Lionel Messi bercadang untuk menjemput kesemua rakan sepasukannya di Barcelona untuk menghadiri perkahwinan dengan wanita pilihan hati, Antonella Roccuzzo pada penghujung bulan ini.
Messi akan melangsungkan perkahwinan di bandar kelahirannya di Rosario, Argentina pada 30 June akan datang.
Beliau juga akan menjemput bekas rakan sepasukan dan rakan rapat seperti Xavi yang beraksi bersama Messi selama sedekad di kelab Catalan itu.
Pasangan Xavi di jentera tengah Barcelona satu ketika dahulu, Andres Iniesta juga dijemput namun dijangka tidak dapat menghadiri majlis berkenaan.
Di sebalik perancangan perkahwinan ikon bola sepak yang menjadi perhatian dunia ini, Messi tidak akan menjemput ahli lembaga pengarah Barcelona ke majlis perkahwinan beliau.
Langkah yang sama turut diambil oleh Xavi ketika menikahi pasangannya, Nuria Cunillera apabila tidak menjemput kesemua ahli lembaga pengarah di Barcelona untuk majlis beliau.
Langkah Messi dan Xavi difahamkan untuk mengelakkan ketegangan di antara bekas Pengerusi Barcelona, Joan Laporta dengan Sandro Rosell.
Individu penting lain yang mempunyai kaitan dengan Barcelona dan turut tidak dijemput ialah bekas pengurus, Luis Enrique dan pembantu beliau, Juan Carlos Unzue.
Pemenang anugerah Ballon d’Or dengan rekod 5 kali itu meminta hadirin yang akan datang ke majlis perkahwinan beliau dan pasangannya untuk tidak membawa hadiah.
Bagi hadirin yang berniat berbuat demikian, mereka digalakkan untuk membuat sumbangan kepada yayasan yang telah ditubuhkan oleh Lionel Messi.
Lionel Messi dan pasangannya Antonella Roccuzzo telah bersama selama 10 tahun. Kedua-duanya saling mengenali antara satu sama lain sejak berusia 5 tahun.
Pasangan tersebut juga memiliki dua cahaya mata lelaki, Thiago yang berumur 4 tahun dan juga Mateo yang berusia 21 bulan.
Lionel Messi mungkin akan mendapat perkhabaran gembira berganda!
Pemain berkenaan dilaporkan telah menolak tawaran kontrak Barcelona pada awal Mei yang lalu.
Bagaimanapun, kelab Catalan itu mengesahkan rundingan untuk mengekalkan bintang Argentina itu di Nou Camp sedang diusahakan.
Laporan terbaru daripada Sepanyol memberitahu bahawa Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu bersedia untuk menjadikan Messi sebagai pemain dengan gaji termahal dunia, sesuai dengan status beliau sebagai pemain terbaik dunia.
Buat masa ini, Carlos Tevez adalah pemain yang menerima gaji termahal di Liga Super China dengan pendapatan £615, 000 seminggu
Sumber lain turut menyatakan kontrak berkenaan akan diselitkan klausa penjualan bernilai £400, 000 juta kepada mana-mana kelab yang mengimpikan khidmat Messi.
Pemain berjersi No.10 Barcelona ini tidak berselindung akan keinginannya untuk terus kekal dan menamatkan karier bola sepak profesional beliau di Nou Camp.
Wajarkah Lionel Messi mengubah kembali senarai jemputan terutama untuk menjemput lembaga pengarah di Barcelona?
Ini pasti akan membantu beliau untuk menjadi pemain dengan gaji termahal di dalam sejarah bola sepak dunia.