Mitos ‘Fergie Time’ Dan Asal Usulnya 24 Tahun Yang Lalu

Sebagai pengikut dan peminat bola sepak Inggeris, anda pasti sinonim dengan terma ‘Fergie Time’. Terma ini terkenal dan sering digunakan di era kegemilangan Sir Alex Ferguson bersama Manchester United.

Pada malam tadi Sir Alex Ferguson sekali lagi tampil sebagai pengurus Manchester United dalam Perlawanan Testimonial Michael Carrick.

Manchester United 08′ XI dibarisi oleh pemain-pemain pada era yang sama seperti Edwin van der Sar, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Michael Carrick selaku kapten.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Barisan pemain-pemain pilihan Manchester United ini pasti menggamit rentetan kenangan dan kehebatan Manchester United ketika era Sir Alex Ferguson.

Tidak ada jaringan minit akhir dalam perlawanan tersebut. Namun anda yang menyaksikan perlawanan testimonial tersebut pasti tidak lari dari mengingati ‘Fergie Time’, setiap kali wajah Sir Alex dipaparkan di kaca televisyen.

Peraturan FIFA

Secara saintifik, 90 minit bermakna 1 jam dan 30 minit. Di dalam tempoh 90 minit inilah keputusan perlawanan bola sepak seharusnya ditentukan.

Ia mungkin memberi pasukan anda keputusan menang, kalah ataupun seri andai keputusan terus terikat setelah 90 minit perlawanan itu tamat.

Mengambil kira minit perlawnanan yang terhenti akibat kecederaan pemain, pertukaran pemain di antara pasukan yang bertanding mahupun kerana insiden-insiden diluar jangka ketika perlawanan berlangsung, masa tambahan turut diperkenalkan.

Masa tambahan diberikan atas budi bicara pengadil. Pembantu pengadil akan memaparkan masa tambahan yang diperuntukkan sejurus sebelum perlawanan tamat.

Di manakah ‘Fergie Time’?

Di manakah ‘Fergie Time’? Wujudkah ‘Fergie Time’ dalam buku manual badan induk bola sepak dunia, FIFA?

Minit akhir dalam perlawanan bola sepak boleh menjadi satu tempoh yang menegangkan. Ia mungkin berakhir dengan cara yang mengerikan, juga mengakhiri perlawanan dengan kaedah yang melegakan.

Senario pertama ialah apabila perlawanan berada dalam kedudukan terikat, dan kedua-dua pasukan memerlukan jaringan kemenangan untuk mengejar kelebihan.

(Photo by Professional Sport/Popperfoto/Getty Images)

Senario seterusnya adalah apabila salah satu pasukan sedang ketinggalan satu gol dan sedang mengejar jaringan untuk mengelakkan kekalahan- maka kedua-dua senario menjadikan masa sebagai satu elemen yang mendesak.

Segelintir (kebanyakkannya bukan penyokong Manchester United) mengandaikan skuad kendalian Sir Alex sering mendapat keistimewaan tambahan masa untuk menjaringkan gol penting berkenaan jika dibandingkan dengan pasukan lain.

(Photo credit should read ANDREW YATES/AFP/GettyImages)

Mengandaikan kewujudan ‘Fergie Time’ dalam bola sepak bermakna kita mendakwa pegawai perlawanan gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan jika peraturan FIFA diambil kira.

Maka definsi ‘Fergie Time’ yang lebih tepat sebenarnya adalah berasal daripada idea para penyokong yang tidak berpuas hati dengan jaringan minit akhir oleh skuad kendalian Sir Alex ketika memonopoli bola sepak Inggeris satu masa dahulu.

Sejarah Lahirnya ‘Fergie Time’ 

Sir Alex Ferguson tiba di Old Trafford pada November 1986. Namun, jaringan minit akhir ‘Fergie Time’ hanya hadir pada 10 April 1993.

Sebelum saingan musim 1992-1993, Manchester United tidak pernah bergelar juara Liga Inggeris selama 26 tahun.

Ketika musim 1992-1993 menghampiri penghujung, 3 pasukan dilihat berpeluang untuk menjadi juara pertama Liga Perdana Inggeris edisi pertama yang mendapat suntikan lumayan hasil hak penyiaran daripada British Sky Broadcasting dan BBC.

(Photo by Mark Thompson/Allsport/Getty Images)

Manchester United bersaing bersama Aston Villa yang dikendalikan oleh bekas pengurus United, Ron Atkinson.

Norwich City turut tampil sebagai pesaing untuk berada di puncak liga yang terdiri daripada 22 pasukan bertanding pada musim tersebut.

Dalam perlawanan menentang Sheffield Wednesday di Old Trafford, perlawanan diberikan 6 minit masa tambahan.

Perlawanan kerap diberhentikan kerana insiden-insiden ketika perlawanan termasuklah kecederaan yang menimpa pengadil perlawanan, Michael Peck.

Kecederaan Michael Peck menyaksikan tugas beliau digantikan dengan penjaga garisan, John Hilditch.

Manchester United VS Sheffield Wednesday (10 April, 1993) 

Manchester United memulakan perlawanan di tangga ke-2 liga. Keyakinan memuncak di kalangan penyokong United pada masa itu setelah ‘The Red Devils’ menewaskan Norwich 3-1 dalam saingan minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, percaturan Sir Alex Ferguson nyata tidak kena dalam perlawanan tersebut. Ketinggalan 0-1 dengan perlawanan berbaki 4 minit untuk tamat, bakal memberi laluan mudah untuk Aston Villa mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

Steve Bruce meraikan jaringan kemenangan Manchester United menentang Sheffield Wednesday.

Paul Ince dipersalahkan kerana mengasari Chris Wadle. Tugas pertama pengadil gantian, John Hilditch dalam perlawnan tersebut ialah menghadiahkan sepakan penalti untuk Sheffield Wednesday.

John Sheridan dengan mudah menewaskan Peter Schmeichel melalui jaringan penalti pada minit ke-65 untuk meletakkan pasukan beliau mendahului 0-1 di Old Trafford.

Bagaimanapun, dua tandukan Steve Bruce selepas itu memberi kisah yang berbeza. Tandukan pertama yang menghasilkan jaringan hadir pada minit ke-86.

Gol kedua, juga melalui tandukan kencang Steve Bruce- mencetuskan idea panggilan ‘Fergie Time’.

Gol kedua tersebut menewaskan penjaga gol England, Chris Woods setelah hantaran lintang Gary Pallister terbias oleh Nigel Worthington.

Gol kemenangan Steve Bruce dalam perlawanan berkenaan mencetuskan fenomena keraian yang tidak pernah disaksikan di Old Trafford sejak era Busby Babes, Dennis Law mahupun zaman Sir Bobby Charlton.

Jaringan saat ‘Fergie Time’ secara rasminya terjelma melalui perlawanan menentang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 di Old Trafford.

Kejuaraan Liga Perdana Inggeris Pertama Era Sir Alex Ferguson

Pengurus Sheffield Wednesday, Trevor Francis turut mengeluh akan tempoh masa tambahan yang diberikan dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Sir Alex menegaskan masa tambahan sepatutnya adalah 12 minit dan bukan 6 minit seperti yang diperuntukkan oleh pengadil.

Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Kemenangan ke atas Sheffield Wednesday tersebut tidak mengesahkan United terus sebagai juara liga pada musim tersebut.

Bagaimanapun, Manchester United konsisten untuk memenangi baki 5 perlawanan selepas itu untuk menamatkan musim 19921-1993 di puncak liga dengan kelebihan 10 mata berbanding saingan terdekat, Aston Villa.

Kita semua tahu apa yang berlaku selepas itu. Sir Alex Ferguson dan Manchester United mendominasi 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris sehingga Sir Alex bersara selesai musim 2012-2013.

Gol-gol jaringan saat ‘Fergie Time’ turut terus mendominasi baki karier hebat pengurus berbangsa Scotland tersebut bersama Manchester United.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN