Selepas pemecatan Santhit Bensoh diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), skuad The Red Warriors (TRW) hampir pasti turun dengan pelan permainan daripada pengendali baharu.
Sejurus pemecatan Santhit, satu nama yang tidak asing di dalam kancah bola sepak tanah air, Yusri Che Lah dilantik sebagai pengendali sementara skuad TRW.
Apa yang perlu dipertimbangkan oleh Yusri Che Lah sebelum menyusun strategi pada perlawanan pertama beliau bersama Kelantan pada malam ini?
1. Tiga perlawanan pertama
Pelan permainan dijangka akan berubah. Jika sebelum ini Kelantan turun dengan Morgaro Gomis dan Fadhilah sebagai pivot berkembar di bahagian tengah.
Adakalanya Gomis diberikan peranan sebagai pivot tunggal dalam beberapa perlawanan. Pada perlawanan terakhir Fadhilah dijadikan pivot tunggal sebelum Kelantan beraksi dengan hampir tiada pemain di posisi tersebut selepas itu.
Manakala gandingan Do Dong Hyun-Ferdinand Sinaga-Haikal Nazri ditugaskan untuk mencipta ruang dan peluang dibelakang Bruno Lopes. Barisan pertahanan kekal dengan sistem empat pemain yang majoritinya bermain secara rigid kecuali ketika menentang Terengganu FC di minggu kedua.
2. Impak kehadiran Mohammed Ghaddar
Melihat kepada LS1 hingga LS3 Kelantan bermain sebagai sebuah unit secara berpasukan. Ia sangat berbeza pada musim lepas. Kelantan lebih menekankan kebolehan teknikal dan skill individu pemain yang dimiliki.
Pada separuh musim pertama pada musim 2017 Kelantan dibina dengan berasaskan Ghaddar. Apabila Ghaddar berpindah ke JDT, Kelantan bergelut untuk membina pelan permainan.
Boleh dikatakan separuh musim ke-2 Kelantan tidak menemui pelan permainan yang baru. Menjelang musim 2018 Kelantan kelihatan seperti sudah menjumpai bagaimana pelan permainan yang ingin dimainkan kecuali keputusan yang masih belum memihak.
Adakah Kelantan akan kekal bermain secara bermain secara berpasukan atau kembali dengan ‘Ghaddar brilliant’?
3. Impak ketiadaan Morgaro Gomis
Adakah benar ketiadaan Morgaro Gomis tidak memberikan impak besar kepada skuad Kelantan? Bermula pada minggu ini Kelantan akan beraksi tanpa pemain ini selepas dua musim.
Mengambil contoh Real Madrid sangat terkesan ketika Makelele keluar menyertai Chelsea. Pada ketika itu Makelele digambarkan seorang pemain biasa dan boleh digantikan dengan seorang pemain akademinya sahaja.
Perez melihat Makelele hanya seorang pemain yang hanya mampu membuat hantaran tidak lebih 3 meter, tiada kemahiran menanduk dan tidak tahu menyerang. Pada akhirnya Perez ternyata silap dan Zidane Zidane amat merindui Makelele.
Apa impak Kelantan tanpa Gomis pada malam ini?
4. Sistem pertahanan back four
Isu Amiridzwan Taj paling mencuri perhatian. Final defending ketika tewas 1-2 kepada Melaka United menjadi topik perbincangan.
Taj dilihat agak lemah dalam membuat keputusan akhir ketika melakukan tugas pertahanan.
Taj direhatkan pada pada minggu kedua, tetapi agak mengejutkan Sathit Bensoh cuma memberi cuti 3 hari untuk permain tersebut, selepas aksi Taj di minggu pertama.
Farisham pula beraksi di tiga posisi berlainan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Bermula sebagai pertahanan kiri menggantikan Azwan Aripin yang kurang cergas dan prestasi Tengku Qayyum yang sederhana.
Farisham dialihkan ke pertahanan tengah di minggu kedua untuk menggantikan Amiridzwan Taj yang yang tidak berada di prestasi terbaik pada minggu pertama.
Minggu ketiga, Farisham dialihkan ke pertahanan kanan untuk menggantikan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.
Dimana posisi Farisham Ismail pada malam ini?
5. Jentera serangan
Umum melihat Kelantan bermain dengan penyerang tunggal dalam 3 perlawanan lepas.
Do Hyun beraksi di belakang Bruno Lopes dalam unit serangan pasukan Kelantan.
Manakala Sinaga dan Haikal lebih mirip kepada pemain sayap daripada penyerang sisi.
Dengan kemasukan Ghaddar, Kelantan mungkin bermula dengan 2 penyerang.
Tetapi dalam satu kenyataan daripada ejen Lopes, pemain ini dikatakan bukanlah seorang penyerang tetapi merupakan seorang pemain sayap.
Ataupun mereka memang penyerang sisi tetapi kurang berfungsi?
Adakah Bruno Lopes akan kekal bermain sebagai penyerang bersama Ghaddar atau bakal dijadikan pemain sayap?
6. Kemenangan pertama
Kelantan memulakan permulaan terburuk sejak era millinia iaitu Sehingga kini, Kelantan hanya mengutip 1 mata dari 3 perlawanan.
Rekod terburuk sebelum ini ialah 2 mata dalam 3 perlawanan. Kelantan gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 3 perlawanan setakat ini, dan merupakan yang terburuk sejak 10 musim lepas.
Perlawanan ke-4 menjadi satu perlawanan perlu menang. Jika tidak pasukan ini akan terus menghampiri satu lagi rekod, iaitu permulaan terburuk sejak Liga M diprofesionalkan pada 1996.
Rumusan
Melalui enam perkara di atas, kita boleh dirumuskan Kelantan sudah membuat perubahan besar hanya selepas 3 perlawanan.
Kelantan ibarat menekan butang reset. Menjadi atau tidak? Tidak ada kepastian untuk itu.
Satu perkara yang pasti ialah, Yusri Che Lah mempunyai banyak perkara untuk dipertimbangkan menjelang perlawanan pada malam ini.
Nota editor: Artikel ini adalah hasil penulisan penyokong setia Kelantan FA, Saudara Zuraimi Zukri, dan disunting oleh editor Semuanya BOLA. Jika anda ada artikel menarik dan ingin dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel dalam format MS Word ke [email protected] .