5 Sebab Mengapa Laurent Blanc Calon Terbaik Untuk Pengurus Tetap Manchester United

Laurent Blanc

Kisah perjuangan Jose Mourinho di Old Trafford sudah berakhir. Manchester United secara rasminya telah memecat beliau semalam.

Manchester United juga baru sahaja mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara kelab hingga akhir musim ini.

Pengurus dengan nama-nama besar seperti – Zinedine Zidane, Mauricio Pochettino, Antonio Conte menjadi calon pengganti Mourinho.

Seorang lagi pengurus yang ‘hangat’ disebutkan untuk memegang kerusi panas tersebut ialah pengendali kelahiran Perancis, Laurent Blanc.

Berikut merupakan 5 sebab Laurent Blanc layak dipilih sebagai pengganti Mourinho untuk Manchester United.

1. Kerjaya pengurus yang cemerlang

Laurent Blanc memulakan kerjayanya sebagai pengurus pada tahun 2007 dengan menandatangani kontrak menyertai Bordeaux selama tiga musim.

Blanc memulakan musim pertamanya (2007/08) dengan bergaya selepas berjaya membawa pasukan menduduki tempat kedua saingan Ligue 1, sebelum berjaya mengakhiri dominasi tujuh tahun Olympique Lyonnais dengan menjuarai kejohanan tersebut pada musim berikutnya.

Blanc kemudiannya ditawarkan menjadi pengurus pasukan kebangsaan Perancis menggantikan Raymond Domenech yang dipecat selepas berakhirnya Piala Dunia 2010.

Blanc hanya mengambil tempoh dua tahun untuk memperbaiki Les Blues selepas berjaya membawa pasukan melangkah ke pusingan suku akhir Piala Euro 2012, sebelum pasukan itu tewas kepada Sepanyol yang merupakan juara edisi tersebut.

Beliau kemudiannya kembali untuk menjadi pengurus kelab selepas menerima tawaran Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun 2013. Bersama PSG, Blanc telah menghadiahkan 11 trofi kejuaraan – 3 gelaran Ligue 1, 2 trofi Coupe de France, 3 trofi Coupe de la Ligue dan 3 trofi Trophee des Champions.

2. Bekas pemain Manchester United

Laurent Blanc pernah bermain untuk Manchester United selama dua musim, bermula dari 2001 hingga 2003. Beliau direkrut oleh Sir Alex Ferguson untuk menggantikan Jaap Stam. 

Sepanjang dua musim Blanc di bawah Sir Alex Ferguson, sudah tentu beliau dapat mempelajari banyak perkara dalam sistem bola sepak khususnya mengenali falsafah dan juga tradisi kelab.

Blanc pasti tahu bagaimana cara untuk memotivasi pemain dan memberi keyakinan kepada pasukannya untuk tampil beraksi dengan baik dan tetap konsisten sepanjang musim.

3. Mempromosikan pemain muda

Mourinho sering dituduh sebagai pengurus yang boleh menghancurkan kerjaya seseorang pemain muda yang berbakat.

Di United, ramai bintang muda yang mempunyai bakat luar biasa contohnya seperti, Mason Greenwood, Angel Gomes dan Tahith Chong.

Namun, disebabkan Mourinho mengamalkan sikap ‘tak acuh’ kepada mereka membuatkan United agak ketinggalan dari pesaing lain yang gemar mempromosikan pemain muda ke skuad senior.

Tetapi, mungkin tidak bagi Laurent Blanc. Sepanjang tempoh menjadi pengurus kelab, Blanc telah berjaya mempromosikan beberapa nama dari kelab akademi.

Presnel Kimpembe, Kingsley Coman dan Adrien Rabiot adalah contoh pemain yang telah diangkat oleh Blanc.

4. Laurent Blanc senang didekati

Sebut nama Mourinho, mungkin ramai dalam kalangan pemain agak takut untuk menyertai kelab yang dikendalikan pengurus dari Portugal itu.

Mana tidaknya, sikap ‘besar kepala’ yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri dan sering melemparkan kritikan keatas para pemainnya yang tidak digemari, menyebabkan beliau mula tidak dihormati.

Musim ini sahaja, Mourinho telah mencetuskan hubungan tidak baik dengan Paul Pogba, Anthony Martial, Eric Bailly, Romelu Lukaku dan Victor Lindelof.

Situasi tersebut boleh mencetuskan suasana dingin antara mereka sehingga mampu menjejaskan prestasi para pemain dan pasukan.

Sebaliknya Blanc, pengurus Perancis itu mempunyai sikap yang mudah didekati dan lebih memaham kehendak pemain berbanding Mourinho.

Bersama PSG, Blanc telah berjaya menarik minat ramai bintang dunia untuk menyertai bersamanya seperti Zlatan Ibrahimovic, Angel Di Maria, Edinson Cavani, Thiago Silva, Marco Verratti dan ramai lagi.

Paul Pogba dan Anthony Martial juga mempunyai hubungan yang baik denga Blanc sebagai warganegara Perancis.

5. Gemar bermain secara menyerang

Penyokong United pastinya sudah muak dengan taktikal ‘park the bus’ Mourinho itu.

Namun, jika Blanc menyertai United, mungkin beliau mampu mengubah landskap taktikal Red Devils kerana beliau sering menerapkan gaya permainan yang menyerang.

Ini terbukti ketika PSG di bawah Laurent Blanc. Pasukan berjaya memainkan taktikal serangan paling terbaik di Liga Perancis dan mereka mempunyai rekod yang mengagumkan.

PSG menjaringkan 84 gol dalam Ligue 1 pada 2013-14, 83 gol untum musim 2014-15 dan 102 gol pada musim 2015-16.

Anthony Martial, Alexis Sanchez, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford antara sebahagian penyerang paling berbahaya di dunia.

Mereka semua mungkin mengalami fasa buruk pada ketika ini, tetapi di bawah pengurus yang sesuai dan gaya permainan yang tepat, mereka pasti akan berada dalam prestasi terbaik dan Blanc sebagai calon terbaik untuk membawa mereka kembali kepuncak prestasi.

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN