‘7 Mata Dibelakang Arsenal’- Pep Guardiola Tampil Beri Gambaran Akan Tinggalkan Man City

Pep Guardiola tampil memberi amaran kepada penyokong Manchester City yang beliau tidak kisah untuk menamatkan kontraknya bersama kelab andai peminat sudah tidak gembira dengan kepimpinannya.

Selepas tamat aksi terikat 1-1 bertemu Everton kemarin, Pep Guardiola jelas sekali tidak gembira dengan keputusan perlawanan dan turut memberi gambaran yang beliau bakal meninggalkan kelab dalam masa terdekat ini.

Manchester City sekali lagi keciciran mata dalam saingan Premier League walau mereka sebenarnya terlebih dahulu mendahului perlawanan tersebut.

Erling Haaland membuka tirai jaringan dalam perlawanan tersebut dan ia merupakan gol ke -21 beliau pada musim ini.

Walau bagaimanapun, gol jaringan Haaland itu tidak membantu City untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Demarai Gray menjaringkan gol penyamaan untuk Everton mengikat Man City 1-1 hasil gerakan solo yang sungguh luar biasa menakjubkan

Keputusan seri itu benar-benar beri kesan kepada Man City yang sedang dalam usaha mereka mahu mencabar Arsenal yang kini sedang mendahului carta saingan liga.

Arsenal sendiri berjaya menewaskan Brighton 4-2 dalam aksi saingan Premier League dengan mereka kini tujuh mata mengatasi City untuk mendahului carta liga.

Buat pertama kali sepanjang kariernya di Etihad, Guardiola telah dihentam teruk oleh para peminat kerana aksi tak menentu yang dipamerkan oleh Manchester City.

Keputusan beliau membenarkan Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko menyertai Arsenal pada musim panas lalu menghantui beliau pada ketika ini dengan peminat menyalahkan Pep tentang hal tersebut.

Melihat keadaan pada musim ini, peminat semakin bengang kerana keputusan Pep itu seolah-olah membantu menguatkan lagi Arsenal untuk mencabar mereka.

Dengan beberapa aksi perlawanan di halaman sendiri yang mengecewakan dan ditambah pemilihan pemain yang sedikit meragukan, maka tidak hairanlah mengapa peminat semakin menekan pengurus berusia 51 tahun itu.

Pep Guardiola baru sahaja menandatangani kontrak baru bersama Man City pada November lalu dengan beliau akan kekal bersama kelab sehingga 2025 nanti.

Walau bagaimanapun, Pep Guardiola sepertinya mungkin tidak akan kekal lama bersama kelab dengan beliau berpotensi untuk pergi sebelum kontraknya tamat.

Bercakap ketika sesi sidang media, Pep Guardiola mendedahkan bahawa:

“Bila tiba waktu saya rasa serba tak kena, saya akan berhenti atau tidak akan lanjutkan kontrak saya.”

Jelas Pep Guardiola kepada Marca.

“Saya tidak akan kekal seperti (Sir Alex) Ferguson, (Arsene) Wenger. Kontrak itu hanyalah sehelai kertas. Saya lanjutkan komitmen saya bersama kelab kerana saya rasa skuad masih boleh buat yang terbaik di bawah kepimpinan saya.”

“Pada akhirnya, semuanya tentang keputusan. Jika kita sudah mula letih antara satu sama lain, saya tidak akan tunggu hingga ke akhirnya semata-mata kerana kontrak.”

Pep Guardiola turut memberi nasihat dan amaran kepada Erling Haaland yang kerap menggunakan fizikal yang keterlaluan berdepan anak-anak buah Frank Lampard itu.

Beberapa minit sebelum tamat aksi babak pertama, Haaland telah dilayangkan kad kuning kerana mengasari Vitaliy Mykolenko.

Pemain pertahanan Man City, John Stones sementara itu menuduh Everton bermain dengan taktik kotor dan terlalu membuang masa.

Pep Guardiola bersetuju dengan kenyataan tersebut dan beliau turut mengulas tentang kesilapan anak-anak buahnya.

“Saya akan bercakap dengan Haaland tentang itu. Ia memang kad kuning, itu terlalu nyata.”

“Dengan Jack Grealish tiga ke empat kali dijatuhkan dan tiada apa yang berlaku dan kemudian tindakan pertama dari situasi itu dapat kad kuning.”

“Saya dah cakap banyak kali kepada pemain saya saban tahun ini. Kita perlu buat yang terbaik walau apa pun yang berlaku.”

“Dengan Erling dapat kad kuning, saya kata berhati-hati kerana ia sangat bahaya. Kita tak boleh bermain 10 vs 11.”

“Dia sedikit marah selepas apa yang berlaku pada insiden awal yang menyebabkan ankle dia sakit. Dia bermain dengan baik dan kami lalui perlawanan yang sangat baik.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN