Prestasi Real Madrid di bawah jurulatih Zinedine Zidane pada musim ini telah banyak dibicarakan sejak akhir-akhir ini. Hal ini membuatkan kredibiliti Zidane sebagai pengurus Los Blancos mulai dipersoalkan oleh ramai pihak.
Musim lalu sememangnya cukup baik buat Real Madrid. Mereka telah berjaya menjadi juara La Liga dan merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/2017.
Namun pada musim ini, kejayaan pada musim lalu kelihatan agak sukar untuk diulangi semula bagi mereka.
Penampilan Los Blancos pada musim ini boleh dikatakan tidak konsisten. Skuad kendalian Zidane ini sudah mengalami enam kekalahan, dan juga mencatatkan keputusan seri dalam lapan perlawanan melangkai semua pertandingan ketika ini.
Lebih mengejutkan, kekalahan dan keputusan seri itu adalah ketika Real Madrid berhadapan dengan pasukan yang dilabel sebagai “underdog”.
Artikel ini menampilkan enam perlawanan yang telah mengejutkan Real Madrid sepanjang musim 2017/18 ini.
1. Real Madrid 0-1 Real Betis (September, 2017)
Penyokong setia Los Blancos terpaksa mengigit jari selepas melihat pasukan kesayangan mereka itu tewas mengejut pada di halaman menentang Real Betis.
Kekalahan itu o-1 pada September tahun lalu itu merupakan kekalahan pertama pasukan tersebut dalam kempen La Liga pada musim ini. Penyerang Real Betis, Antonio Sanabria berjaya menjaringkan gol kemenangan pada penghujung babak pertama perlawanan.
Taktikal yang diamalkan oleh anak buah Quique Setién ketika bertemu Real Madrid dilihat antara kunci kejayaan pasukan itu menewaskan gergasi Eropah tersebut.
Sebelum bertemu Real Madrid, Real Betis turut meraih kemenangan 2-1 ke atas Deportivo de La Coruña di halaman sendiri.
Kekalahan tipis 0-1 ke atas Real Betis telah memberi tamparan hebat dalam usaha skuad Zinedine Zidane untuk merebut kedudukan teratas bersama Barcelona, Valencia dan Atlentico Madrid dalam kejuaraan La Liga musim ini.
2. Girona 2-1 Real Madrid (Oktober, 2017)
Suasana tidak menentu di Sepanyol akibat pergolakan politik di wilayah Catalunya turut mendapat tempias Real Madrid ketika bertemu Girona dalam perlawanan minggu ke-10 saingan La Liga 2017/18.
Los Blancos dikejutkan dengan kekalahan kedua mereka ketika berkunjung ke Estadi Municipal de Montilivi.
Real Madrid melakukan penampilan pertama mereka dalam wilayah yang sedang berkonflik itu sejak pertikaia memuncak pada awal Oktober sehingga menyebabkan Sepanyol terjerumus ke dalam krisis politik.
Di atas padang, keadaan lebih sukar buat skuad bimbingan Zinedine Zidane. Mereka seperti beraksi menentang keseluruhan Catalonia dalam perlawanan yang diadakan di dalam suasana tegang.
Dalam perlawanan tersebut, Real Madrid membuka tirai jaringan menerusi Isco sebelum Cristhian Stuani dan Portu berjaya membawa Girona mengutip tiga mata berharga. Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
3. Tottenham Hotspur 3-1 Real Madrid (November, 2017)
Real Madrid merekodkan kekalahan memalukan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah apabila dijinakkan wakil England, Tottenham Hotspurs 3-1 pada di Stadium Wembley,
Kemenangan itu membolehkan Spurs layak ke peringkat kalah mati. Dalam pertemuan tersebut, Dele Alli muncul sebagai wira Spurs apabila meledak dua gol, manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Christian Eriksen
Real pula sekadar memperolehi gol saguhati menerusi Cristiano Ronaldo.
Kekalahan memalukan itu membuatkan kebolehan pengurus pasukan, Zinedine Zidane dikritik hebat oleh penyokong Madrid.
Segelintir penyokong berpendapat, kegagalan mereka di Wembley berpunca daripada Zidane yang dikatakan tidak mampu merancang strategi dan menukar sistem apabila Spurs mula mengawal tempo perlawanan.
Mereka turut tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan, terutama selepas pihak pengurusan membuat keputusan untuk melepaskan Alvaro Morata, James Rodriguez dan Pepe pada musim panas lalu tanpa membawa pengganti.
4. Real Madrid 0-3 Barcelona (Disember, 2017)
Harapan Real Madrid untuk mempertahankan gelaran La Liga semakin sukar apabila tewas 0-3 kepada Barcelona dalam pertembungan El Clasico menjelang Krismas.
Barcelona mula membuka tirai jaringan, pada minit ke-54 menerusi Luis Suarez. Kemudian giliran Lionel Messi meledak gol kedua Barcelona menerusi sepakan penalti untuk Barcelona 2-0 di hadapan.
Pemain gantian, Aleix Vidal melengkapkan kemenangan Barcelona dalam masa kecederaan untuk menambah derita skuad bimbing Zinade Zidane.
Kemenangan itu menyaksikan Barca mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 17 perlawanan liga dan memiliki kelebihan sembilan mata mengatasi pesaing terdekat Atletico Madrid menuju tahun baru.
Manakala Real Madrid semakin pasti tersingkir daripada perebutan kejuaraan La Liga ketika perjalanan liga hanya separuh perjalanan.
5. Real Madrid 2-2 Numancia (Januari, 2018)
Selepas seri menentang Celta de Vigo dalam saingan La Liga, anak buah Zinedine Zidane buntu mencari kemenangan untuk perlawanan seterusnya selepas mereka terpaksa menerima keputusan seri 2-2 menentang Numancia pada 10 Januari lalu.
Berbekalkan kemenangan 3-0 dalam aksi peringkat pertama, Zidane merehatkan pemain-pemain utama Los Blancos bagi pertemuan kedua bertemu Numancia.
Real Madrid yang dibarisi skuad kedua diketuai Borja Mayoral dibarisan hadapan pasukan, bermula garang pada awal perlawanan selepas Lucas Vázquez berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-10 perlawanan.
Kemasukkan Guillermo Fernández kemudiannya memberikan impak buat Numancia selepas beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan pada penghujung separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Real Madrid berjaya kembali mendahului perlawanan juga menerusi Lucas Vázquez pada minit ke-59.
Guillermo Fernández sekali lagi muncul sebagai wira pasukan selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 membuatkan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Walaupun seri, keputusan itu ternyata telah memberi kejutan besar buat kem Real Madrid kerana Numancia adalah pasukan yang berada di tangga ke-8 dalam divisyen dua liga Sepanyol.
6. Real Madrid 1-2 Leganes (Januari, 2018)
Zidane mengakui beliau merupakan individu yang harus dipertanggunjawabkan atas kekalahan pasukanya dalam saingan suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol, selepas ditundukkan skuad kerdil Leganes 1-2 di halaman sendiri.
Juara bertahan Eropah itu tewas pada perlawanan kedua di Bernabue dengan keputusan 1-2. Kekalahan tersebut membuka peluang kepada Leganes melangkah ke pusingan seterusnya menerusi kaedah jaringan di tempat lawan meskipun kedua-dua pasukan telah mencapai keputusan 2-2 secara agregat.
Dalam perlawanan tersebut, Zidane telah membariskan pemain bintang seperti Sergio Ramos, Karim Benzema, Lucas Vázquez dan Marco Asensio untuk mengemudi jentera serangan Real Madrid.
Namun mereka gagal memanfaatkan kelebihan tersebut selepas Leganes mempamerkan aksi melawan yang membanggakan.
Leganes mendahului perlawanan melalui percubaan jarak jauh Javi Eraso pada minit ke-32.
Karim Benzema menyamakan kedudukan pada awal babak kedua pada minit ke-47 hasil hantaran Lucas Vázquez sebelum Gabriel Pires menjadi wira Leganes apabila menyempurnakan hantaran Javi Eraso.
Kejayaan Leganes menewaskan Real Madrid melayakkan pasukan itu ke peringkat separuh akhir saingan Copa del Rey musim ini, sekaligus berjaya mencipta rekod baru Los Legionarios, layak ke peringkat tersebut buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.
Penutup
Baru-baru ini Real Madrid berjaya menewaskan Valencia 1-4 di Mestalla. Apakah kemenangan besar tersebut adalah petanda kebangkitan Real Madrid?
Selepas ini, skuad Zinedine Zidane akan berkunjung ke Levante sebelum melayan kunjungan Real Sociedad dan Paris Saint-Germain di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah.
Ini merupakan situasi sukar dan tugas berat yang menanti Zinedine Zidane dan keseluruhan skuad Real Madrid