Terdapat banyak stadium yang telah luput dari peta bola sepak dunia. Antara sebab kehilangan stadium-stadium tersebut adalah atas faktor pembangunan, penjualan dan sebagainya.
Menurut Premier Football Books, di England, hampir 20 kelab telah berpindah dari stadium asal kepada stadium baharu sejak 20 tahun lalu dan jumlah tersebut kian meningkat saban tahun.
Antara stadium yang telah berubah wajah adalah Highbury, Victoria Ground, Maine Road dan Burnden Park. Apa yang telah jadi kepada stadium-stadium tersebut pada ketika ini?
Semuanya BOLA akan membawa kepada anda senarai 7 stadium yang telah diberikan nafas dan wajah baharu selepas tidak lagi digunakan untuk pertandingan bola sepak.
1) Arsenal – Highbury
Stadium Highbury telah digunakan sejak September 1913 oleh kelab yang berpengkalan di London itu selepas Woolwich Arsenal berpindah daripada Manor Ground, London.
Pada 1932, stadium tersebut telah ditukar nama kepada Stadium Arsenal dan bertahan selama 93 tahun sebelum Arsenal berpindah ke stadium baharu, Stadium Emirates pada 2006.
Perlawanan kompetitif pertama yang berlangsung di stadium tersebut adalah pada September 1913 menyaksikan Arsenal menang 2-1 ke atas Leicester Fosse.
Sementara perlawanan kompetitif terakhir yang berlangsung adalah pada 7 Mei 2006 dan disaksikan oleh 38,359 penonton. Arsenal menewaskan Wigan 4-2 dalam aksi liga.
Stadium itu kini telah bertukar menjadi Highbury Square, dipenuhi dengan ratusan flat mewah di sekeliling padang yang pernah menyaksikan ramai lagenda Arsenal beraksi.
2) Bolton – Burnden Park
Untuk 102 tahun, Burnden Park telah menjadi gelanggang rasmi buat kelab Bolton Wanderers, bermula pada tahun 1895. Ianya digunakan setahun selepas kelab menjadi limited company.
Bolton kini beraksi di stadium baharu iaitu Stadium Macron bermula pada tahun 1997. Sebelum dikenali sebagai Macron, stadium tersebut telah dinamakan sebagai Stadium Reebok.
Pada Mac 1946, telah berlaku satu tragedi di Burnden Park apabila 33 penyokongnya mati dan hampir 400 lagi cedera selepas dua penahan penonton runtuh dan para penyokong jatuh bertindih.
Ia disebabkan stadium tersebut tidak dapat menampung lebihan penyokong iaitu hampir 85,000 penyokong, melebihi kapasiti sebenar iaitu hanya 15,000 penonton pada ketika itu.
Stadium tersebut kini telah bertukar menjadi pasaraya, Asda, pada 2005 dan dinding pasaraya tersebut dihiasi gambar stadium tersebut dan lagenda yang pernah beraksi untuk Bolton.
3) Bristol Rovers – Stadium Eastville
Stadium Eastville telah siap dibina pada 1897 dan telah menyaksikan perlawanan kompetitif pertama Bristol Rovers menentang Aston Villa pada April 1897.
Bristol Rovers berkongsi stadium itu dengan pasukan lumba motosikal, Bristol Bulldogs Speedway, sarkas dan juga digunakan sebagai trek perlumbaan anjing, greyhound.
Dan apabila liga ditangguhkan disebabkan Perang Dunia ke-2, kelab terpaksa menjual stadium tersebut kepada Persatuan Perlumbaan Greyhound Bristol dengan harga £12,000.
Disamping itu, Bristol Rovers turut bersetuju untuk membayar £400 secara tahunan semula kepada persatuan tersebut untuk membolehkan mereka bermain di situ.
Pada 1986, pemilik stadium menaikkan sewa stadium dan Bristol Rovers terpaksa berpindah keluar dan akhirnya sepuluh tahun kemudian berpindah ke Stadium Memorial pada 1996.
Stadium tersebut terus digunakan oleh pemilik stadium untuk perlumbaan greyhound sehingga pada tahun 1998 sebelum dirobohkan untuk tujuan pembinaan pasaraya Ikea.
4) Cardiff City – Ninian Park
Dibina pada 1910, Ninian Park dinamakan sempena nama Leftenan Kolonel Lord Ninian Edward Crichton-Stuart, seorang Polis Tentera yang terbunuh pada Perang Dunia Pertama.
Leftenan Kolonel Lord Ninian telah berjasa kerana menjadi penjamin kewangan kepada kelab untuk tanah tersebut selepas penjamin sebelum ini menarik diri.
Perlawanan pertama di stadium tersebut adalah pada September 1910 menyaksikan perlawanan antara Cardiff menentang Aston Villa, berkesudahan dengan dimenangi oleh Aston Villa.
Namun, selepas 99 tahun, Cardiff City terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada stadium keramat mereka dan berpindah ke stadium baharu, Stadium Cardiff City pada 2009.
Perlawanan terakhir yang berlangsung di stadium tersebut adalah perlawanan liga yang menyaksikan Cardiff City tewas 0-3 kepada Ipswich Town pada April 2009.
Stadium baharu mereka hanya 250 meter daripada tapak asal yang kini telah berubah wajah menjadi kawasan perumahan dan juga tapak pembangunan.
5) Manchester City – Maine Road
Digelar ‘Stadium Wembley Utara’, Maine Road pernah menjadi tuan rumah untuk perlawanan separuh akhir Piala FA, perlawanan sumbangsih dan juga perlawanan akhir Piala Liga.
Ketika pembinaannya, stadium tersebut dikatakan terkena sumpahan oleh puak gypsy apabila pegawai-pegawai telah menghalau penduduk gypsy dari kawasan tersebut.
Walaubagaimanapun, sumpahan tersebut dikatakan hanyalah mitos bandar tersebut. Pembinaan stadium mengambil masa selama 300 hari dan menelan belanja £100,000.
Stadium tersebut mula digunakan untuk perlawanan kompetitif pada Ogos 1923 menyaksikan Manchester City menewaskan Sheffield United dengan keputusan 2-1.
Manchester United pernah berkongsi menggunakan stadium ini selepas Perang Dunia Kedua apabila Old Trafford mengalami kerosakan ketika ‘Manchester Blitz’.
Selepas kali terakhir digunakan pada Mei 2003, pembangunan perumahan telah bermula pada 2004 dan kini terdapat lebih kurang 500 rumah kediaman di Maine Road.
6) Stoke City – Victoria Ground
Stadium tersebut dinamakan sempena nama hotel berdekatan dengan stadium iaitu, Hotel Victoria. Perlawanan pertama yang dilangsungkan di stadium itu adalah pada Mac 1878.
Selepas 119 tahun beraksi di Victoria Ground, Stoke City telah berpindah ke Stadium Britannia pada tahun 1997. Ia merupakan stadium tertua dalam bolasepak England.
Stadium tersebut mampu memuatkan 56,000 penyokong dan rekod tertinggi kehadiran penyokong adalah ketika perlawanan menentang Arsenal pada Mac 1937 iaitu 51,380 penyokong.
Ketika Perang Dunia Kedua, salah satu bahagian di dalam stadium tersebut iaitu Butler Street Stand telah digunakan oleh pihak tentera sebagai stor simpanan tentera.
Pada 1976, akibat dilanda ribut, berlaku kerosakan kepada beberapa bahagian stadium dan pihak kontraktor yang membaikinya turut mengalami musibah.
Akibat musibah itu, pengurus ketika itu, Tony Waddington terpaksa menjual beberapa pemain bintang antaranya Alan Hudson dan Peter Shilton untuk menampung kos baik pulih.
Selepas 19 tahun stadium telah dirobohkan, kawasan tersebut masih ‘kosong’ dan tiada sebarang pembangunan dibuat. Pihak pemaju menyatakan pelbagai masalah berhubung tanah tersebut.
7) Brighton and Hove Albion – Goldstone Ground
Stadium Goldstone Ground telah dibuka pada 1902. Stadium tersebut terlebih dahulu digunakan oleh kelab Hove FC dan Albion menggunakan stadium tersebut sejak Februari 1902.
Berbeza dengan kelab lain, Albion terpaksa keluar daripada stadium mereka disebabkan masalah hutang dan bukanlah disebabkan memiliki stadium baharu.
Stadium tersebut telah dijual oleh kelab kepada pemaju pada 1997 untuk mengelak kelab dari bankrup dan untuk menyelesaikan hutang yang semakin meningkat.
Penyokong mereka telah menunjukkan kemarahan mereka kerana tindakan kelab menjual ‘rumah’ mereka kepada pemaju dengan melakukan protes dengan membuat ‘pitch invading’ pada 1996.
Selepas perlawanan terakhir mereka, para penyokong telah meninggalkan ‘cenderahati’ buat kelab mereka dengan mengoyak rumput untuk dibawa balik dan merobohkan papan-papan iklan.
Sejak 1902 sehingga 1997, stadium tersebut telah dihadiri oleh 22.9 juta penyokong untuk 2174 perlawanan. Rekod tertinggi kehadiran penyokong adalah 36,747 penyokong.
Goldstone Ground yang telah dijual kepada pemaju kini telah bertukar wajah menjadi kawasan kedai-kedai runcit. Albion pula kini telah memiliki stadium sendiri, Stadium Amex.
Penutup
Itu adalah sebahagian kisah 7 stadium yang telah luput dari peta bola sepak dunia. Ada yang telah dijual dan ada yang diberi ruang untuk pembangunan lain.
Para pembaca boleh mencari maklumat untuk lebih jelas mengenai kisah-kisah ringkas yang telah dicoretkan oleh penulis. Terlalu panjang untuk diceritakan di dalam artikel ini.
Paling menarik pada pendapat penulis pastinya kisah kelab Brighton and Hove Albion dan Goldstone Ground milik mereka. Mereka bukan meninggalkan stadium untuk stadium baharu.
Tidak seperti kelab-kelab lain yang berpindah kerana memiliki stadium baharu, Albion terpaksa meninggalkan ‘rumah’ mereka akibat hutang dan berpindah-randah ke beberapa stadium.