5 Senarai Semak Untuk Ramon Marcote Memperbaiki Kedah

Secara keseluruhan, Kedah bermula dengan agak perlahan pada musim ini.

Tewas 2-1 dalam perlawanan pertama unifi Liga Super dan Piala Sumbangsih kepada JDT di Larkin, ia diikuti oleh kekalahan 3-1 kepada Perak di halaman sendiri.

Selepas itu skuad kendalian Ramon Marcote ini menang dua perlawanan berikutnya, masing-masing 1-0 ke atas PKNP, dan 4-3 kepada PKNS FC di Shah Alam.

Skuad Lang Merah turut terpaksa berhempas pulas menundukkan Negeri Sembilan di pusingan ketiga saingan Piala FA.

Walaupun mencatatkan tiga kemenangan dalam semua pertandingan setakat ini, ia belum cukup meyakinkan kebanyakkan penyokong mereka.

Apakah isu yang perlu diselesaikan oleh Ramon Marcote? Kami sediakan 5 senarai semak untuk pengendali dari Sepanyol ini memperbaiki prestasi pasukan Kedah.

1. Jentera serangan

Isu pertama ialah membabitkan jentera serangan skuad Lang Merah. Tumpuan utama pasti kepada keupayaan penyerang import, Pablo Pallarés yang setakat ini hanya menjaringkan satu gol daripada 5 perlawanan dalam semua pertandingan.

Kemarau jaringan pemain tersebut, jelas mempengaruhi motivasi. Keadaan ini tidak dibantu oleh masalah komunikasi dengan pemain lain yang sedikit sebanyak menyumbang kepada prestasi semasa Pallares.

Aksi Pablo Pallares ketika menentang PKNP FC. FOTO: KFA

Untuk isu jentera serangan skuad Kedah, Marcote harus memilih sistem mana yang mahu digunapakai oleh beliau.

Selain daripada Paralles yang merupakan baka poacher klasik, Marcote turut boleh menggunakan khidmat Sandro Mendonca yang boleh beraksi sebagai deep-lying forward, sebagai sistem serangan utama pasukan musim ini.

2. Sistem pasukan

Yang mana satu pilihan Marcote? Membentuk sebuah sistem permainan berasaskan pasukan? Atau membentuk sebuah pasukan berdasarkan profil pemain sedia ada?

Kita semua tahu bahawa Marcote adalah pemegang prinsip bola sepak moden 4-2-3-1, atau pun 4-4-1-1.

Kemasukkan Andik mengubah sistem ini kepada 4-3-3 dalam beberapa perlawanan lalu.

Andik Vermansyah turun dalam kesebelasan utama Kedah. Foto: KFA.

Marcote harus memilih sama ada akan meneruskan sistem 4-3-3 kerana ia sesuai dengan profil pemain sedia ada.

Jika ya, ini bermakna Marcote harus melupakan falsafah bola sepak beliau yang gemarkan pemain No.10 di dalam sistem 4-2-3-1 atau 4-4-1-1.

Setakat ini sistem alternatif 4-3-3 memberikan impak positif kepada permainan Kedah, dengan fungsi deep-lying forward yang dimainkan oleh Sandro.

Photo by Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

Namun untuk terus berjaya di dalam sistem alternatif ini, Marcote harus membentuk dua pemain sayap yang mampu menjaringkan gol.

Soalan kami. Mampukah Paralles berevolusi di dalam sistem permainan alternatif ini?

3. Harapan tinggi peminat

Dengan ‘fanbase’ yang besar, disertai oleh dominasi kejuaraan sejak beberapa musim lalu di pentas domestik, ia bukanlah perkara yang menghairankan mengapa penyokong pasukan Kedah turut merasakan Marcote sebagai calon jurulatih yang mampu membawa lebih banyak kejuaraan.

Malah penolong jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff turut yakin Marcote adalah calon yang lebih berkemampuan daripada beliau ketika nama pengendali dari Sepanyol itu disebut-sebut akan mengambil alih tugas beliau pada musim lalu.

Marcote sedang mengendalikan sesi latihan Kedah. Foto: Facebook KFA

Kami pasti. Walaupun sebelum ketibaan beliau ke Alor Setar untuk melaporkan diri sebagai Ketua Jurulatih Kedah pada Disember lalu, Marcote sudah dapat menjangkakan tekanan yang bakal dihadapinya.

Di sebalik tekanan yang dihadapi, Marcote harus bijak untuk mengimbangi permintaan penyokong yang sentiasa mahukan kemenangan, dan tugas hakiki yang perlu dilaksanakan untuk membentuk kembali pasukan Kedah.

FOTO: KFA

Tugas hakiki yang dinyatakan di sini ialah untuk membentuk sebuah pasukan Kedah yang mempunyai ciri DNA yang digeruni dan dominan seperti ketika era Tan Cheng Hoe.

Di dalam melaksanakan tugas hakiki tersebut, Kedah pasti akan berhadapan dengan kekalahan sekaligus mengundang kritikan pedas penyokong Kedah yang lantang.

FOTO: KFA

Tetapi siapakah yang boleh menyalahkan penyokong? Bukankah Kedah satu-satunya pasukan setakat ini yang pernah meraih kejuaraan ‘double treble’?

Atau mungkin Marcote belajar daripada Jose Mourinho. Sekadar mengakhiri saingan liga di kedudukan keenam pada musim lalu, tapi masih mampu merangkul dua kejuaraan.

Bukankah trofi itu merupakan indikasi jelas dominasi kejayaan sesebuah pasukan?

4. Disiplin pemain

Antara perkara yang perlu diperkemaskan oleh Marcote ketika aksi di dalam padang ialah isu disiplin pemain.

Jika diperhatikan daripada musim lalu, barisan pertahanan pasukan Kedah cenderung melakukan kekasaran pemain di kawasan berbahaya.

Adakalanya terjahan tersebut tidak diperlukan, dan situasi permainan sepatutnya boleh dikawal denga lebih bijak ketika fasa bertahan.

Kekalahan 3-1 menentang Perak di minggu kedua saingan MSL, seharusnya diambil sebagai ikhtibar. Gol kedua pasukan Perak adalah berpunca daripada terjahan liar yang dianggap tidak perlu.

Bagaimanapun, kami percaya Marcote telah menambahbaik aspek ini di dalam permainan pasukan Kedah.

FOTO: PBNS

Buktinya, ketika saingan Piala FA menentang Negeri Sembilan tempoh hari, pemain-pemain Kedah menunjukkan disiplin yang lebih baik walaupun perlu beraksi selama 120 minit dalam aksi penuh dikekalkan.

Sudah tentu kami mengharapkan aspek mentaliti dengan permainan yang lebih bijak boleh dikekalkan oleh barisan pemain Lang Merah di masa hadapan.

5. Tangani Liridon Krasniqi

Mahu atau tidak, Marcote harus menerima hakikat bahawa Liridon Krasniqi merupakan ‘marquee player’ di dalam pasukan Kedah.

Bukan sahaja berperanan selaku pemain senior, Liridon juga merupakan tulang belakang kepada pasukan Kedah sejak beberapa musim yang lalu.

FOTO: KFA

Musim ini, tidak akan membawa perbezaan terhadap status tersebut.

Pemain ini mempunyai ‘winning mentality’ yang tinggi. Karakter beliau yang kuat di atas padang boleh mempengaruhi rakan sepasukan yang lain.

Tetapi pada masa yang sama, karakter tersebut boleh menjadi musuh utama pasukan Kedah, terutama ketika Liridon gagal mengawal emosi.

Piala Malaysia

Dalam perlawanan ketika menentang Negeri Sembilan, Liridon menujukkan corak permainan dan karakter yang penuh berdisiplin.

Perlawanan ketika Kedah dikejutkan oleh Sarawak dengan kekalahan 4-2 di Kuching pada musim lalu adalah salah satu contoh bagaimana emosi Liridon menghampakan keseluruhan pasukan.

Penutup

Apa pendapat penyokong pasukan Kedah? Anda mempunyai perkara lain untuk disenaraikan untuk perhatian Ramon Marcote?

Nyatakan di ruangan komen, kami mahukan pandangan bernas daripada anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN