Analisis: Rajagopal Dan Cabaran Baru Untuk Musim Penuh Berliku Bersama PKNS FC

pkns fc

Sekalung tahniah buat ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal apabila diumumkan kekal membimbing skuad tersebut untuk saingan unifi Liga Super pada musim hadapan.

Dengan pengumuman tersebut, Semut Merah sah akan kekal bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas ada desas desus menyatakan yang PKNS FC bakal ‘tutup kedai’.

Semuanya BOLA membawakan kepada para pembaca 5 senarai semak buat ‘King’ Gopal dan juga pengurusan PKNS FC dalam persediaan saingan liga musim 2019.

Bajet dikurangkan, musim mencabar

PKNS FC menerusi laman sesawang mereka pada 9 Oktober lalu telah mengumumkan bahawa bajet pasukan pada musim depan bakal dikurangkan termasuklah gaji pemain-pemain.

PKNS FC menyatakan bahawa ia adalah kesan daripada perubahan iklim bola sepak di negeri Selangor dan merasakan ia adalah satu tindakan wajar yang telah dibuat oleh mereka.

Jadi, pasti ini akan menjadikan musim 2019 adalah musim yang mencabar buat Semut Merah kerana dengan pengurangan bajet sebegini, kos operasi pasukan juga bakal terkesan.

Pada penghujung tahun 2017, Pengarah Urusan Action Football Asia, Effendi Jagan Abdullah mendedahkan yang setiap pasukan Liga Super memerlukan dana sehingga RM20 juta semusim.

Menurut Effendi yang berpengalaman selama 15 tahun bekerja sebagai ejen pemain, dana tersebut merangkumi kos pengurusan pasukan, gaji para pemain dan juga gaji jurulatih.

Jika bajet dikurangkan, PKNS FC nampaknya terpaksa ‘ikat perut’ sepanjang saingan musim hadapan dan adakah ini akan menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan?

Hanya 11 pemain dikekalkan, keserasian?

Daripada 27 pemain yang beraksi bersama PKNS FC sehingga ke penghujung musim 2018, pengurusan telah menyatakan yang hanya 11 pemain akan dikekalkan untuk musim 2019.

Identiti pemain-pemain tersebut masih belum didedahkan oleh pihak pengurusan namun beberapa tonggak utama seperti Safee Sali, K. Gurusamy dan Rodney Calvin dijangkakan kekal.

Walaupun pengurusan menjelaskan ini adalah salah satu kesan daripada pengurangan bajet, namun kesan kombinasi dan keserasian antara pemain juga akan dapat dilihat selepas ini.

Lebih separuh pasukan bakal diisi oleh pemain-pemain baharu yang mungkin boleh membawa dimensi dan juga kesan serta akibat yang berbeza buat pasukan PKNS FC.

Jika benar PKNS FC mahukan melakukan rombakan sedemikian, tetapi pada masa yang sama mahu membina pasukan, ada baiknya jika mereka mengetengahkan bakat muda yang beraksi di pasukan Piala Presiden atau Piala Belia untuk pendedahan awal.

Ia bukan langkah yang merugikan berbuat demikian kerana menggunakan sumber dalaman, pada masa yang sama membina pasukan baharu untuk tempoh jangka masa panjang.

Kekalkan momentum musim 2018

PKNS FC telah memberikan aksi yang terbaik dalam saingan Liga Super, Shopee Piala FA dan juga unifi Piala Malaysia serta pertandingan Piala Sultan Selangor pada musim ini.

Mereka meraih kedudukan ketiga liga, semifinalis Piala FA, suku akhir Piala Malaysia serta merampas semula kejuaraan Piala Sultan Selangor apabila menewaskan pilihan Singapura.

Dalam saingan liga, PKNS FC pada penghujung musim hanya dibezakan satu mata kepada naib johan, Perak yang meraih 36 mata. Sasaran untuk meraih ‘top 5’ liga tercapai!

Ia satu pencapaian yang sangat baik malah mendadak buat PKNS FC selepas melantik Rajagobal ke kerusi panas pasukan. Namun, adakah ini akan dapat diteruskan olehnya musim hadapan?

Dengan lebih separuh pasukan bakal diisi pemain-pemain baharu, pastinya rentak pasukan akan sedikit terjejas dan dengan hanya kebijakkan ‘King’ Gopal akan menyelesaikan isu ini.

Identiti dan penyokong

Masalah pasukan seperti PKNS FC ini pastinya adalah untuk membentuk identiti pasukan dan juga mengumpul kelompok penyokong yang mahu menyokong mereka.

Ya, mereka cemerlang pada musim 2018 namun, siapa yang turun menyokong pasukan? Sudahlah musim lalu, mereka beraksi di Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 penonton.

Mengikut statistik pada musim 2017, Semut Merah adalah pasukan kedua terendah dalam rekod kehadiran penyokong ke stadium selepas pasukan yang kini telah dibubarkan, T-Team FC.

Adakah mereka hanya bergantung dengan penyokong yang terdiri daripada serpihan pendokong Selangor, ahli keluarga syarikat dan juga mungkin ahli keluarga pemain?

Rajagobal dan PKNS FC perlu memikirkan penyelesaian berkenaan hal ini kerana kelab bola sepak juga hidup atas kekuatan sokongan para penyokong. Kelab tanpa penyokong, apalah ertinya?

Perlukah mereka memilih salah satu daerah atau kawasan di negeri Selangor untuk proses penjenamaan semula pasukan? Sebagai contoh, Shah Alam PKNS FC atau Klang PKNS FC.

Kemudian mereka perlulah turun padang dekati masyarakat setempat sebagai promosi pasukan serta untuk menarik orang tempatan di kawasan tersebut menyokong PKNS FC.

Di Malaysia, contoh yang mungkin boleh diambil adalah penjenamaan semula kelab AirAsia Allstars yang ditukar kepada Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) FC.

Adakah formula yang sama boleh dibawa untuk membentuk identiti dan kelompok penyokong buat PKNS FC? Adakah ia menjamin peningkatan penyokong?

Safiq Rahim?

Terdapat ura-ura yang bekas kapten dan juga pemain skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim bakal menyertai sebuah kelab di Lembah Klang. Salah satu destinasi tampak seperti PKNS FC.

Ini kerana, Safiq adalah antara pemain yang telah bersama-sama Rajagobal meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 dan jika ia berlaku, pastinya akan terjadi reunion kecil skuad AFF 2010.

Biarpun Safiq seakan-akan menidakkan khabar angin ini setakat ini, namun dengan situasi sudah lama tersisih daripada skuad utama Harimau Selatan, dia mungkin akan beralih angin.

Penyertaannya ke PKNS FC dilihat menarik dan Rajagobal juga pasti mahu menggunakan peluang ini untuk memperbaiki struktur jentera tengah skuad kendaliannya itu.

Mungkin Safiq boleh menambah sengat di jentera tengah selepas skuad ini bakal melalui satu rombakan besar-besaran. Adakah Safiq berminat untuk bersama bekas sifunya?

Sebagaimana Safee Sali dan Mahali Jasuli, Safiq juga pasti ingin mendapatkan semula ‘sentuhan magisnya’ seperti ketika menjulang nama Harimau Malaya dahulu.

Penutup

Prestasi PKNS FC pada musim lalu lebih baik berbanding Selangor, seteru setempat mereka yang sehingga kini boleh kita anggap masih berkonflik antara satu sama lain.

Konflik antara kedua-dua pasukan semakin menjadi-jadi pada musim lalu dan ia membawa kepada Selangor kehilangan Stadium Shah Alam kepada PKNS FC.

Semut Merah sememangnya memiliki prestasi yang sangat baik namun jelas antara kekurangan pasukan ini adalah kekuatan kelompok penyokong dan juga arah tuju di masa depan.

Rajagobal dan pengurusan PKNS FC perlu duduk bersama dan memikirkan kaedah untuk menaikkan jumlah penyokong kerana mereka kini berada di prestasi yang sangat baik.

Jika tidak, pastinya kelab ini bakal melalui saat sukar dengan bajet yang semakin mengecil, tiada penyokong seterusnnya boleh membawa kepada ‘tutup kedai’.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN