Ham Firm, kumpulan penyokong taksub West Ham United.

Filem ini turut memaparkan perbalahan antara mereka dengan kumpulan hooligans lain seperti Head Hunters (Chelsea), Yid Army (Spurs), Zulus (Birtmingham City), Red Army (Manchester United) dan Bushwackers (Millwall). Filem ini mendapat sambutan yang baik dan mempunyai 2 sekuel iaitu Green Street 2: Stand Your Ground (2009) dan Green Street 3 : Never Back Down (2013). Dibintangi oleh bintang triologi TLOTR, Elijah Wood dan Charlie Hunnam.

Verdict: Ingin tengok Hobbit yang sukakan keamanan jadi ganas? Filem ini untuk anda.

3. Goal!, 2005

10966839_10204639220872825_6263549_n

Filem ini mengisahkan tentang kesusahan hidup Santiago Munez (lakonan Kuno Becker) yang berusaha untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Bakat Santiago kemudiannya dikesan oleh seorang pencari bakat dari Newcastle United ketika beliau bermain bola dan berjaya membawanya ke England.

Filem ini juga memaparkan tentang kehidupan seorang pemain bola sepak profesional yang dipenuhi dengan unsur gosip, paparazzi, perbalahan dalaman pasukan dan babak percintaan. Terdapat penampilan cameo istimewa Zinedine Zidane, Beckham,Ronaldo, Howard Webb (pengadil perlawanan) dan vokalis kumpulan AC/DC, Brian Johnson.

Verdict: Dengan jumlah peminat bola sepak yang ramai dan dibantu sepenuhnya oleh FIFA, penulis merasakan bahawa filem ini harus menjadi lebih baik. Projek filem trilogi yang dikira gagal apabila mengalami kerugian dalam pelaburan namun masih berjaya melancarkan sekuel Goal 2 di panggung, dan Goal 3 dalam bentuk DVD.

2. Shaolin Soccer, 2001

10979361_10204639235953202_1876004285_n

Shaolin Soccer merupakan filem komedi martial art yang mendapat sambutan yang hebat dan mencetuskan fenomena di seluruh dunia. Filem ini ditulis dan diarahkan sendiri oleh Stephen Chow yang juga merupakan watak utama dalam filem tersebut. Kisahnya bermula apabila seorang sami Shaolin bertemu kembali dengan lima adik beradiknya, bertahun-tahun selepas kematian tok guru mereka.

Mereka kemudiannya mengaplikasikan sentuhan kung fu Shaolin dalam permainan bola sepak untuk meraih kemenangan. Penggunaan CGI yang hebat dan dipenuhi dengan adegan kelakar yang mampu membuatkan anda senyum sorang-sorang walaupun sudah banyak kali menontonnya.

Verdict: Hanya dua patah perkataan dari kami – WAJIB TENGOK

1. The Damned United, 2009

10968066_10204639220752822_443552624_n

Berkisar tentang Brian Clough, pengurus bola sepak terbaik Eropah di era 70-an. Ia adalah adaptasi dari novel bestseller dengan tajuk yang sama, novel fiksyen tentang kegagalan kerjaya Clough di Leeds United.

Ia menjelaskan peristiwa dan faktor yang membawa kepada kegagalan Clough di Elland Road, walaupun selepas itu dia berjaya membawa kelab kerdil, Derby Contry menjadi juara England dan Notthingham Forest menjuarai Liga Juara-Juara Eropah untuk dua tahun berturut-turut.

Verdict: Kepada mereka yang menyangka bahawa Sir Alex Ferguson merupakan pengurus terbaik di Liga Inggeris, mereka harus menonton filem ini dan meniliti semula pandangan mereka. Sangat memberi inspirasi bagi kaki games Football Manager, Championship Manager dan Total Club Manager.

 

Sekian kompilasi filem bola sepak terbaik dari kami. Jangan lupa untuk komen dibawah mengenai filem bola sepak yang paling best yang pernah anda tengok.

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.
Topik Berkaitan

Kategori Artikel


Kongsi



Berita Bola Yang Menarik