Penyerang sensasi antarabangsa Perancis, Antoine Griezman mengesahkan akan kekal bersama Atletico Madrid pada musim hadapan, demikian menurut laporan ESPN.
Griezmann dipetik sebagai berkata kepada Telefoot, bahawa dia akan kekal bersama kelab Madrid itu setelah keputusan tidak membenarkan pembelian pemain diteruskan oleh pihak mahkamah sehingga Januari 2018.
ESPN FC turut melaporkan sebelum ini bahawa Manchester United telah mengalihkan minat daripada menandatangani penerima Anugerah Pemain Terbaik Bola Sepak Perancis 2016 itu.
Griezmann turut memberi beberapa respon yang berbeza sepanjang tempoh kebelakangan ini. Bagaimanapun, beliau secara terbuka menyatakan sokongan kepada Atletico selepas pengesahan pergantungan daripada membeli pemain disahkan sehingga Januari 2018.
Atletico Madrid tidak dibenarkan untuk membawa masuk pemain baru untuk dua jendela perpindahan. Kelab berkenaan didenda bersama-sama dengan seteru setempat mereka, Real Madrid pada tahun lalu.
Atletico dan Real didapati bersalah oleh FIFA kerana melanggar peraturan dalam proses untuk mendapatkan tanda tangan pemain di bawah umur 18 tahun.
Kedua-dua buah kelab turut dikehendaki untuk membayar denda berjumlah £622,000 oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Pada minggu lepas, Griezmann memaklumkan kepada media bahawa dirinya gembira di Atletico. Bagaimanapun, beliau akan membuat keputusan berkenaan perpindahannya dalam masa terdekat.
Griezmann kemudiannya menulis di laman twitternya dengan caption yang diterjemah:
“Sekarang adalah lebih daripada sebelum ini #Atleti #Alltogether”
Pada Ahad lepas pemain yang mempunyai klausa perpindahan bernilai £87 juta ini mengesahkan kepada Telefoot bahawa beliau akan kekal bersama Atletico pada musim panas ini.
“Kami (Griezmann dan ejen) membuat keputusan untuk kekal bersama Atletico Madrid”, kata Griezmann.
“Ini adalah tempoh yang sukar untuk kelab dan rakan sepasukan yang lain. Ia adalah sesuatu yang sukar bagi Atletico jika saya pergi. Saya menjangkakan satu lagi musim yang hebat bersama kelab ini,” ujar beliau lagi.
Sebelum pihak Mahkamah Antarabangsa Timbangtara Sukan (CAS) memutuskan supaya hukuman pergantungan pembelian pemain diteruskan, Atletico Madrid turut dikaitkan dengan perpindahan masuk Alexandre Lacazette dan Diego Costa.
Menjawab soalan wartawam berkenaan kedudukan dan status rakan sepasukan antarabangsa Perancis, Alexandre Lacazette, ini jawapan Grizmann:
“Ya. Ini perkara yang menyedihkan untuk Lacazette. Beliau pasti akan datang pada musim panas ini. Disember nanti, kita pasti akan mengetuk pintu Lyon sekali lagi.
Penafian Antoine Griezmann untuk berpindah ke Manchester United pada musim panas ini telah menamatkan satu lagi saga perpindahan.
Bagaimanapun, ia pasti satu perkara yang menarik untuk melihat penyerang manakah yang akan menjadi sasaran seterusnya Jose Mourinho untuk memperkuatkan skuad The Red Devils.