Steven Gerrard percaya bahawa Cristiano Ronaldo berhak untuk memenangi anugerah Ballon d’ Or untuk kali ke-5 selepas persembahan menakjubkan dalam perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) yang lalu.
Ronaldo menjaringkan dua gol dalam setiap separuh masa perlawanan untuk memastikan Real Madrid menang 4-1 ke atas Juventus dalam aksi perlawanan akhir UCL tersebut.
2 gol jaringan Ronaldo tersebut menjadikan beliau pemain pertama yang menjaringkan gol dalam 3 aksi final UEFA Champions League.
Ronaldo sebelum ini turut menjaringkan gol di pentas final ketika bersama Manchester United pada tahun 2008 ketika menentang Chelsea.
Jaringan beliau ketika aksi final UCL pada tahun 2014 menentang Atletico Madrid turut membantu pasukannya meraih trofi kejuaraan pada musim tersebut.
Kemenangan pagi Ahad itu turut memastikan Real Madrid tampil sebagai pasukan pertama yang berjaya mempertahankan trofi kejuaraan UCL setelah turut memenanginya pada musim lalu.
Bekas bintang dan lagenda Liverpool, Steven Gerrard berpendapat dua gol yang dijaringkan oleh Ronaldo sudah memadai untuk memastikan anugerah Ballon d’ Or menjadi milik penyerang antarabangsa Portugal itu.
“Ia adalah sesuatu yang menggerunkan serta menakutkan,” ujar Gerrard ketika mengulas perlawanan akhir tersebut bersama BT Sports.
“Anugerah Ballon d’ Or sewajarnya dimenangi oleh Cristiana Ronaldo. Perlawanan akhir seperti ini adalah pentas untuk pemain hebat seperti beliau”.
“Sayang sekali beliau tidak menjaringkan hatrik pada aksi final. Hatrik di Cardiff pasti melengkapkan kehebatan Ronaldo dalam aksi UCL pada musim ini.”
Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik di peringkat suku akhir menentang Bayern Munich. Beliau mengulangi ketajaman penyudahnya juga dengan hatrik di peringkat separuh akhir menentang Atletico Madrid.
Sehingga kini, Cristiano Ronaldo sudah meraih anugerah Ballon d’Or sebanyak 4 kali. Pertama kali, ialah pada tahun 2008 ketika bersama Manchester United.
Tiga tahun berikutnya ialah pada tahun 2013, 2014 dan 2016 bersama Real Madrid.
Jaringan kedua Ronaldo meletakkan pasukannya mendahului Juventus dengan selesa untuk dengan jaringan 3-1, juga adalah jaringan ke-600 sepanjang karier profesional beliau.
Cristiano Ronaldo meletakkan Real Madrid di hadapan selepas menolak masuk hantaran lintang Dani Carjaval pada minit ke-20 perlawanan.
Mario Mandzukic kemudiannya menyamakan kedudukan dengan jaringan akrobatik cantik 7 minit kemudian untuk menyamakan kedudukan buat juara Serie A itu.
Casemiro memulakan dominasi Real pada separuh masa kedua dengan gol kedua pasukannya selepas separuh masa kedua bermula.
Ronaldo dan pemain tengah muda Sepanyol, Marco Asensio mengesahkan kejuaraan Real Madrid dengan tambahan satu gol masing-masing selepas itu.
2 gol jaringan Cristiano Ronaldo pada aksi final tersebut mengesahkan beliau sebagai penjaring terbanyak saingan UCL pada musim ini dengan 12 gol.
Cristiano Ronaldo turut tampil sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pertandingan UCL dengan jumlah gol terkumpul, 105 gol.