5 Sebab Semua Pasukan Perlu Jaga-Jaga Dengan KL United

KL United 2020 selangor

Adakah perseteruan Kuala Lumpur United  (KL United) dan Selangor FC akan kembali bersemi musim depan? Pertembungan kedua-duanya digelar Derbi Lembah Klang.

Satu masa dahulu, di era 80-an, pertembungan kedua-dua pasukan sentiasa ada bibit-bibit panas. Ianya masih berterusan sehingga ke era 90-an ketika bekas penyerang handalan negara, Azman Adnan berhijrah ke Selangor daripada Kuala Lumpur.

Mengapa ianya kembali panas? Ini kerana Azman Adnan telah gagal dihalang oleh Kuala Lumpur untuk berpindah menyertai musuh ketat mereka itu dengan nilai perpindahan bernilai RM1 juta. Usaha mereka menawarkan kepada beliau gaji dua kali ganda daripada apa yang beliau dapat ketika itu iaitu RM3,000 sebulan, juga gagal.

Selain Selangor, semua pasukan lain di Liga Super juga perlu berjaga-jaga dengan perubahan yang akan dilalui KL United musim depan. Jom kita lihat kenapa:

1. Bekas pemain sendiri jadi CEO

KL United telah melantik bekas produk dan pemain mereka, Stanley Bernard sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan. Jelas, ia satu langkah yang menarik dan tentunya beliau sangat memahami dan arif dengan senario bola sepak negara.

KL United berjaya meraih tiket ke Liga Super 2021 selepas menamatkan musim lalu di kedudukan ketiga Liga Premier, di belakang juara, Penang FC dan pasukan simpanan, Terengganu FC II. Mereka sudah dibentuk dengan baik musim lalu. Kehadiran Stanley Bernard boleh membantu mereka dalam meneruskan langkah musim depan.

Pengalaman Stanley Bernard berkelana ke luar negara juga boleh dimanfaatkan KL United dengan pandangannya bukan setakat situasi bola sepak di Malaysia sahaja.

2. Miliki perancangan menarik

Sejak dilantik pada pertengahan Disember lalu, Stanley Bernard telah menggariskan tiga perkara yang akan dilakukannya terlebih dahulu bersama KL United.

Pertama, beliau sedang memikirkan cara untuk bagaimana menjana pendapatan daripada Stadium Kuala Lumpur, Cheras, yang bukan milik mereka sepenuhnya. Sama ada mereka perlu menjadi pemilik stadium itu atau memiliki hak untuk menguruskan dan menjanakan pendapatan daripada semua aktiviti di stadium selepas ini.

Kedua, mencipta ‘content’ berkaitan pasukan dan pemain juga akan digarap dan direalisasikan KL United. Dan yang ketiga adalah bagaimana mereka boleh menjana pendapatan, bukan hanya menanti tajaan. Untuk itu, beliau sudah memiliki caranya.

3. Pelantikan Bojan Hodak

Ya, krisis yang tidak menarik telah berlaku selepas pelantikan Bojan Hodak apabila pengendali yang sepatutnya mengendalikan pasukan, Simon Elissetche dikatakan ditamatkan kontrak selepas seminggu dilantik secara rasmi pada awal Januari lalu.

Kini, Simon Elissetche telah mengambil tindakan undang-undang terhadap KL United dan turut membawanya ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Siapa yang bersalah dalam isu ini? Setakat ini, hanya Bernama yang mengaku bersalah menerbitkan cerita tidak benar mengenai kenyataan Stanley Bernard.

Berbalik kepada Bojan Hodak, beliau merupakan jurulatih yang memiliki sentuhan emas dalam arena bola sepak negara. Beliau mencipta kejayaan bersama Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad B-19 negara. Tentunya beliau boleh menaikkan kembali aura KL United seterusnya menghadiahkan sesuatu buat mereka.

4. Gandingan pemain berpengalaman lama dan baharu

Mengapa semua pasukan perlu berhati-hati apabila berdepan The City Boys? KL United telah membawa masuk beberapa pemain yang bagus antaranya, Irfan Zakaria, Hadin Azman, Romel Morales, Dominique da Sylva dan tentunya Safee Sali.

Mereka juga sudah memiliki beberapa pemain yang telah membentuk kesefahaman yang baik antaranya penjaga gol, Zamir Selamat, Shukor Adan, Akram Mahinan, Sean Gan Giannelli, Indra Putra Mahayuddin dan Paulo Josue. Jadi, dengan kombinasi ini, dapat dilihat, KL United juga antara pasukan yang mampu mencabar.

5. KL United sudah mula cabar Selangor FC!

Dapat dilihat, menerusi laman sosial KL United, mereka sudah mula mencabar skuad Selangor FC. Menurut muat naik status mereka mengucapkan tahniah atas pelancaran jersi baharu, “Tidak sabar untuk menyambung semula Derbi Lembah Klang untuk musim 2021. Apa kata gunakan jersi baharu itu untuk aksi persahabatan kita nanti?”

Ia bukanlah ucapan biasa-biasa. Ini kerana, jika dilihat di era jersi tersebut iaitu 80-an, kedua-dua pasukan merupakan musuh ketat. Menariknya, selepas Selangor menjuarai Piala Malaysia 1986 menggunakan jersi tersebut, tiga tahun berturut-turut, Kuala Lumpur menjuarainya – menewaskan lawan yang sama, Kedah di pentas akhir.

Stanley Bernard juga dilihat cuba memanaskan semula permusuhan kedua-dua pasukan apabila berkata kepada Sukanz, “Itu [perubahan kepada menjadi lebih profesional] akan membawa sedikit keenakan apabila KL menentang Selangor.”

Apa kata penyokong kedua-dua pasukan? Adakah anda sememangnya telah menanti kebangkitan KL United dalam saingan Liga Malaysia dan mencabar semua pasukan?

KREDIT FEATURED IMAGE: KL United

Baca lagi artikel lain mengenai KL United:

Seperti Diduga, KL United Berdepan Masalah Dengan ‘Pemecatan’ Simon Elissetche

3 Perubahan Pertama Yang Stanley Bernard Rancang Bersama KL United

Bojan Hodak Mahu Pacu Prestasi Lebih Cemerlang Buat Kuala Lumpur

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN