Quantcast
7 Masalah Yang Dihadapi Ketika Aktiviti Futsal Malam


KAJIAN & FAKTA

7 Masalah Yang Dihadapi Ketika Aktiviti Futsal Malam

Thursday, 5 Jan 2017

Futsal adalah satu aktiviti yang digemari ramai. Ia juga antara alternatif terbaik untuk peminat bola sepak padang. Jadi aktiviti futsal pada malam hari di kompleks futsal antara salah satu riadah yang popular.

kredit foto : Asnawi Aazizan

Antara sebab futsal malam-malam ini menjadi pilihan adalah kerana lebih ramai ada masa terluang pada malam hari terutama yang bekerja.

Namun ada beberapa masalah yang kerap dihadapi oleh pemain-pemain aktiviti futsal malam ini yang anda juga pernah lalui.

1. Penyertaan

Biasanya kita akan mengumpul nama-nama pemain yang akan bermain. Bagi yang ada kumpulan whatsapp, telegram ataupun facebook, pastinya ia akan dihebah melalui medium tersebut.


Masalah maklum balas kerap menjadi masalah apabila ramai yang gagal memberikan respon segera. Soalannya mudah, nak main atau tidak?

Jadi, kerap berlaku jumlah yang tidak tepat bila aktiviti. Antaranya adalah isu terlebih ramai. Ianya apabila dalam proses mengumpul ahli, berlaku kekurangan 3 atau 4 orang daripada yang dijangka.

Gambar sekadar hiasan/ kredit foto : Amir Zarif

Lalu dipesan kepada rakan-rakan supaya membawa seorang lagi rakan. Masalahnya, mereka membawa 1 pasukan. Ada juga yang berkata:

“Bang, tadi saya memang ajak dia seorang, tapi dia ajak kawan dia seorang lagi, kawan dia ajak dia seorang lagi.”

2. Cancel Saat Saat Akhir


Antara masalah paling kerap berlaku. Ada yang tak nak datang dengan alasan yang pelik dan kurang munasabah walaupun sudah berjanji bersungguh-sungguh.

Gelanggang pula sudah ditempah dan dibayar deposit. Untuk yang ada kecemasan dan hal yang tidak dapat dielakkan kita faham. Tapi apabila melibatkan 5 hingga 8 orang yang cancel last minute, memang pening dibuatnya.

Ada yang mendiamkan diri bila ditanya status semasa dan menghilang dari group whatsapp selama seminggu selepas buat hal.

Tidak lupa juga yang perangai cakap lebat dalam group tapi tiba hari bermain, tak nampak batang hidung. Akhirnya hanya 6 atau 8 orang sahaja yang ada dan terpaksa bermain sebab gelanggang dah ditempah.

kredit foto: Asnawi Aazizan

Lalu aktiviti crossbar challenge menjadi pilihan.


3. Diva

Antara masalah yang paling dibenci oleh kita semua. Salah satu perangai diva adalah, melihat hanya 2 pasukan yang bermain, mulalah tak nak bermain dan balik.

Adas juga diva yang suka-suka datang lambat. Lebih teruk, apabila diva ini berkelompok, berkumpulan atau berpasukan.

Ramai kita faham jika ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Namun yang menjadi masalah adalah apabila pattern itu berulang-ulang setiap kali melibatkan orang atau kumpulan yang sama.

Tiba di gelanggang futsal, tidak terus memakai kasut. Pergi ‘mengorbit’ gelanggang dahulu. Memakai kasut punyalah lama. Lepas siap pakai kasut, periksa telefon pintar. Kemudian pekena rokok sebatang dahulu.

Tempahan dibuat untuk 10 malam sehingga pukul 12 malam tetapi datangnya pukul 11 malam. Lebih teruk kalau ia melibatkan ramai orang yang berperangai begitu.

Terbuang setengah jam sebab mencari cukup orang untuk bermula. Seperti biasa, tembak tiang dahulu. Kemudian bila ramai datang lambat, mulalah panik semua nak bermain sebab masa semakin suntuk.

Bayar untuk 2 jam tapi bermain hanya sejam.

kredit foto : Luqman Musthafa

4. Tak Nak Jadi Penjaga Gol

Antara masalah yang diutarakan kepada kami adalah, sikap tak nak menjadi penjaga gol dengan alasan, ‘saya tak pandai keeper.’

Gambar sekadar hiasan/ kredit foto : Asnawi Aazizan

Ia hanya aktiviti santai malam-malam dengan rakan-rakan. Jadi alasan seperti ini agak sukar diterima. Ada yang menjadi penjaga gol sampai ke sudah tidak keluar-keluar dari gelanggang atas permintaan pasukan seterusnya.

“Bro stay la! Kami tak ada keeper.

Kadangkala rakan yang bermain keeper juga mahu bermain sebagai pemain outfield. Apa salah bagilah mereka peluang.

5. Bayaran

Biasanya, kita akan membayar sama rata untuk bayaran gelanggang. Namun ada perangai yang kadang-kadang mengelak dari membayar. Ada yang balik awal.

Jika ia persahabatan dengan pasukan lain mungkin senang nak kutip berdasarkan pasukan. Tapi jika ia melibatkan keahlian terbuka, ia menjadi masalah.

Kami juga mendengar rintihan si penempah kerap menjadi mangsa kerana membayar deposit awal tapi kemudian terpaksa dibatalkan.

Si penempah juga kerap merungut apabila bayaran kurang mereka harus menambah. Sedangkan mereka sudah luangkan masa dan tenaga untuk pergi ke kompleks futsal.

6. Bermain Terlalu Serius

Bermain futsal santai malam-malam adalah aktiviti riadah. Ia berbeza dengan perlawanan persahabatan untuk persediaan ke kejohanan futsal.

Semua orang memang mahu serius dalam melakukan hobi untuk kepuasan namun janganlah sampai terlalu serius dan melebih sehingga melakukan contact yang terlalu keras.

Ia bukan kejohanan yang diselia dan ada insurans. Jika tercedera sudah pasti ia akan memberikan impak kepada kerja mahupun pelajaran.

Kecederaan memang boleh berlaku, tetapi jika tidak terlalu kasar bermain, sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan impak kecederaan yang teruk seperti patah kaki.

Jadi berpada-padalah.

Gambar sekadar hiasan / kredit foto: Ibnu Syauqer

Bahkan perlawanan latihan skuad kebangsaan di Piala Dunia pun mereka akan fokus kepada aspek teknikal dan taktikal, bukannya bermain sampai ada yang tercedera.

7. Bermain Terlalu Lama

Kami mendapat maklum balas sistem siapa menang akan kekal menjadi pilihan kepada aktiviti yang melibatkan banyak pasukan.

Namun ramai juga mengeluh sistem itu akan menyebabkan pasukan kuat akan bermain terlalu lama. Ramai juga pemain tidak mahu bercampur dengan pemain yang dirasakan tidak cukup power.

Rasanya sistem ini memang bagus, namun gunakanlah common sense. Jika sudah berada di gelanggang lebih dari 3 perlawanan rasanya tak salah untuk keluar dan membiarkan pasukan lain bermain .

Jadikan ia aktiviti sukan bersama-sama bukannya mencari mana pasukan invincibles.

Kredit gambar : Amir Zarif

Masa kumpul duit untuk bayaran tidak ada sistem siapa pemain bintang bayar lebih sebab pemain lain cuma rakan sparring.

Rumusan

Itu antara beberapa konflik dan masalah yang kerap dihadapi oleh pemain-pemain futsal yang serius mahu beriadah bersama-sama dengan rakan-rakan dan kenalan baru yang sama minat.

Kami memahami masalah di atas kerana kami pun seperti anda. Jadi, kami berharap peminat sukan futsal teruskan menjadikan futsal sebagai sukan riadah untuk bermuhibbah bersama rakan-rakan, termasuk rakan-rakan lama.

Pada masa yang sama ia akan membantu kita kekal sihat dan cergas dengan aktiviti fizikal.

Kredit foto : Asrul Hisyam Othman

Dan jangan lupa, ucaplah terima kasih kepada orang yang berusaha mengadakan aktiviti ini. Tak rugi pun.

Itu antara perkongsian kami hasil daripada diskusi kami dengan beberapa kaki futsal malam ini. Anda ada masalah lain yang anda kerap hadapi, kongsikan!

Baca juga: 8 Tips Untuk Tingkatkan Kemahiran Futsal!

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!

Topik Berkaitan

Kategori Artikel


Kongsi

Komen Artikel: 7 Masalah Yang Dihadapi Ketika Aktiviti Futsal Malam



Berita Bola Yang Menarik