7 Perlawanan Terbaik Dalam Kancah Bola Sepak Malaysia Sepanjang Tahun 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Perlawanan

Tahun 2019 telah pun tiba ke penghujungnya dan hanya tinggal enam hari sahaja lagi untuk menjengah tahun baharu, 2020.

Bermula dari 1 Februari yang lalu, tarikh ketika Liga Malaysia 2019 bermula sehinggalah 4 Disember lalu iaitu hari perlawanan terakhir skuad kebangsaan Bawah-22 beraksi dalam saingan Bola Sepak (Lelaki) Sukan SEA 2019, pelbagai aksi menarik telah disajikan buat kita seluruh penyokong bola sepak Malaysia baik aksi pasukan negeri dan kelab dalam Liga Malaysia mahupun perlawanan-perlawanan membabitkan skuad kebangsaan.

Berikut adalah tujuh perlawanan terbaik dalam bola sepak Malaysia sepanjang tahun 2019 pilihan Semuanya BOLA:

  • Melaka United 3-4 Selangor, Liga Super Malaysia, 6 April 2019
Sumber: Vocket FC

Amri Yahyah dan Patrick Reichelt saling berbalas gol dalam 54 minit pertama masing-masing untuk pasukan Selangor dan Melaka United, sebelum Darko Markovic menjaringkan gol ketiga buat skuad Kancil.

Markovic dilihat bakal menjadi wira kemenangan Melaka ketika itu, namun kehadiran penyerang muda Selangor, Sean Selvaraj menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-88 dan 94 untuk memberikan tiga mata penuh buat Red Giants.

  • Johor Darul Ta’zim 1-0 Kashima Antlers, AFC Champions League, 8 Mei 2019
Sumber foto: JOHOR Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) FC mencipta sejarah tersendiri musim ini apabila menjadi pasukan pertama dari Malaysia beraksi dalam AFC Champions League (ACL).

Bukan itu sahaja, mereka berjaya mengejutkan juara bertahan, Kashima Antlers di laman sendiri 1-0 hasil jaringan Syafiq Ahmad. Kemenangan tersebut merupakan kemenangan tunggal JDT dalam ACL musim ini.

Tentunya JDT merancang untuk melakukan lebih lagi dalam ACL musim hadapan.

  • Terengganu 3-5 Petaling Jaya City, Liga Super Malaysia, 14 Mei 2019
Sumber foto: Malaysian Football League

Terengganu mendahului perlawanan dengan menyumbat tiga gol hanya dalam masa 20 minit pertama perlawanan, namun ia tidak melunturkan langsung semangat anak-anak buah K. Devan.

Menuju ke babak kedua, PJ City FC menjaringkan 5 gol untuk terus memadam kesemua tiga gol milik skuad Penyu, sekaligus mengutip tiga mata penuh dari Kuala Terengganu. Juga, Irfan Bakti Abu Salim meletakkan jawatan sejurus selepas perlawanan tersebut.

– Perak 3-0 Pahang, Separuh Akhir Kedua Piala FA Malaysia, 29 Jun 2019

Sumber foto: BH

Perak ketinggalan 1-3 secara agregat kepada Pahang untuk merebut tempat ke final Piala FA 2019.

Beraksi di laman sendiri, Perak menggunakan kelebihan tersebut dengan sepenuhnya. Gol Brendan Gan pada minit ke-35 memulakan keraian mereka malam itu, sebelum J. Partiban menyamakan kedudukan secara agregat – juga kelebihan buat Perak menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Perak tidak terhenti di situ. Gol sendiri Faisal Rosli membunuh terus semangat Pahang. Kedudukan 4-3 secara agregat kekal hingga hujung perlawanan untuk Perak ke pentas akhir Piala FA 2019.

3. Indonesia 2-3 Malaysia, Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, 5 September 2019

Mohamadou Sumareh Malaysia Indonesia
FOTO: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Antara perlawanan paling ditunggu kesemua penyokong bola sepak Malaysia tahun ini.

Perlawanan yang berlangsung di Gelora Bung Karno ini bermula dengan penyokong Malaysia tidak dilayan dengan baik oleh penyokong tuan rumah.

Indonesia mendahului perlawanan sebanyak dua kali, kedua-duanya menerusi Beto Goncalves, namun kita membalas melalui Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad, sebelum menambah lagi epik perlawanan ini dengan Sumareh menjaringkan gol kemenangan betul-betul pada minit terakhir perlawanan untuk kita memperoleh tiga mata penuh dari laman Sang Garuda.

2. Pahang 5-5 Kedah, Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia 2019, 26 Oktober 2019

Sumber foto: Malaysian Football League

Skrip hampir sama seperti separuh akhir Piala FA 2019, Pahang melangkah ke perlawanan ini dengan kelebihan, cuma kali ini menerusi gol tempat lawan.

Kedudukan agregat adalah Pahang 4-5 Kedah sebelum Lazarus Kaimbi menjaringkan dua gol buat Pahang. Ramai menyangka ia adalah pengakhiran perlawanan. Namun tidak kata Kedah. Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol untuk agregat menjadi 6-6, mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kedah menjaring lagi minit ke-93 menerusi Renan Alves, begitupun berjaya disamakan semula menerusi Herold Goulon, tetapi gol Fernando Rodriguez minit ke-118 dilihat menutup terus peluang Pahang kerana Tok Gajah perlu mencari dua gol.

Dickson Nwakaeme menjaringkan gol kelapan Pahang secara agregat, gol penyamaan agregat namun tidak dapat menyelamatkan pasukan.

1. Malaysia 2-1 Thailand, Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, 19 November 2019

Brendan Gan Malaysia Thailand
FOTO: FAM

Thailand hadir selaku pasukan bereputasi tinggi, terutamanya ketika itu mereka baru sahaja menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mereka mendahului perlawanan menerusi Chanathip Songkrasin pada awal perlawanan, namun segala-galanya dilihat berubah selepas itu.

Persembahan skuad kebangsaan kita bertambah baik dari minit ke minit, dan hasilnya Brendan Gan berjaya menyamakan kedudukan hampir 20 minit selepas gol Thailand.

Bukan itu sahaja, Gan juga dilihat berjaya menguasai bahagian tengah perlawanan, seterusnya menjadi punca kita mendominasi perlawanan.

Ia bertambah manis apabila Mohamadou Sumareh menjaringkan gol kedua Malaysia minit ke-57, seterusnya kita mengutip tiga mata penuh.

Tidak keterlaluan jika kita katakan ia adalah persembahan terbaik pernah kita saksikan dari skuad kebangsaan bola sepak Malaysia sejak kebelakangan ini. Bukan mudah untuk dilakukan, tetapi para pemain anak-anak buah Tan Cheng Hoe berjaya membuktikannya!

PERCUMA: Bandage Lekat Sendiri

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U