5 Tonggak Luar Negara Gagal Wakili Malaysia Selaku Pemain Warisan 2024

2024 menjadi antara tahun yang paling meriah dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia untuk memperkatakan tentang kehadiran pemain-pemain warisan dari luar negara untuk menyertai pasukan kebangsaan.

Kehadiran sebuah laman pencari bakat di media sosial kononnya sebelum itu seolah memberi harapan bola sepak Harimau Malaya bakal mengalami perubahan baharu terutama membabitkan pemain warisan.

Tatkala skuad kebangsaan dilihat terkontang kanting sebelum ini di pentas antarabangsa, sudah tentu perubahan baharu dengan membabitkan pemain warisan berkualiti dari luar negara amat ditagih untuk mengubah suasana bola sepak negara.

Pemain Warisan: Antara Impian & Khayalan Penyokong Harimau Malaya

Walaupun begitu, segalanya dilihat hancur berkecai selepas beberapa pemain warisan yang kononnya hampir menyarung jersi kebangsaan menerusi rekod hebat mereka bersama kelab tidak dapat diteruskan.

Malah, harapan itu turut ‘ghaib’ bersama laman tersebut yang sehingga kini tidak memberi sebarang penjelasan mengenai status pemain warisan diperkatakan kepada para peminat.

Berikut merupakan antara lima pemain yang terdahulu dikatakan memiliki pertalian darah bersama skuad Harimau Malaya

Mats Deijl

Pemain kelahiran Belanda itu tidak dapat mengesahkan diri beliau selaku pemain warisan negara setelah tidak melepasi syarat yang ditetapkan.

Deijl dilaporkan hanya memiliki darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukan menerusi nenek atau datuknya seperti ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beraksi di posisi pertahanan, usaha Deijl untuk mewakili Malaysia wajar dipuji selepas beberapa dokumen penting disediakan beliau sebelum ia menjadi sia-sia.

Isaac Hayden

Menerusi perkongsian dibuat oleh sebuah laman pencari bakat, Isaac dikatakan memiliki pertalian darah bersama Malaysia menerusi neneknya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Namun, pendedahan baharu daripada pemain itu menyatakan beliau tidak memiliki sebarang waris atau ahli keluarga yang membenarkannya untuk mewakili skuad kebangsaan.

Malah, Hayden turut berharap supaya tiada lagi sebarang khabar angin di media sosial yang mengaitkan beliau bersama Harimau Malaya pada masa hadapan.

Iggy Houben

Salah seorang pemain yang dikatakan memiliki pertalian darah dan bakal beraksi untuk Malaysia menerusi media sosial sebelum khabar tersebut disahkan tidak benar.

Apa tidaknya, ibu Houben sendiri menafikan perkara tersebut dan menyatakan nenek pemain itu bukan berasal dari Malaysia untuk membolehkan beliau mewakili pasukan negara.

Houben yang berasal dari Belanda sebelum ini dicanang sebagai antara pemain muda berpotensi untuk memperkukuhkan pasukan kebangsaan.

Josh Brownhill

Salah satu kekecewaan terbesar buat sesetengah peminat bola sepak Malaysia apabila Brownhill sendiri menafikan beliau memiliki pertalian darah bersama negara ini di media sosial.

Terdahulu, salah seorang pemain bintang di England itu antara paling kuat dikaitkan bersama Malaysia sehingga ia mencetuskan rasa teruja dalam kalangan peminat untuk melihat Brownhill mewakili Harimau Malaya.

Namun, Brownhill sendiri tampil mengakui beliau tidak memiliki pertalian darah bersama Malaysia di media sosial kerana tidak mempunyai pengesahan rasmi menyatakan dirinya selaku pemain warisan.

Ethan Wheatley

Nama Ethan antara yang terawal pada tahun 2024 dikaitkan memiliki pertalian darah bersama Malaysia selepas beliau dikatakan mempunyai perkaitan menerusi neneknya dari Selangor.

Walaupun begitu, Ethan mengakui beliau tidak mempunyai sebarang pertalian darah bersama Malaysia atau Indonesia seperti dihebohkan oleh segelintir peminat menerusi media sosial.

Ketika ini, Ethan merupakan salah seorang bintang muda berbakat yang sudah pun diberi peluang dalam beberapa perlawanan bersama skuad senior Manchester United di English Premier League (EPL).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN