Perak bakal menghadapi aksi tertunda Liga Super musim 2024/2025 mereka hari ini dengan menghadapi cabaran daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk misi mendapatkan tiga mata penting.
Walaupun hadir dengan status tuan rumah, aksi ini bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan ia sedikit sebanyak memberi cabaran besar buat skuad kendalian Yusri Che Lah untuk menghadapinya.
Malah, momentum semasa juga jelas menjadi milik JDT yang masih segar dengan kemenangan bersih 3-0 mengatasi Ulsan HD bagi saingan AFC Champions League Elite beberapa hari lalu.
Tampil dengan barisan pemain menyakinkan di kesebelasan utama serta bangku simpanan, sudah tentu Yusri perlu mempertimbangkan sebaik mungkin percaturan taktikal beliau untuk mencipta kejutan.
Walaupun hadir sebagai bukan pilihan, dijangka Perak juga mampu untuk tampil dengan aksi menyakinkan sekurangnya demi memberi cabaran besar kepada pasukan lawan.
Berikut merupakan lima pemain tumpuan buat kedua pasukan yang dijangka bakal memberikan impak besar sepanjang aksi berlangsung.
Luciano Guaycochea
Pemain import paling berpengaruh buat Perak menerusi kualiti dimiliki beliau untuk mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta serangan bersama rakan sepasukan lain.
Setakat ini, Luciano telah pun meledak lapan gol daripada 13 perlawanan termasuk satu bantuan jaringan untuk membuktikan dirinya begitu berpengaruh buat Perak.
Azfar Fikri
Pemain serangan yang beraksi di posisi sayap kanan Perak ini boleh dianggap sebagai salah seorang tonggak tempatan paling menonjol buat musim 2024/2025 bersama kelab tersebut.
Kelincahan, kepantasan, serta ketajaman beliau digunakan dengan baik sejak beberapa aksi lalu dan Azfar kini telah pun merekodkan satu gol bersama sayu bantuan jaringan daripada 13 penampilan buat Perak.
Arif Aiman Hanapi
Pemain berbisa Asia ini sudah tentu akan menjadi salah seorang pertaruhan utama Hector Bidoglio untuk menghadapi cabaran Perak di posisi serangan.
Ketajaman Arif dan sumbangan beliau tidak boleh dipertikaikan lagi pada saingan musim ini dan kelincahan dirinya sudah tentu ditagih untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Bergson da Silva
Penggempur berbisa dari Brazil itu sudah tentu mahu meneruskan momentum semasa beliau selaku penjaring terbanyak Liga Super setelah beliau kini sudah pun merekodkan 20 gol daripada 20 perlawanan secara keseluruhan bersama JDT.
Ketajaman beliau bukan satu-satunya perlu diberi perhatian, kerana Bergson juga terkenal menerusi kelincahan serta kekuatan fizikal untuk mengatasi pertahanan pasukan lawan.
Oscar Arribas
Pemain serba boleh tersebut antara yang mencuri tumpuan musim ini selepas impak positif diberikan beliau dalam saingan domestik serta di kejohanan ACLE.
Sayap kanan, sayap kiri, serta pertahanan kiri menjadi posisi terbaik beliau dan Arribas sehingga kini sudah pun merekodkan empat gol bersama satu bantuan jaringan daripada 18 penampilan.