Untuk berjaya, semua orang perlu berkorban. Semakin sukar kehidupan yang anda tempuhi semasa kecil, semakin besar pengorbanan yang perlu anda lakukan untuk berjaya.
Di sini kami kumpulkan 7 pemain antarabangsa yang melalui kehidupan yang sukar sewaktu kecil.
Namun hasil pengorbanan mereka dan keluarga mereka semasa kecil, pemain-pemain ini berjaya menjadi antara pemain terbaik dunia.
7. Carlos Bacca (Colombia)
Mungkin ramai peminat bola sepak yang tidak mengetahui kisah hidup Carlos Bacca. Bintang AC Milan ini sebenarnya muncul dari keluarga yang daif.
Dalam satu temu bual yang dibuat selepas beliau menandatangani kontrak bersama Sevilla pada tahun 2013, Bacca mendedahkan beliau pernah bekerja sebagai kondutor bas sewaktu hidup di Puerto Colombia.
Ketika itu beliau berusia 20 tahun.
“Saya fikir pintu untuk saya menjadi pemain bola sepak telah tertutup rapat. Saya juga berfikir bahawa ia adalah mustahil untuk saya melakukannya.”
“Tapi pada tahun itu, saya mencuba nasib untuk pasukan Junior de Barranquilla dan syukur kepada Tuhan, mereka mengambil saya,” kata Bacca ketika mengimbas semula hidupnya.
Selepas mewakili beberapa kelab, Bacca akhirnya menjadi pemain bola professional bersama kelab Atlentico Junior di Colombia.
4 tahun selepas itu, beliau menyertai pasukan Sevilla dan berada di kemuncak kariernya apabila berjaya membawa Sevilla memenagi Liga Europa untuk 2 tahun berturut-turut.
Beliau kini bermain dan merupakan pemain bergaji paling mahal di kelab gergasi Itali, AC Milan.
6. Alexis Sanchez (Chile)
Pernah menjadi salah seorang pemain skuad Barcelona kendalian Pep Guardiola yang mendominasi dunia sebelum berpindah ke Arsenal, Alexis Sanchez perlu bekerja keras untuk mencapai ke tahap sekarang.
Alexis dilahirkan dalam sebuah keluarga daif. Ibunya adalah seorang tukang sapu di sekolahnya. Bapanya meninggalkan beliau dan ibunya sewaktu beliau masih kecil.
Semasa Alexis masih kecil, beliau pernah mengambil upah membasuh kereta untuk membantu ibunya.
Beliau juga pernah melakukan aksi lompatan akrobatik di tepi jalan sebelum mengutip syiling yang dibaling oleh penontonnya.
Semakin meningkat dewasa, Alexis menyedari bola sepak boleh membantu kehidupan keluarganya.
Beliau memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan muda Club Arauco di mana dia pernah menjaringkan 8 gol dalam satu perlawanan, sebelum berpindah ke Corbeloa, River Plate dan akhirnya ke pentas bola sepak Eropah.
5. Frank Ribery (Perancis)
Frank Ribery di lahirkan di Pas-de-Calais, sebuah kawasan perumahan setinggan di utara Perancis.
Selain membesar dalam keadaan serba kekurangan, keluarga Ribery juga pernah terlibat dalam kemalangan maut sewaktu beliau berusia 2 tahun.
Beliau turut mendapat kecederaan serius dan mendapat 100 jahitan di bahagian muka. Ribery juga bersumpah takkan menghilangkan 2 parut besar di wajahnya kerana dia percaya bahawa itu adalah sebahagian dari identiti dirinya.
Pernah bekerja sebagai pekerja binaan bersama bapanya, Ribery akhirnya mendapat peluang menjadi pemain profesional selepas menyertai kelab Stade Brestois 29.
Dari Stade Brestaois 29, Ribery kemudiannya menyertai Galastasary dan Marseille sebelum menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.
4. Angel di Maria (Argentina)
Dilahir dan dibesarkan di bandar Padriel di Mendoza, barat Argentina, Angel di Maria pernah bekerja di kawasan perindustrian arang batu bersama ayah dan ibunya.
Dua kakak di Maria, Vanesa dan Evelyn juga bekerja bersama-sama dengannya.
Di Maria sebenarnya memiliki darah seorang pemain bola sepak kerana ayahnya juga bekas pemain bola. Namun, kecederaan yang dilalui oleh ayahnya memaksa beliau dan ahli keluarganya untuk bekerja di kawasan perindustrian arang batu.
Walaupun dilahirkan berbakat bermain bola, Di Maria tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli kasut bola.
Mujurlah, sebuah kelab bola sepak tempatan, Torito menyedari bakat yang dimiliki oleh Di Maria.
Dari Torito, Di Maria kemudiannya menjejakkan kaki di Rosario Central, Benfica, Real Madrid, Manchester United sebelum kini bahagia di kelab gergasi Perancis, Paris St Germain.
Seorang budak yang dahulunya pernah berkongsi bilik bersama dua orang kakaknya dan pernah tidak mempunyai makanan untuk dimakan, kini menjadi salah seorang bintang bola sepak dunia.
3. Zlatan Ibrahimovic (Sweden)
Dikenali kerana mempunyai watak yang angkuh, mungkin ramai yang beranggapan Zlatan Ibrahomovic berasal dari keluarga yang kaya raya.
Namun realitinya, Zlatan berasal dari keluarga yang susah. Ibunya merupakan seorang pendatang dari Croatia. Bapanya pula adalah pelarian Bosnia.
Ibu dan ayah Zlatan berpisah sewaktu Zlatan berumur 2 tahun. Sewaktu membesar, Zlatan pernah menjadi pencuri demi mengalas perutnya.
Di Malmo, Sweden, Zlatan dan keluarganya hidup bersama ratusan keluarga pelarian Eropah lain di sebuah kompleks apartmen setinggan yang sederhana.
Dari kawasan apartmen setinggan itulah, Zlatan belajar cara melakukan skil bola dari rakan-rakannya. Dari situlah, Zlatan sedar beliau amat berbakat dalam bola sepak.
Bermula dari bawah di kelab kerdil Malmo, Zlatan kemudiannya berjaya menjadi pemain senior.
Dari situ, Zlatan tidak lagi menoleh ke belakang dan menyertai kelab-kelab hebat seperti Juventus, AC Milan, Inter Milan, Barcelona, PSG dan kini bersama kelab tersohor dunia, Manchester United.
2. Luis Suarez (Uruguay)
Siapa sangka watak jahat dalam bola sepak Eropah yang kuat menggigit ini sebenarnya seorang yang romantik? Ini adalah kisah Luis Suarez.
Suarez mula bermain bola pada usia 6 tahun di jalanan bandar Salto. Masalahnya, beliau terlalu miskin untuk memiliki kasut bola.
Seperti pepatah Melayu, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, Suarez terus bermain bola dengan kasut buruknya. Nasibnya mula berubah apabila beliau dikesan oleh seorang peninjau bakat pasukan Uruguay, Nacional ketika usianya 9 tahun.
Namun, apa yang benar-benar membuatkan semangatnya membara adalah perkenalannya dengan Sofia Balbi.
Suarez mengakui bahawa dia pernah berusaha mengutip duit syilling di jalanan hanya untuk membawa Sofia keluar ‘dating’ dengannya. Suarez sedar, hanya dengan bermain bola sepaklah beliau akan dapat memberi kehidupan yang selesa kepada Sofia.
Tahun berlalu dan Suarez menjadi pemain yang lebih baik. Dari Nacional, Suarez pernah mewakili FC Groningen, Ajax Amsterdam dan Liverpool sebelum berpindah ke Barcelona.
Pada tahun 2009, Suarez mengotakan janjinya apabila mengahwini teman wanitanya sejak kecil, Sofia Balbi.
1. Cristiano Ronaldo
Sudah tentu anda dapat menyangka siapa yang bakal mendapat tempat pertama dalam senarai kami ini, bukan?
Kisah hidup Cristiano Ronaldo telah selalu diceritakan kepada kita baik di laman sosial, berita malah terdapat filem dokumentari khas tentang hidupnya.
Kisah menarik Ronaldo bermula apabila ibunya, Dolores Averio pernah mahu menggugurkan beliau sewaktu dalam kandungan lagi kerana kesempitan hidup.
Mujurlah ibunya membatalkan hasrat beliau.
Cristiano dilahirkan di kawasan daif di San Anotnio, Funchal, di bandar Madeira. Beliau pernah hidup berkongsi bilik bersama ibu dan dua adik-beradik perempuannya.
Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Bapa Cristiano, Dinis Aveiro pula seorang pemabuk selepas pulang dari perang. Beliau bergelut untuk menyara keluarganya. (diedit pada Ahad 11 September 2016, 8.43 malam)
Ronaldo juga pernah dibuang sekolah setelah membaling kerusi kepada gurunya yang menghina dirinya dan bola sepak. Sewaktu itu, Ronaldo baru berusia 14 tahun.
Karier bola sepak Ronaldo bermula apabila menyertai pasukan muda Andorinha sebelum dikesan oleh peninjau bakat Sporting Lisbon ketika berusia 17 tahun.
Selepas menandatangani kontrak professional bersama Sporting Lisbon, segala-galanya telah berubah buat Cristiano Ronaldo dan keluarganya.
Dari Sporting Lisbon, Cristiano menyertai barisan Manchester United kendalian Alex Ferguson sebelum berpindah ke Real Madrid.
Kemiskinan bukan penghalang
Sebenarnya, terdapat ramai lagi bintang bola sepak dunia yang muncul dari keluarga yang daif seperti Pele, Diego Maradona, Ronaldinho dan Carlos Tevez.
Harapan kami adalah kisah-kisah ini bakal menjadi inspirasi kepada pemain muda agar berusaha dengan sehabis baik dalam apa juga bidang yang anda ceburi.
Kata orang bijak pandai:
“Lahir dalam keadaan miskin itu bukanlah salah anda. Namun mati dalam keadaan miskin itu berpunca dari kegagalan anda sendiri.”