5 Sebab Mengapa Prestasi Borussia Dortmund Merudum Teruk Musim Ini

Salah satu kejutan terbesar dalam dunia bola sepak pada tahun 2014 selain kekalahan 1-7 Brazil kepada Jerman adalah kedudukan liga Borussia Dortmund (BVB) di Bundesliga. Ketika ini, BVB berada di kedudukan ke-17 liga (daripada 18 pasukan) dengan hanya 4 kemenangan dan 3 seri. Kini BVB terpaksa bertarung di zon penyingkiran liga sedangkan di Eropah, mereka sudah pun menempah tempat ke pusingan kalah mati apabila muncul juara kumpulan D, di atas Arsenal, Anderlecht dan Galatasaray.

Adakah BVB sudah hilang identiti ‘gegenpressing‘ mereka? Adakah taktik Jurgen Klopp sudah tidak relevan dalam Bundesliga? Apakah Roger Schmidt boleh mencipta fenomena di Bundesliga sebagaimana yang dilakukan oleh Klopp semasa tahun 2012 dan 2013? Adakah pemain BVB memerlukan inspirasi daripada individu lain di bilik persalinan setelah mendengar cakap Klopp selama hampir 7 tahun?

Soalan yang lebih penting adalah, bagaimana pasukan yang bergelar juara liga pada 2012 dan naib juara liga dan Champions League pada 2013 boleh merosot teruk dalam masa kurang setahun?

Kami tak berpuas hati dengan cakap-cakap; jadi kami buat kajian kami sendiri sambil dibantu oleh data-data statistik dari Whoscored.com, ProZone dan Opta. Kami mahu tahu: Apa silapnya BVB pada musim ini?


BVB mencipta banyak peluang di depan gol tetapi gagal menjaring gol

Kami timbulkan hipotesis ini selepas menyaksikan beberapa perlawanan Bundesliga yang melibatkan BVB, paling terbaru kekalahan BVB kepada Werder Bremen 1-2. Dalam perlawanan ini, BVB mendominasi perlawanan selama 70 minit terakhir tetapi terpaksa mengharapkan Mats Hummel untuk menjaringkan 1 gol mereka. Ciro Immobile dihidangkan dengan banyak peluang di kotak penalti Bremen tetapi gagal memanfaatkan walau satu peluang.

Jadi kami beralih kepada data ringkas dari Whoscored untuk menyokong hipotesis kami.

bvb1

Seperti yang anda lihat dalam semua pasukan di Bundesliga, BVB adalah pasukan ketiga terbanyak mencipta peluang percubaan gol (total shots per game) dengan purata 17 percubaan gol dalam setiap perlawanan.

Bagaimana pula dengan percubaan tepat ke arah gol dalam setiap perlawanan(total shots on target per game)?

bvb2

Dari segi percubaan tepat ke arah gol dalam setiap perlawanan, BVB di tangga ke-5 liga dengan purata 5.3 percubaan tepat dalam setiap perlawanan.

Bundesliga kini sudah menginjak sehingga 17 perlawanan. Jadi sepanjang 17 perlawanan BVB sudah mencatatkan (17 perlawanan X 5.3 percubaan tepat ke arah gol) = 90.1 percubaan tepat ke arah gol. Masalahnya daripada 90 percubaan tepat ini, Dortmund hanya berjaya menjaringkan 18 GOL SAHAJA! Ini bermakna Dortmund hanya berjaya menyempurnakan 20% percubaan tepat mereka.

Secara analogi, BVB perlu mencipta 5 percubaan tepat untuk menjaringkan hanya 1 gol!

Sebagai perbandingan, kami perhatikan pula statistik pasukan Bayer Leverkusen yang kelihatan hampir sama dengan BVB. Secara purata, Leverkusen mencatatkan 17.9 percubaan gol dengan 5.5 percubaan tersebut tepat ke arah gol. Tetapi barisan penyerang Leverkusen menjaringkan 28 gol. Ini bermakna Leverkusen berjaya menyempurnakan 30% percubaan tepat mereka.

Secara analogi, Leverkusen hanya perlu mencipta 3 percubaan tepat untuk menjaringkan 1 gol.


Mengapa sikit sangat gol yang dijaringkan BVB walaupun banyak peluang terhidang?

Untuk menjawab soalan ini, kami beralih kepada data dari Opta.

Jadual di bawah merupakan senarai pemain BVB yang sudah membuat 12 percubaan (tepat dan tersasar) ke atas dari awal musim Bundesliga sehinggalah perlawanan terakhir bulan Disember menentang Werder Bremen tempoh hari.

Sumber: Colin Trainor
Sumber: Colin Trainor

Untuk memudahkan pembacaan anda, kami sarankan anda untuk mengabaikan kolum pertama dan kedua di jadual tersebut. Sebaliknya tumpukan kepada kolum ‘Shot Improvement’.

Nilai shot improvement yang positif adalah petunjuk pemain tersebut membuat percubaan yang tepat.
Nilai negatif adalah petunjuk pemain tersebut cenderung membuat percubaan yang tersasar.

Hanya dua pemain iaitu Aubameyang dan Reus yang banyak membuat percubaan yang bagus. Lapan pemain yang lain agak mengecewakan. Reus pula banyak kali diketepikan kerana kecederaan bermakna BVB hanya mempunyai Aubameyang yang boleh diharapkan untuk membuat percubaan tepat ke arah gol.

Mkhitaryan dan Adrian Ramos paling mengecewakan setakat ini dari segi percubaan gol mereka. Mkhitaryan membuat 34 percubaan gol tetapi hanya 7 sahaja yang menemui sasaran dan tiada gol yang dihasilkan. Adrian Ramos pula mencatat 18 percubaan gol tetapi baru menjaringkan 2 gol. Ini pastinya mengecewakan Klopp kerana Ramos dibeli untuk mengisi kekosongan Lewandowski sementara Immobile menyesuaikan diri di Jerman.


Dortmund belum menjumpai pengganti Lewandowski

Bagaimana kami menyokong hipotesis ini tanpa kedengaran seperti budak 13 tahun yang baru nak belajar tengok bola?

Kami merujuk data dari Opta untuk menyokong kata-kata kami.

Kredit: Colin Trainor
Kredit: Colin Trainor

Jadual di atas merupakan statistik pemain BVB yang sudah membuat 12 percubaan (tepat dan tersasar) untuk musim ini 2014/2015 dan musim lepas 2013/2014.

Berdasarkan jadual di atas, kita akan tahu Lewandowski mempunyai nilai ‘average Expected Goals per shot’ sebanyak 0.162. Ini bermaksud kebarangkalian Lewandowski untuk menjaringkan gol setiap kali beliau membuat percubaan adalah sebanyak 16.2% . Nilai ‘average Expected Goals per 90 minutes’ Lewandowski pula sebanyak 0.565. Ini bermaksud kebarangkalian Lewandoski untuk menjaringkan gol setiap kali beliau bermain 90 minit adalah 56.5%.

Pada musim ini, pemain yang mempunyai nilai ‘average Expected Goals per shot’ paling hampir dengan Lewandowski adalah Adrian Ramos iaitu sebanyak 0.161. Tetapi nilai ‘average Expected Goals per 90 minutes’ Ramos hanya sebanyak 0.383. Hal ini ada kaitan dengan jumlah minit permainan yang Ramos perolehi di BVB. Klopp melihat Ramos sebagai pilihan kedua kepada Immobile sedangkan nilai ‘average Expected Goals per shot’ Immobile hanyalah 0.111. Jauh lebih rendah berbanding Ramos dan Lewandowski.


Dortmund mengabaikan ‘gegenpressing‘ mereka pada musim ini

Ini adalah kenyataan yang berisiko untuk dikatakan jika anda tiada data kerana gegenpressing adalah identiti BVB. Ia adalah DNA pasukan Jurgen Klopp. Mujur kami ada Opta.

18 bulan yang lepas, semasa sidang media selepas kekalahan BVB kepada Bayern Munich dalam final Champions League 2013, Klopp berjanji sesuatu kepada peminat bola sepak:

I can promise that everything will work out in the end. We are building a new team, a new pressing machine

Daripada apa yang kami perhatikan pada musim ini, Klopp gagal mengotakan janjinya 18 bulan yang lalu.

Sumber: Colin Trainor
Sumber: Colin Trainor

 

PPDA bermaksud passing per defensive action. Secara kasarnya, ia bermaksud jumlah hantaran dari pihak lawan yang berjaya menembusi gegenpressing BVB. Semakin rendah nilai PPDA, semakin bagus gegenpressing mereka. Semakin tinggi nilai PPDA, semakin teruklah gegenpressing mereka.

Daripada data di atas, secara purata BVB membenarkan tambahan satu hantaran melepasi pertahanan mereka pada musim ini. Peningkatan 9.59 hantaran daripada 8.72 hantaran pada musim lepas (2013/2014) ini mungkin tak banyak jika dilihat sekali lalu tetapi ini adalah petunjuk bahawa gegenpressing mereka semakin lemah pada musim ini. Kebarangkalian mereka mendahului lawan pula menurun mendadak dari 50.97% kepada 24.92%.

Kegagalan pemain BVB untuk melakukan pressing pada musim ini membawa kita kepada soalan seterusnya iaitu…..


…..Siapa yang tak melakukan pressing pada musim ini?

Siapa yang gagal bermain mengikut DNA BVB pada musim ini? Untuk tujuan ini, kita perlu bandingkan data musim lepas (2013/2014) dengan data pada musim ini (2014/2015).

Sumber: Colin Trainor
Sumber: Colin Trainor
Sumber: Colin Trainor
Sumber: Colin Trainor

Pada musim 2013/2014, Lewandowski mengetuai sistem gegenpressing BVB dengan purata 3.2 kerja defensif (tackle, challenge, interception atau foul) bagi setiap 90 minit beliau bermain. Henrikh Mkhitaryan pula melakukan purata 4.27 kerja defensif setiap 90 minit. Nuri Sahin dan Sven Bender pula dengan purata 3.90 dan 3.64 kerja defensif masing-masing.

Tetapi pada musim ini, Immobile hanya melakukan 1.66 kerja defensif setiap 90 minit. Adrian Ramos lebih rajin berbanding Immobile tetapi jarang diturunkan oleh Klopp dari mula. Paling mengejutkan adalah jumlah kerja defensif pemain midfield BVB yang turun mendadak pada musim ini. Mkhitaryan hanya melakukan 2.4 kerja defensif setiap 90 minit. Sven Bender pula turun kepada hanya 2.65 kerja defensif setiap 90 minit.

Adakah ini salah pemain Dortmund? Ataupun memang Klopp sengaja mengurangkan intensiti gegenpressing Dortmund untuk mengelakkan lebih banyak kecederaan pemain? Apapun BVB perlu meningkatkan intensiti gegnpressing mereka bermula Januari ini untuk keluar dari zon penyingkiran Bundesliga.


Kesimpulan

Kami berpendapat BVB boleh keluar dari zon penyingkiran Bundesliga pada separuh masa kedua liga nanti jika mereka bermain mengikut DNA sebenar BVB. Bermain dengan tempo tinggi, melakukan gegenpressing dan berikan lebih banyak masa bermain kepada Adrian Ramos. Dortmund agak sukar untuk mendaki sehingga ke tempat 6 ke atas, tetapi kedudukan pertengahan liga (7-15) nampak realistik buat BVB. Pembelian pemain tengah Kevin Kampl nampak menarik dan alternatif bagus untuk Kagawa dan Mkhitaryan.

Pemain BVB paling konsisten setakat ini: Aubameyang, Pisczek, Reus, Gündogan and Sokratis

Pemain BVB paling teruk setakat ini: Ginter, Subotic, Weidenfeller, Großkreutz and Kagawa

P/s: 10888517_889003067786208_8250150629294027130_n

***Disclaimer : Kami hanya menyampaikan info mengenai sumbangan banjir ini.Mohon layari www.sod.my untuk maklumat lanjut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN