Kami ingin berkongsi sebab wanita tidak suka menonton bola sepak. Audien bola sepak di kalangan wanita sudah semakin meningkat.
Namun di negara kita jumlah peminat bola sepak dari kalangan kaum hawa masih rendah. Artikel kali ini adalah pandangan daripada responden wanita yang tidak minat dengan bola sepak.
Apakah agaknya bola sepak dari kaca mata beliau.
Perspektif wanita
Jika ditanya wanita apa itu sukan bola sepak, terlintas di fikiran mereka ianya adalah sebiji bola yang disepak oleh beberapa orang lelaki di atas sebuah padang yang besar.
Bagi kebanyakan mereka, sukan bola sepak sebenarnya agak menyusahkan untuk mereka sendiri fahami dan minati.
Tambahan pula, apabila ditanya tentang formasi dan taktikal ketika perlawanan berlangsung, amat sukar untuk seorang wanita menerangkannya.
Namun, perspektif ini boleh berubah jika wanita mempunyai keinginan untuk belajar tentang makna dan ilmu sukan bola sepak itu sendiri. Maksudnya, untuk minat kepada sesuatu perkara kalau boleh jangan alang-alang.
Berikut adalah 5 sebab utama kenapa kebanyakan wanita kurang menonton bola sepak berdasarkan dari pandangan wanita yang tidak suka menonton perlawanan bola sepak.
1.Peraturan yang rumit
“Apa itu offside?” pertanyaan yang lali ditanya oleh kebanyakan wanita jika menonton kejohanan sukan bola sepak yang berprestij sahaja.
Pelbagai jenis peraturan dalam sukan bola sepak menjadikan mereka lebih selesa untuk tidak ambil tahu dan fahami.
Untuk mereka yang buta akal tentang sukan bola sepak dan merasakan sukan ini adalah satu sukan yang melecehkan untuk ditonton. Itu belum lagi bersembang soal 4-4-2, 4-5-1 dan sebagainya.
Kadangkala, bila ditanya, ada yang tidak mahu melayan ataupun malas untuk menerangkannya.
Jadi, kami memilih untuk tidak menyusahkan diri dengan suatu perkara yang tidak memberi kesan dalam hidup. Contohnya peraturan teknikal dalam sukan bola sepak.
2.Durasi masa yang lama
Perlawanan bola sepak memerlukan kita mengorbankan masa sekurang-kurangnya 90 minit duduk di depan kaca tv atau minum di kedai mamak.
Bagi kebanyakan wanita, durasi masa 90 minit itu sangat lama jika dibandingkan dengan menonton drama korea atapun membeli belah, mengemas rumah mahupun memasak.
Bahkan separuh masa pertama sahaja sudah 45 minit dan iklan selama beberapa minit sebelum meneruskan masa separuh kedua, insan yang bernama lelaki agak malas untuk berganjak dari tempat mereka.
Ada juga sesetengah wanita akan mula panas punggung untuk berganjak dari menonton bola sepak kerana bosan melihat ‘benda’ yang tidak bernyawa dikejar oleh sebelas orang pemain dalam masa sejam setengah.
3.“Bola sepak bukan jiwa wanita”
Kebanyakan wanita, jiwa mereka lebih cenderung kepada sukan yang senang difahami dan dimainkan. Contohnya sukan bola jaring.
Oleh itu, dengan jiwa yang kosong dan pemikiran yang tidak disogok secara keseluruhan tentang sukan bola sepak, ia akan membantutkan minat untuk menonton acara sukan bola sepak.
Mungkin lahirnya peminat sukan bola sepak dalam kalangan sesetengah wanita sekadarlah “hangat hangat tahi ayam” yang bukan dari jiwa.
Hal ini sering kali ditunjuk apabila mereka hanya mengikut pasangan mereka untuk meminati sesebuah pasukan itu sahaja.
Dek kerana perasaan sayang kepada pasangan mereka, jersi yang dibeli bersama cuma digunakan ketika menonton acara sukan bola sepak yang “acah-acah” sebati dengan jiwa mereka.
Namun begitu, dalam diam sebenarnya, jiwa wanita mudah untuk ditanam tentang ilmu sukan bola sepak jika kena dengan cara yang betul. Itu adalah lebih baik daripada cuma membelikan jersi untuk wanita kerana nak ‘sweet’.
4.Kurang pendedahan dari zaman kanak-kanak
“Daripada sejuta kanak-kanak lelaki dan perempuan, mendapati anak perempuan pada umur empat tahun boleh melihat rajah 2 dimensi tetapi anak lelaki lebih mampu melihat rajah 3 dimensi.”
Itulah hujah kajian oleh Prof. Camilia Benbow daripada Lowa State University (1983).
Ini membuktikan bahawa aktiviti yang berkaitan dengan kelajuan, lokasi dan jarak amat kurang diminati oleh sesetengah wanita.
Jadi, sejak dari zaman kanak-kanak, sukan bola sepak yang memerlukan daya tumpuan tinggi ini pendedahannya lebih didominasi oleh jantina lelaki.
Sebaliknya, bagi wanita pula kebanyakan dari mereka menguasai aktiviti yang lebih sopan-santun seperti permainan batu seremban atau congkak berbanding aktiviti yang lasak.
Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan wanita membebel tentang sukan bola sepak sehingga lelaki merasakan agak sukar untuk menjawab pertanyaan mereka yang agak kurang masuk akal.
5.Suasana seperti “pasar malam”
Pekikan“GOLLLLLL” yang bising dan makian dari penonton acara bola sepak di kedai mamak mahupun di rumah sedikit sebanyak menyumbang kepada punca sesetengah wanita kurang minat untuk menonton sukan bola sepak.
Hal yang demikian kerana, suasana yang hingar- bingar ini mengganggu mereka untuk memberi konsentrasi dalam apa jua perkara yang sedang dilakukan.
Jika diberi pilihan untuk menonton acara bola sepak yang bising bersama kawan-kawan atau menonton filem romantis di pawagam.
Sudah tentu kebanyakan dari mereka lebih suka menonton filem romantis di pawagam dalam keadaan yang tenang dan tidak bising.
Tetapi, ada juga sesetangah wanita yang suka untuk menonton acara bola sepak di stadium namun mesti ditemani dengan orang yang tersayang.
Kesimpulan
Jika diberikan peluang dan pengajaran dengan lebih tepat buat para wanita untuk gemar menonton acara sukan bola sepak, sudah tentu istilah “tengok bola sepak hanya kerana paras rupa yang kacak” kurang hangat diperkatakan.
Sebab-sebab utama ini hanyalah berdasarkan dari pandangan kebanyakan para wanita yang tidak gemar menonton bola sepak. Ianya tidak mewakili wanita yang memang minat dengan bola sepak.
Dalam artikel seterusnya, kami akan mengupas dari perspektif berbeza dari golongan wanita yang minat menonton bola sepak.
Nota Editor: Artikel ini adalah hasil kiriman pembaca kami. Mahu artikel anda dibaca jutaan peminat bola sepak? Emailkan kepada kami ke alamat [email protected]. Artikel haruslah dalam format microsoft words.
[adrotate group=”6″]
Baca juga: Analisis Taktikal MSL 2017: JDT Gagal Kekalkan Tatikal High Line Pressing