Hidetoshi Nakata: Samurai Biru Yang Membelah Itali, Kebanggaan Asia

Mempunyai susuk badan yang kurus dan rambut berwarna oren, Hidetoshi Nakata mengumumkan kedatangan beliau ke pentas bola sepak dunia di Piala Dunia 1998, Perancis.

Di sebalik penampilan gaya rambut yang menarik perhatian ramai ketika mewakili Jepun pada kejohanan tersebut, Hidetoshi Nakata membuktikan kepada dunia bahawa beliau benar-benar punyai bakat besar.

Nakata tiba di Perancis dengan gelaran Pemain Terbaik Asia Tahun 1997 dan 1998. Bagi yang mengikuti karier Nakata sebelum itu, tidak sukar untuk memahami betapa layaknya Nakata dinobatkan dengan anugerah tersebut.

Setiap kali bola berada di kaki Nakata, anda pasti teruja kerana mengetahui Nakata mampu melakukan sesuatu dengannya.

Kisah Samurai Di Piala Dunia

Nakata merupakan watak penting yang membawa Jepun layak ke Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah negara matahari terbit itu.

Nakata menjaringkan 5 gol dan mencipta banyak bantuan gol untuk rakan sepasukannya seperti Wagner Lopes, Masashi Nakayama dan juga Shinji Ono ketika pusingan kelayakkan ke Piala Dunia zon Asia.

(Photo by Mark Sandten/Bongarts/Getty Images)

Hidetoshi Nakata mungkin belum lagi dikenali dalam kancah bola sepak eropah sebelum Piala Dunia 1998.

Namun kehadirannya ibarat seorang samurai yang membelah pertahanan lawan dalam kejohanan sukan terbesar dunia tersebut.

(Photo by Bongarts/Getty Images)

Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan ketika bertemu Argentina, Nakata kelihatan tidak kekok bersaing dengan nama-nama besar seperti Diego Simone dan juga Javier Zanetti.

Bagaimanapun Jepun tersingkir dari Piala Dunia 1998 setelah tewas tipis ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, masing-masing dengan jaringan 1-0 kepada Argentina dan Croatia sebelum tewas 2-1 kepada Jamaica.

Nakata- the poster boy!

Nama Hidetoshi mungkin masih asing di eropah berbanding di Asia. Di negara kelahirannya Jepun, Nakata adalah selebriti sukan yang terkenal- the poster boy!

Malah ada yang menggelar Hidetoshi Nakata sebagai ‘The David Beckham of Asia’. Peminatnya menyamakan populariti dan kehidupan selebriti Beckham kepada Nakata.

Bekas kapten England dan bintang Manchester United tersebut sedang hangat bercinta dengan penyanyi pop terkenal, Victoria Spice- juga merupakan isteri Beckham pada hari ini.

(Photo by Matthew Ashton/EMPICS via Getty Images)

Nakata mempunyai wajah persis seorang model. Bijak dalam bergaya. Maka tidak hairanlah ia telah mengumpan tajaan daripada pelbagai pihak.

Sebelum Piala Dunia 1998, Nakata beraksi bersama Bellmare Hiratsuka di Liga J. Kelab tersebut adalah kelab pertama Nakata sejak beliau memulakan kariernya pada usia 18 pada tahun 1995.

Sensasi Baru Bola Sepak Itali

Aksi Nakata di Piala Dunia 1998 telah menarik perhatian pencari bakat di eropah. Namun demikian, hanya Perugia yang benar-benar yakin akan kebolehannya dan membawa Nakata ke Serie A dengan bidaan berjumlah $4 juta.

Perugia bukanlah kelab besar seperti nama-nama yang lain. Namun ia membuka ruang buat Nakata untuk beraksi dalam salah satu liga paling kompetitif di dunia.

Mandatory Credit: Claudio Villa /Allsport
Restrictions

Nakata terus memikat pengikut bola sepak Itali, menafikan kritikan yang dilemparkan ke atas keupayaannya.

Perlawanan menentang Juventus pada musim pertama di Serie A pasti akan kekal dalam ingatan Nakata. Walaupun tewas tipis, 4-3, Nakata mendominasi bahagian tengah dan menjaringkan 2 gol.

Sejak daripada itu, nama Hidetoshi Nakata semakin mendapat perhatian merentas seluruh pelusuk semenanjung Itali. Jumlah penonton di Perugia turut bertambah.

Keluarga Gaucci yang merupakan pemilik kelab Perugia, menerima tempahan sehingga 70,000 helai jersi pasukan itu dengan nama “NAKATA No.7”.

Juara Serie A Italy

10 gol pada musim pertama di Perugia, cukup untuk meyakinkan Fabio Capello untuk membayar €21.7 juta untuk membawa Nakata ke AS Roma pada Januari 2000.

Musim 2000-2001 adalah musim terbaik Nakata di Italy. Nakata dan AS Roma memenangi kejuaraan Serie A pada musim tersebut.

Credit: Matthew Ashton – EMPICS / Contributor

Nakata memainkan peranan penting untuk memastikan AS Roma bergelar juara, yang ketiga dalam sejarah kelab Rom tersebut.

Dalam salah satu perlawanan ketika menentang Juventus di Turin, AS Roma ketinggalan dengan jaringan 2-0. Nakata dibawa masuk untuk menggantikan Francesco Totti.

Rembatan jarak jauh Nakata menewaskan penjaga gol Juventus pada masa itu, Edwin Van Der Sar untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Ketika baki perlawanan hanya tinggal 10 minit, sekali lagi Nakata mencuba Van Der Sar dari jarak jauh. Kali ini rembatan Nakata berjaya ditepis oleh penjaga gol tinggi lampai itu.

Bagaimanapun bola muntah hasil rembatan Nakata singgah ke kaki penyerang, Vicenzo Montella yang mudah menolak masuk untuk kedudukan berakhir seri 2-2.

Keputusan tersebut penting untuk memastikan AS Roma terus selesa kekal berada di atas liga dengan 6 mata sebelum bergelar juara di penghujung musim.

Tolak Arsenal, Pilih Parma

Kerana tidak gemar akan peranannya sebagai pengganti Totti di Roma, musim panas 2001 Nakata mencari kelab yang boleh membenarkan beliau beraksi dalam kesebelasan utama.

Nakata dilaporkan menolak tawaran daripada Arsene Wenger dan Arsenal sebelum memilih untuk ke Parma dengan yuran perpindahan €28.4 juta.

Pada usia 24 tahun, Hidetoshi Nakata berada di kemuncak prestasi. Kombinasi visi sebagai pemain tengah, kemahiran memenangi bola da kemampuan Nakata untuk menjaringkan gol menjadikan beliau setara dengan pemain berkelas dunia yang lain.

DIGITAL IMAGE Mandatory Credit: Grazia Neri/Getty Images

Nakata segera menjadi idola peminat di Stadio Ennio Tardini, memenangi Coppa Italia bersama Parma pada musim pertamanya dengan kelab itu.

Jaringan sepakan guntingnya ketika menentang Juventus di pusingan pertama memberikan kelebihan gol di tempat lawan sebelum Parma melengkapkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri untuk bergelar juara Coppa Italia.

Krisis kewangan yang melanda Parma selepas itu bermaksud mereka terpaksa menjual pemain-pemain bintangnya. Hidetoshi Nakata turut antara yang terkesan.

Penghujung Karier 

Selepas Parma, Nakata memilih untuk beraksi bersama Bologna secara pinjaman pada tahun 2004 sebelum berpindah ke Fiorentina.

Kisah pengembaraan seorang Samurai di Itali berakhir di Fiorentina. Nakata kemudiannya berkelana ke EPL bersama Bolton Wanderers.

(Photo by Fairfax Media/Fairfax Media via Getty Images)

Musim berikutnya, Hidetoshi Nakata beraksi untuk Jepun dalam kejohanan Piala Dunia 2006 di Jerman.

Bagaimanapun, Nakata mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan persaraannya pada usia 29 tahun kerana merasakan diri sudah tidak menikmati aksi seperti sebelumnya.

“Saya mulai menyedari bahawa bola sepak adalah sejenis perniagaan semata-mata. Saya dapat merasakan bahawa setiap pasukan bermain untuk mengejar wang dan bukan kerana keseronokkan dalam bola sepak.”

(Photo credit should read DALE DE LA REY/AFP/Getty Images)
Restrictions

“Saya sentiasa berpendapat bahawa sebuah pasukan adalah seperti sebuah keluarga besar, tetapi ia sudah tidak begitu. Ia menyedihkan, kerana itu saya mengambil keputusan ini,” ujar Nakata menjelaskan persaraannya

Pada usia 39 tahun, hari ini Nakata giat menjadi seorang model sambilan selain daripada memajukan perniagaan sake miliknya di Jepun.

Kesimpulan

Hidetoshi Nakata kekal sebagai antara pemain terbaik yang pernah dihasilkan oleh negara Asia. Nakata cintakan bola sepak. Nakata juga telah memberi bola sepak Asia satu pengajaran.

Bahawasanya bola sepak perlu dimainkan melalui hati dan bukan oleh wang. Lebih daripada itu, Hidetoshi Nakata membutikan pemain dari Asia juga mampu bersaing dengan nama besar yang lain di pentas tertinggi.

Sumber:

1. Matthew Ponsford and Junko Ogura, CNN (2015):Hidetoshi Nakata: Japan’s misunderstood son returns from exile;
http://edition.cnn.com/2014/05/28/sport/hidetoshi-nakata-world-cup-japan-football/index.html

2. Justin Ong, Channel News Asia (2016): Football icon Hidetoshi Nakata lives for passion’s sake;
http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/football-icon-hidetoshi-nakata-lives-for-passion-s-sake-8206466

3. Liam Newman, The Football Times (2015): The unsure obsession of Hidetoshi Nakata;
http://thesefootballtimes.co/2015/01/10/in-celebration-of-hidetoshi-nakata/

4. Peter Berlin, New York Times (2000): Nakata, New Boy at Roma, Seeks His Niche / Vantage Point : Japanese Soccer Star Keeps Italy Guessing;
http://www.nytimes.com/2000/02/08/sports/nakata-new-boy-at-roma-seeks-his-niche-vantage-point-japanese-soccer.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN