8 Fakta Pertemuan Man Utd VS Roma – Penyokong Roma Geram Solskjaer Perlekeh Pasukan

Solksjaer protest

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata beliau tidak berniat memperlekehkan pihak lawan menjelang perlawanan separuh akhir pertama Europa League pada awal pagi nanti.

Kenyataan Solksjaer sebelum ini disalah erti segelintir pihak di Roma. Setelah berjaya melepasi halangan Granada di suku akhir, Solksjaer dalam kenyataannya berkata beliau “tidak berapa mengenali” pasukan dari Itali itu.

Salah faham kenyataan

Kenyataan tersebut mendorong penyokong Roma menggantung sepanduk di pusat latihan di mana skuad Manchester United menjalani latihan di Itali dengan perkataan: “Saya tidak tahu mengenai mereka dan tidak pernah melihat mereka bermain.”

Mengulas perkara tersebut, Solskjaer berkata: “Komen tersebut diberikan selepas tamat perlawanan menentang Granada. Selepas banyak perlawanan saya cuma meluahkan rasa kelegaan kerana berjaya mara.

“Sudah tentu saya pernah menyaksikan perlawanan membabitkan mereka, namun saya belum melakukan analisis dan memerhatikan permainan mereka secara mendalam. Bukan tidak menghormati mereka, tetapi itulah yang saya maksudkan.

“Dan sudah tentu saya perlu berkata apa yang saya cuba maksudkan. Mereka adalah kelab yang hebat. Saya tahu mengenai sejarah, dan saya juga menyedari kualiti yang mereka miliki.”

Mahu tamatkan badi separuh akhir

Dalam sidang media menjelang perlawanan tersebut, Solskjaer juga mengesahkan Anthony Martial dan Phil Jones sebagai dua pemain yang sah akan disisihkan akibat kecederaan.

Solksjaer juga berkata ia akan menjadi mimpi yang menjadi realiti sekiranya beliau berjaya membantu Manchester United memenangi trofi pada musim ini.

Sehingga kini Manchester United sudah terkandas di dalam empat pusingan separuh akhir di dalam tempoh 18 bulan lalu di bawah kendalian pengurus dari Norway itu. Kali terakhir Solksjaer meraih kejuaraan ialah pada 2013 apabila menjuarai Piala Norway bersama Molde.

“Ia adalah satu impian untuk menjulang trofi selaku pengurus bersama kelab ini,” kata Solksjaer. ” Impian kami ialah untuk menamatkan musim ini denga menjulang satu trofi. Saya amat faham betapa pentingnya kejuaraan untuk kumpulan pemain ini terus melangkah ke hadapan.”

Fakta-fakta perlawanan

Pertemuan membabitkan Manchester United dan Roma bukanlah perkara asing di peringkat eropah. Ole Gunnar sendiri pernah berhadapan dengan pasukan Itali itu ketika masih bergelar pemain di bawah kendalian Sir Alex Ferguon.

Berikut adalah antara fakta-fakta pertemuan kedua-dua pasukan:

  • Perlawanan pada awal pagi nanti merupakan pertemuan ke-7 diantara kedua-dua pasukan di pertandingan eropah. The Red Devils hanya kalah sekali dari enam pertemuan. Semua  enam perlawanan sebelum ini adalah di pertandingan Champions League.
  • Roma kalah dalam semua tiga perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford, dibocori sembilan kali dan hamya berjaya menjaringkan satu gol. Perlawanan pada awal pagi nanti adalah yang pertama sejak Aprol 2008. Roma tewas 1-0 dalam perlawanan peringkat suku akhir Champions League itu.
  • Manchester United hanya tewas sekali dari 12 pertemuan menentang pasukan dari Itali di pertandingan Eropah (W8 D3). Satu-satunya kekalahan ialah kepada Juventus di pertandingan peringkat kumpulan Champions League pada musim 2018/19.
  • Roma pasti mengharapkan kemenangan pertama di saingan eropah menentang pasukan dari Inggeris. Kali terakhir mereka berbuat demikian ialah pada Februari 2001 dengan menewaskan Liverpool 1-0 di Piala UEFA.
  • Manchester United tidak pernah tewas di peringkat separuh akhir pertandingan Eropah sejak April 1997. Kali terakhir pasukan dari Manchester ini tewas di peringkat tersebut ialah kekalahan 1-0 kepada Borussia Dortmund di Champions League. Manchester United menang empat dan seri tiga di tujuh perlawanan separuh akhir yang lain.
  • Roma memenangi semua lima perlawanan selepas saingan peringkat kumpulan Europa League pada musim ini. Rekod mereka sebelum ini ialah tujuh kemenangan di pertandingan Piala UEFA pada musim 1990/91. Roma mara ke perlawanan akhir pada musim tersebut.
  • Sejak melakukan penampilan pertama di pertandingan ini pada Februari 2018, pemain tengah Manchester United Bruno Fernandes telah menghasilkan 26 gol dan 17 assist. Penglibatan gol tersebut adalah jauh lebih daripada penglibatan mana-mana pemain lain di dalam sejarah pertandingan.
  • Penyerang Roma, Edin Dzeko telah menjaringkan lima gol dari empat pertemuan menentang Manchester United di Old Trafford. Ini termasuklah dua gol di setiap dua perlawanan untuk Manchester City (pada Oktober 2011 dan Mac 2014)

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN