5 Sebab Mengapa Selangor Wajar Kekalkan B. Sathianathan

B. Sathianathan

Tewas 3-0 di separuh akhir kedua Piala Malaysia pada malam tadi bermakna cabaran Selangor di Liga Malaysia untuk musim ini sudah pun berakhir.

Secara keseluruhan, prestasi Selangor masih dianggap baik walaupun gagal memastikan sebarang kejuaraan pada musim ini. Berikut adalah lima sebab mengapa Selangor wajar mengekalkan B. Sathianathan untuk saingan pada musim hadapan pada pandangan kami.

Musim terbaik secara keseluruhan

Secara keseluruhan, pencapaian Selangor pada musim ini masih dianggap baik berbanding musim-musim sebelumnya.

Di saingan Liga Super misalnya, Selangor mengakhiri saingan di tangga ke-3. Pencapaian ini adalah peningkatan ketara berbanding musim sebelumnya apabila Selangor mengakhiri saingan di tangga ke-8, tangga ke-6 pada 2017, tangga ke-5 pada 2016.

Kali terakhir Selangor berada di kelompok tiga teratas adalah pada musim 2015, apabila mengakhiri saingan Liga Super di tangga ke-2.

KEDUDUKAN TERKINI PUSINGAN LS22 LIGA SUPER 2019

#LigaSuper2019

Posted by Malaysian Football League on Saturday, July 20, 2019

Jurulatih terbaik tempatan

Perkara ini adalah agak subjektif, tetapi tidak keterlauan untuk melabel B. Sathianathan sebagai antara pengendali tempatan terbaik di Liga Malaysia pada ketika ini.

Mengakhiri saingan di tangga ke-3, pasukan Selangor di bawah kendalian Sathianathan hanya berada di belakang Pahang yang dikendalikan Dollah Salleh di kedudukan kedua Liga Super.

Dari empat pengendali yang membawa pasukan masing-masing mara ke separuh akhir, hanya Sathianathan dan Dollah Salleh yang merupakan jurulatih tempatan. JDT pula dikendalikan oleh Benjamin Mora (Mexico) dan Aidil Shahrin (Singapura).

Faktor pengalaman

Jika faktor pengalaman yang mahu diambil kira oleh pihak pengurusan Selangor, maka B. Sathianathan masih lagi pengendali yang dianggap paling sesuai dan relevan buat masa ini.

Karier kejurulatihan B. Sathianathan bermula pada 1992, membawa cabaran Negeri Sembilan di pertandingan Piala Emas, dan mulai menarik perhatian kita mulai mengendalikan skuad MBPJ FC pada 2006. Turut pernah mengendalikan skuad muda Bawah-23 negara, Sathianathan juga pernah bergelar Ketua Jurulatih skuad kebangsaan.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi jurulatih berusia 61 tahun ini adalah juara Piala Malaysia pada 2010 bersama Kelantan, dan turut pernah membawa Felda United dan ATM FA muncul juara Liga Premier.

FOTO: Felda United FC

Khyril Muhymeen

Di atas kertas harus diakui skuad Selangor yang ada pada hari ini masih ketinggalan dari segi kualiti pemain-pemain. Tetapi bagaimana Satahianathan menaruh kepercayaan kepada barisan pemain tempatan harus dipuji.

Antaranya adalah Khyril Muhymeen – pemain veteran yang dianggap sudah berada di penghujung usia – yang kembali bangkit menjadi tonggak dan senjata rahsia Selangor pada musim ini.

Selain daripada Khyril, antara pemain tempatan lain yang mencuri tumpuan di bawah kendalian Sathianathan adalah K. Prabakaran dan juga Halim Shaari.

 

KOMPILASI GOL KHYRIL MUHYMEEN ⚽️

Komen di bawah gol terbaik Khyril Muhymeen yang menjadi pilihan anda!

#RedGiants
#KitaAdalahSatu
#SelangorPower

Posted by FA Selangor on Friday, October 4, 2019

Mereka adalah pemain yang jauh dari sempurna. Tetapi di bawah kendalian Satahianathan, pemain-pemain ini membuktikan mereka selayaknya diberikan peluang beraksi di tahap tertinggi saingan bola sepak negara.

Khyril Muhymeen Aidil Zafuan JDT Selangor Piala Malaysia
FOTO: FA Selangor

Kota Rom tidak dibina dalam sehari

Tidak dinafikan Selangor di bawah pengurusan serba baharu di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat sebagai salah sebuah kelab bola sepak yang mula mempunyai perancangan untuk masa depan.

Tetapi kota Rom tidak dibina dalam sehari. Untuk memastikan Selangor mampu kekal relevan dan kompetitif, penukaran jurulatih skuad utama tidak akan memastikan kejayaan segera pada musim hadapan.

TEMUBUAL EKSKLUSIF KETUA JURULATIH FA SELANGOR DI FACEBOOK LIVE

Ikuti pengenalan rasmi dan temubual eksklusif bersama…

Posted by FA Selangor on Thursday, November 22, 2018

Kerana itu mengekalkan Sathianathan pada musim hadapan harus menjadi agenda utama pengurusan Selangor demi memastikan falsafah bola sepak dan stabiliti yang dibina mulai musim ini mampu dikekalkan pada musim-musim akan datang.

Rumusan

Kita semua tahu B. Sathianathan adalah pengendali yang vokal di dalam mahupun di luar padang. Seperti anda semua sedia maklum, kami sendiri tidak pernah lari dari dikritik oleh beliau.

Namun pada kami ini semua adalah kerana kesungguhan yang beliau miliki. Lebih dari itu, kami percaya B. Sathianathan tahu apa yang beliau perlu lakukan dalam membentuk sebuah pasukan yang mampu berdaya saing.

Musim hadapan musim baharu. Kami yakin azam B. Sathianathan bersama Selangor juga akan diperbaharui. Semoga Selangor mampu bersaing sehingga ke Asia!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN