Sesebuah pasukan memerlukan penyerang yang berkualiti dan berkesan. Seperti yang kita ketahui, terdapat banyak jenis penyerang dalam bola sepak, tetapi kita bolehlah pecahkan ianya kepada dua yang utama iaitu penyerang moden atau klasik.
Walau apa pun jenis penyerang yang wujud ketika ini, seorang penyerang, harus mempamerkan sentuhan yang berkesan kerana selalunya tanggungjawab untuk meledak gol berada di bahunya walaupun posisi lain juga boleh diberikan peranan.
Semuanya BOLA telah menghubungi bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakli untuk bertanyakan tips dan juga rahsia untuk menjadi seorang penyerang yang berkesan dan berikut adalah 7 tips yang dikongsikannya kepada semua.
Semua pastinya mengenali Dekman yang sinonim dengan penyerang jersi bernombor 14 ini. Malah pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira telah membawanya menjadi penolongnya agar dapat memberikan visi lebih segar kepada jentera serangan.
Latih jaring gol menerusi rembatan, hantaran lintang ataupun mengelecek
Seorang penyerang yang berkualiti bukan sahaja boleh menjaringkan gol dengan satu cara atau kaedah. Kebolehan menjaringkan gol dari pelbagai sudut juga perlu dimiliki oleh penyerang bagi mempelbagaikan sentuhan jaringannya dalam perlawanan.
Kena cepat berfikir
Ini salah satu aspek penting untuk seorang penyerang menurut Akmal Rizal. Seorang penyerang harus cepat fikir apabila berada di padang terutama sekali apabila berada di depan gawang. Jika lambat untuk berfikir, ia akan mengganggu sentuhannya.
Mesti ada perancangan
Apa yang dimaksudkannya, setiap penyerang harus memandang dan merancang jauh ke depan, iaitu sebelum menerima bola di kakinya. Jadi, kerjanya akan jadi mudah apabila sudah nampak apa yang akan dilakukannya selepas menerima bola.
Perlu berani ambil risiko
Menurut Akmal Rizal lagi, seorang penyerang yang berkesan perlu berani untuk ambil risiko bagi membuat percubaan terutamanya dalam kotak penalti. Apa sahaja bentuk peluang yang datang kepadanya, beliau harus bersedia untuk menyudahkannya.
Banyak berlatih merembat di depan kotak penalti
Ini merupakan antara yang telah diamalkannya dahulu. Apa yang dilakukannya adalah membuat latihan tersebut 10 kali berturut-turut dan dibuat dalam tiga set setiap hari. Ini akan menguatkan rembatan seorang penyerang supaya menjadi lebih padu.
Latihan rembatan tepat
Menurut Akmal Rizal, menjadi rutinnya beliau akan meletakkan tanda di bahagian atas dan bawah penjuru gol. Ketika di dalam sesi latihan, pemain yang pernah berkelana ke Perancis itu akan cuba menyasarkan rembatannya kepada tanda tersebut.
‘Extra training’ sebelum dan selepas latihan
Ini adalah kebiasaan kepada pemain-pemain hebat sebagai contoh lagenda Perak, M. Nagaraja dan juga lagenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari. Sebagai seorang penyerang, latihan tambahan ini pastinya bagi mengasah sentuhan penyudah.
KREDIT FEATURED IMAGE: STANLEY CHOU/ALLSPORT