Quantcast

BERITA

5,000 Penyokong Meriahkan Sambutan Kejuaraan Ke-6 JDT

Lebih 5,000 penyokong turut serta meraikan kejayaan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan ke-6 Liga Super Malaysia (MSL 2019) di Dataran Bandaraya, Johor Bahru pada malam tadi.

Menurut laporan BERNAMA, sebuah bas khas membawa pasukan Harimau Selatan bersama-sama pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pegawai pasukan diarak mengelilingi lokasi-lokasi tertentu di sekitar Johor Bahru bersama dengan trofi kejuaraan.

Perarakan bermula dari Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos menuju Bomba Larkin-Jalan Tun Abdul Razak-City Square/JBCC- U-turn ke Jalan Wong Ah Fook-Tropical Inn-Jalan Trus-U-turn-Jalan Ibrahim-Lebuhraya Sultan Iskandar-Hospital Sultanah Aminah dan U turn berhadapan Gerbang Mahkota sebelum disambut dengan meriah oleh penyokong yang hadir di Dataran JB di mana kemuncak sambutan diadakan.

Sebelum itu, berlangsungnya perlawanan terakhir Liga Super pada musim ini yang menyaksikan JDT sekadar seri 3-3 dengan Terengganu serta majlis penyampaian trofi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos.

Dua skrin gergasi sudah tersedia di Dataran, bagi penyokong yang memilih untuk terus ke lokasi menyaksikan perlawanan JDT menentang Terengganu secara langsung.

Bagaimanapun sebenarnya acara di Datarab Bandaraya sudah bermula sejak jam 3 petang dengan pelbagai acara seperti cabutan bertuah, J6 Neon Fun Run, ‘football freestyler’ dan penyerahan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR Christopher Wong, yang diterima Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim – atas pencapaian JDT menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.

Kemuncak kepada sambutan yang berlangsung pada malam tadi menyaksikan penyokong yang hadir dihidangkan dengan perttunjukan bunga api dan juga persembahan lampu elektronik.