Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 59,000 tiket untuk perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah pun habis terjual dalam tempoh kurang 24 jam.
Bagaimanapun timbul suara yang tidak berpuas hati kerana terdapat sebahagian tempat duduk di venue berkenaan melibatkan 21,000 tempat duduk terpaksa ditutup ekoran pemasangan pentas untuk persediaan konsert penyanyi dari Taiwan, Jay Chou yang bakal berlangsung pada 15 Januari ini.
Persoalannya adakah angka 59,000 ini tidak mencukupi?
Jika dinilai secara rasional. Jumlah tersebut adalah ‘normal’ untuk mana-mana perlawanan bola sepak di seluruh dunia dan mungkin boleh juga dikategorikan sebagai jumlah penonton yang tinggi untuk sesebuah perlawanan.
Mungkin untuk berlaku adil, kita juga boleh membuat perbandingan dengan kapasiti venue lain di rantau ini melibatkan pasukan-pasukan bertanding seperti senarai berikut:-
Indonesia: Stadium Utama Gelora Bung Karno (77,000)
Kemboja: Stadium Nasional Merodo Techo (60,000)
Vietnam: Stadium My Dinh (40,000)
Myanmar: Stadium Thuwunna (32,000)
Laos: Stadium Nasional New Laos (25,000)
Thailand: Stadium Thammasat (25,000)
Brunei: Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (18,000)
Filipina: Stadium Peringatan Rizal (13,000)
Singapura: Stadium Jalan Besar (6,000)
Data ini menunjukkan bahawa hanya dua stadium lain sahaja yang mampu memuatkan 60,000 atau lebih penonton pada satu-satu masa dan ternyata SNBJ adalah yang paling besar dengan 87,000 kapasiti tempat duduk.
Manakala stadium-stadium lain mempunyai kapasiti yang jauh lebih kecil termasuklah lawan Malaysia di separuh akhir iaitu Thailand yang terus kehilangan ‘hak’ untuk beraksi di Stadium Nasional Rajamanggala bagi memberi laluan sepenuhnya untuk konsert mega.
Malah setakat ini, Malaysia masih mencatatkan rekod kehadiran penyokong tertinggi dengan 65,147 penyokong yang hadir ke SNBJ ketika aksi menentang Singapura tempoh hari.
Ianya jauh mengatasi rekod yang kehadiran penyokong di Stadium Utama Gelora Bung Karno ketika perlawanan kumpulan A Indonesia berdepan Thailand yang mencatat 49,985 penyokong.
Ketika aksi bertemu Laos sebelum ini, kehadiran penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil hanyalah sebanyak 29,961 sahaja yang memberi peratusan 34 peratus sahaja daripada kapasiti penuh.
Kehadiran ketika aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pada bulan lalu jauh lebih menyedihkan di mana hanya sekitar 5,000 orang penyokong sahaja yang hadir memberi sokongan kepada skuad negara dalam perlawanan tersebut.
Rekod kehadiran sebanyak 65,147 orang penonton ketika perlawanan menentang Singapura tempoh hari juga mengatasi kehadiran ketika perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun lalu.
Berdasarkan angka-angka ini, jelas menunjukkan bahawa peningkatan mendadak penyokong berlaku apabila pasukan kebangsaan sedang berada di kemuncak.
Maka tidak hairanlah mengapa peruntukan 59,000 tiket untuk perlawanan separuh akhir nanti dianggap ‘tidak cukup’ hanya semata-mata untuk memenuhi kehendak atau tembolok ‘bangsa final’ ini.
Timbul juga persoalan kenapa skuad kebangsaan tidak beraksi di venue alternatif seperti yang pernah dicadangkan oleh pihak FAM sendiri.
Namun ia telah pun dirungkai secara terperinci dalam artikel Semuanya BOLA ini di atas faktor padang, cuaca, kapasiti dan logistik yang bakal menyukarkan pergerakan skuad kebangsaan yang berdepan dengan jadual yang amat padat sepanjang kejohanan.
Merungkai 4 Kriteria Pemilihan Venue Piala AFF 2022, Kenapa SNBJ Atasi SSI Dan SSMZA?
‘Rengekan’ seperti ini tidak sepatutnya timbul jika semua pihak memahami bahawa ‘fungsi’ SNBJ itu tidak semata-mata untuk sukan bola sepak sahaja.
Persoalan boleh diajukan kepada pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengenai keputusan mereka untuk membenarkan penempatan pentas konsert itu untuk tempoh lebih dua minggu yang boleh dikatakan terlalu lama.
Multi-purpose stadium. Private entity. Not ideal but it is what it is. The world does not revolve around football and us, football fans.
The faster we accept that, the better we become as a community. Instead of acting out like entitled brats, lets focus on supporting the team
— Keesh (@keeshmatstats) January 5, 2023
Tetapi usahlah isu tersebut membantutkan fokus untuk para penyokong membanjiri SNBJ pada Sabtu ini. Angka keramat 59,000 itu sudah jauh lebih daripada mencukupi untuk menghadirkan ‘aura’ yang diharapkan mampu menggerunkan pasukan lawan.
Sebagai alternatif, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Perpaduan Negara juga telah menyediakan siaran langsung perlawanan separuh akhir ini di 14 lokasi terpilih di seluruh negara untuk para penyokong yang tidak berkesempatan ke stadium.