Annuar Musa Kecewa FMLLP Nafi Pendaftaran L’Imam, Sifatkan Ia Sebagai Melucukan

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar bawah) mempersoalkan tindakan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk tidak mendaftarkan pemain import terbarunya.

KAFA membawa masuk dua pemain import ketika jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia 2017 yang lalu.

Setelah penjualan Mohamad Ghaddar kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan telah mendaftarkan Abou Bakr Al Mel daripada Lubnan sebagai pengganti.

Ini diikuti oleh kedatangan Seydi L’Iman, penyerang yang memiliki pengalaman beraksi di Hungary dan juga Azerbaijan.

Menurut Annuar Musa, keputusan menangguhkan pendaftaran Seydi L’Imam oleh FMLLP adalah satu langkah yang melucukan.

Ini mengambil kira sebab yang dikemukan oleh badan itu yang mendakwa pendaftaran L’Iman akan membebankan kewangan KAFA.

Untuk rekod, KAFA telah terpalit dengan beban hutang membabitkan pampasan kontrak bekas pemain seperti Jonathan McKain dan Velizar Popov (gambar bawah).

Berkata kepada wartawan seperti yang dipetik oleh Stadium Astro, Tan Sri Annuar Musa berkata:

“Kenyataan agak aneh dikeluarkan mereka (FMLLP) apabila menyatakan tindakan mengambil L’Imam tidak akan membawa apa-apa impak meringankan beban kewangan KAFA.”

“Sudah pasti sangat melucukan. Kita sudah menandatangani kontrak dengan L’Imam semasa jendela perpindahan pemain kali kedua dibuka. Kita pun sudah mendapatkan ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) pemain terbabit.”

“AdakahFMLLP nak suruh kita bayar gaji Celin dan dalam masa yang sama bayar gaji L’Imam? Ini bukan meringankan tapi membebankan KAFA,” katanya.

Tan Sri Annuar Musa juga menyifatkan layanan FMLLP terhadap pasukan Kelantan adalah tidak adil berbanding pesaingnya yang lain di Liga Super.

Ini adalah disebabkan wujudnya halangan untuk mendaftarkan pemain buat pasukan Kelantan tatkala pasukan lain bebas untuk mendaftarkan pemain import baharu.

Dalam sidang akhbar yang sama ketika majlis berbuka puasa bersama skuad The Red Warriors (TRW) di Kota Bahru semalam, beliau menegaskan tidak akan melepaskan Mohamad Ghaddar (gambar bawah) jika tahu perkara ini akan berlaku.

Beliau turut menyelar tindakan FMLLP yang akan bertindak menurunkan pasukan Kelantan ke Liga Perdana jika tidak menyelesaikan segala permasalahan berkaitan hutang dan pendaftaran menjelang Oktober depan.

“Saya tak tahu orang lain. Kalau saya, saya tak akan menaja kelab Liga Perdana. Dalam Liga Super pun payah nak cari penaja, inikan pula bermain dalam Liga Perdana.”

“Secara tidak langsung, segala tindakan awak (FMLLP) bukan untuk menolong Kelantan sebaliknya hendak ‘membunuh’.”

“Berulang kali saya katakan, kami tidak menolak segala tuntutan yang dikemukakan sebaliknya semua masalah itu perundingan secara aktif sedang dijalankan,” tegas beliau kepada wartawan.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Annuar Musa turut menyerahkan cek bernilai RM1.5 juta kepada KAFA untuk melangsaikan tunggakan gaji bagi bulan Mei dan Jun membabitkan skuad utama TRW, Piala Presiden dan Piala Belia.

Sumber: 

1. Farizal Yusoff, Stadium Astro (2017): Annuar: Tindakan FMLLP bukan meringankan kantung KAFA sebaliknya membebankan;
http://www.stadiumastro.com/sukan/liga-super-malaysia/artikel/annuar-tindakan-fmllp-bukan-meringankan-kantung-kafa-sebaliknya-membebankan/45972

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN