6 Pemain Daripada Akademi Mokhtar Dahari Tarik Minat Kelab Gergasi Eropah

Beberapa kelab gergasi Eropah iaitu Paris Saint-German (PSG), Manchester City dan Manchester United dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat enam pemain cilik daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi menjalani latihan percubaan selama dua minggu di akademi kelab tersebut.

Menurut laporan daripada akhbar kosmo, pemerhati daripada kelab itu tertarik dengan persembahan cemerlang skuad AMD bawah 13 tahun (B-13) pada Kejohanan Piala Joinville di Perancis baru-baru ini.

AMD B-13 satu-satunya kelab yang dijemput khas untuk menyertai kejohanan tersebut yang disertai oleh 23 akademi kelab Liga Perancis yang berlangsung pada 14 dan 15 April lepas.

Dalam pertandingan tersebut, AMD-13 berjaya mengatasi beberapa akademi kelab ternama Perancis seperti PSG, Metz FC dan Nantes FC selepas berjaya mara ke peringkat separuh akhir bertemu AS Nancy namun tewas dengan penentuan sepakan penalti.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar turut mengesahkan wakil daripada beberapa kelab itu telah menzahirkan minat mereka kepada jurulatih AMD B-13 untuk mendapatkan beberapa pemain bagi menjalani latihan bersama akademi mereka awal bulan depan.

“Pemerhati telah menghantar e-mel kepada jurulatih dengan menyenaraikan nombor jersi pemain yang mereka tertarik sepanjang menyaksikan kejohanan selama dua hari tersebut.

“Kebolehan pemain beraksi di peringkat antarabangsa sehingga dapat mara ke peringkat separuh akhir amat mengejutkan serta membuka mata pegawai-pegawai kelab Eropah terhadap kemampuan pemain Malaysia.

“Sebenarnya kita sudah mempunyai bakat anak-anak muda sebelum ini, namun mereka tidak dapat pendedahan seperti apa yang kita peroleh sekarang bagi menunjukkan kemampuan sebenar pemain kita,” katanya.

Dua pemain AMD B-13 turut mendapat pengiktirafan apabila dinobat sebagai pemain terbaik bagi ka­tegori pemain dan penjaga gol dalam kejohanan itu.

Rohisham Haiqal menerima anugerah pemain terbaik, manakala penjaga gol terbaik pula di­sandang oleh Hazriq Haqqim dan kedua-dua pemain berusia 13 tahun itu masing-masing merupakan anak kelahiran Pahang.

“Kita mahu semua pemain yang telah berjaya mencipta kejayaan hingga ke tahap ini menggunakan segala pengalaman yang dilalui untuk meningkatkan lagi mutu permainan mereka.

“Buat masa ini kami tidak mahu mendedahkan individu yang telah terpilih kerana tidak mahu pemain tidak dipilih terganggu konsentrasi mereka sepanjang beraksi di sana.

“Bukan mudah untuk kita bersaing dengan akademi kelab-kelab ini kerana mereka sememangnya mempunyai fasi­liti yang sangat lengkap untuk membangunkan bakat-bakat muda bagi pembangunan bola sepak kelab masing-masing.

“Pendedahan bagi kejohanan ini juga dilihat dapat memberikan keyakinan kepada pemain untuk beraksi di peringkat profesional supaya dapat menghilangkan perasaan gugup mereka.

“Pada masa sama, saya juga berharap pemain yang terpilih dapat melakukan yang terbaik untuk membuka mata kelab-kelab Eropah supaya yakin bagi mengikat kontrak bersama pemain selepas usia mereka menjangkau 18 tahun,” ujarnya.

Skuad AMD B-13 yang berlepas ke Perancis pada 10 April lalu akan berdepan satu lagi kejohanan pada 29 April di kota Paris sebelum berangkat pulang ke tanah air hujung bulan ini.

Bagaimanapun, enam pemain yang telah disenaraikan akan terus kekal di Eropah selama dua minggu untuk menjalani latihan percubaan bersama akademi kelab yang berminat de­ngan corak permainan mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN