7 Pemain Tempatan Yang Dijangka Menyerlah Di MSL 2019

Jika sebelum ini, Semuanya BOLA telah bawakan artikel 7 pemain import yang dijangka menyinar di Liga Super Malaysia (MSL) 2019, artikel ini pula akan cuba menyenaraikan 7 pemain tempatan yang dijangka boleh menyinar pada musim hadapan.

Dengan kouta 5 pemain import dibenarkan bermula pada musim lalu, setiap pasukan telah cuba untuk memenuhkan kouta tersebut tanpa memikirkan nasib pemain tempatan yang mungkin akan menyaksikan ramai kehilangan posisi mereka.

Jadi, di sebalik hampir separuh jumlah pemain import yang akan beraksi di atas padang itu, pemain tempatan manakah yang boleh menyinar ataupun mampu menjadi tonggak pasukan masing-masing dalam saingan liga musim hadapan?

Disebabkan masih terdapat pasukan yang belum melengkapkan senarai pemain, berkemungkinan akan ada juga pemain lain boleh disenaraikan. Berikut merupakan 7 pemain tempatan yang dijangka mampu menyinar pada MSL 2019.

La’Vere Corbin-Ong (JDT)

Sesuatu yang masih menimbulkan persoalan adalah ketiadaan pemain ini di dalam skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 meskipun sudah didaftarkan sebagai pemain tempatan JDT atas tiket pemain kacukan musim lalu.

Dengan ketidaktentuan nasib pertahanan yang baharu direkrut, Syazwan Andik samaada akan menjadi rakan pesaingnya atau selamanya di bangku simpanan, Corbin Ong bakal terus menyinar sebagaimana pada musim lalu – beraksi hampir kesemua perlawanan.

Memiliki kualiti dari segi dinamik dan larian pantas di bahagian sayap, pemain kacukan Kanada-Malaysia ini juga memiliki lontaran ke dalam yang sangat kuat serta jauh. Kekentalannya beraksi telah memaksa JDT menurunkan Fazly Mazlan ke JDT II.

Pemain bek kiri berusia 27 tahun itu pernah menyatakan dalam temubual bersama NST, “Saat ini fokus utama saya adalah untuk JDT dan mengukuhkan kedudukan saya dalam pasukan. Untuk hal yang lain saya akan lihat satu persatu selepas itu.”

Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah)

Berpunca daripada kecederaan patah tulang fibula yang memaksanya berehat lebih tiga bulan, Amirul Hisyam atau mesra dengan panggilan Worm di kalangan penyokong Kedah ini telah kehilangan tempatnya kepada Akram Mahinan pada musim lalu.

Musim 2016, Amirul adalah pasangan terbaik di jentera tengah Hijau Kuning bersama bekas pemain import mereka, Liridon Krasniqi dengan hampir 33 penampilan sebelum berkurangan dengan kembalinya Akram daripada JDT pada musim 2017.

Produk SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman itu merupakan tonggak Harimau Muda C yang beraksi di Liga Premier Queensland, Australia pada tahun 2014 sebelum kembali ke Kedah pada musim 2016 selepas Harimau Muda dibubarkan oleh FAM.

Beraksi dalam hampir semua aksi pra musim Kedah terutamanya ketika menentang Perak dan juara Thai League 1, Buriram United memberi bayangan yang Amirul akan kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Nor Azam Azih (Pahang)
Nor Azam Azih
Foto: NSTP

Merupakan tonggak penting Pahang pada musim lalu namun mengalami kecederaan lutut sehingga mengganggu tugasannya untuk bersama skuad kebangsaan di kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 – di mana Malaysia melangkah sehingga ke pentas akhir.

Pemain berusia 24 tahun itu antara tonggak penting skuad B-23 negara dalam menjelmakan aksi memberangsangkan – ketika meraih pingat perak Sukan SEA 2017 dan layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 2018 – sebelum tewas kepada Korea Selatan 1-2.

Mengakui terkilan digugur daripada skuad kebangsaan tempohari, Azam telah memberi jaminan akan mempamerkan aksi terbaiknya dalam saingan Liga M agar dapat kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk Kejohanan Pestabola Merdeka, Mac depan.

Kebolehan Azam mengelola jentera tengah dengan baik telah banyak membantu Pahang dan juga skuad B-23 negara menguasai perlawanan. Selain memiliki hantaran jauh yang baik, Azam juga seperti jeneral untuk pasukan ketika menjana asakan ke benteng lawan.

Brendan Gan (Perak)
Foto: Kosmo

Setelah kembali daripada kecederaan ACL untuk kali kedua, Brendan Gan menyertai Perak pada musim lalu. Dia dilepaskan oleh Kelantan kerana kecederaan tersebut memerlukan masa yang lama untuk pulih dan telah melalui proses pemulihan selama hampir setahun.

Mungkin langkah yang tepat memilih untuk menyarung jersi Perak, pemain kelahiran Australia ini kembali ke puncak permainan apabila berjaya membantu skuad kendalian Mehmet Durakovic meraih kedudukan kedua MSL dan Piala Malaysia musim lalu.

Dengan tiada perubahan ketara dalam skuad The Bos Gaurus, Gan dijangka mengekalkan posisinya serta bakal menyerlah sekali lagi musim ini. Kali ini mungkin lebih baik kerana Gan telah pulih sepenuhnya berbanding ketika beraksi di permulaan musim lalu.

Gan adalah seorang pemain yang berbahaya jika dibiarkan naik ke kawasan lawan kerana kemampuannya merencana asakan walaupun posisinya kini telah diubah daripada pemain tengah menyerang (no. 10) ke posisi pemain tengah bertahan (no. 6).

Rodney Calvin (PKNS FC)
Sumber: KAFA, Facebook.

Baru berusia 22 tahun dan merupakan pemain tonggak pasukan pastinya idaman setiap pemain profesional di Malaysia. Selepas berpindah daripada Sarawak ke PKNS FC musim lalu, Rodney Calvin telah mendapat peluang menerajui benteng Sang Semut Merah.

Tanpa persaingan pemain import dan susuk tubuh yang besar, Rodney Calvin dijangka sekali lagi akan menjadi tunjang di benteng tengah PKNS FC serta berkemungkinan berganding bersama-sama Shahrom Kalam yang bertukar masuk daripada Felcra FC.

Ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal telah mengenali bakat muda ini ketika membimbing Sarawak untuk musim 2016 dan ketika menyertai PKNS FC pada penghujung tahun 2017, Rodney telah dibawa masuk untuk mengisi posisi pertahanan yang serba kekurangan.

Beraksi hampir 27 perlawanan sepanjang musim lalu, Rodney dan rakan-rakan di benteng telah berjaya mengurangkan jumlah bolos PKNS FC berbanding musim 2017 sebanyak 9 gol selain melonjak kedudukan pasukan ke kedudukan ketiga MSL 2018.

Syahmi Safari (Selangor)

Tidak dinafikan, Syahmi Safari adalah pemain yang paling dinantikan untuk musim 2019. Prestasi memberangsangkan pada saingan Piala AFF Suzuki yang lalu telah sedikit sebanyak menaikkan nama anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini.

Sebelum ini, Syahmi sentiasa dibayangi pemain-pemain lain di posisi kanan skuad kebangsaan seperti Matthew Davies dan Rizal Ghazali, namun selepas ketiadaan mereka di saingan Piala AFF, Syahmi mendapat peluang untuk merebut posisi tersebut.

Menjadikan penyerang Perancis, Antoine Griezmann sebagai idolanya, pemain berusia 20 tahun ini menyatakan keupayaan Griezmann mengawal dan menghantar bola dengan baik telah menarik perhatiannya walaupun dia adalah seorang penyerang.

Produk yang lahir daripada akademi Selangor ini adalah pemain paling konsisten memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan tempohari malah untukskuad  The Red Giants, dia merupakan pemain utama dan telah meledak 6 gol pada musim lalu.

Danial Amier Norhisham (Felda United)

Kapten baharu skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee, Danial Amier Norhisham adalah antara bakat muda yang perlu diberikan perhatian untuk musim ini. Pemain tengah berusia 21 tahun ini dijangka bakal menjadi tonggak utama Felda United.

The Fighters telah kehilangan majoriti pemain untuk saingan musim ini akibat kekurangan dana dan ini menjadikan Danial antara watak utama yang akan membawa cabaran skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil dalam keseluruhan Liga M musim 2019.

Dipetik berkata kepada Goal, Danial mengakuinya dan menjelaskan musim 2019 akan lebih mencabar dengan penghijrahan majoriti pemain utama, “Pengurusan pasukan meletakkan harapan tinggi kepada saya dan itulah cabaran yang saya inginkan.”

Danial yang pernah mendapat tawaran beraksi bersama kelab Australia Dunbar Rovers FC itu akan sentiasa diingati menerusi jaringannya ketika menewaskan Arab Saudi yang membawa skuad B-23 ke peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23 pada tahun lalu.

Penutup

Masih terdapat beberapa nama yang boleh disenaraikan dalam senarai di atas, namun penulis merasakan 7 pemain ini yang memiliki sedikit kelebihan berbanding yang lain.

Antara pemain yang tiada dalam senarai di atas yang juga dijangka boleh menyerlah dan menjadi tonggak pasukan sepanjang musim 2019 adalah seperti Shahrul Saad (Perak), Zaquan Adha (Kedah), Akram Mahinan (PKNS FC) dan Hadin Azman (Felda United).

Anda mempunyai nama lain untuk dikongsikan? Kongsikan kami di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN