5 Sebab Manchester United Akan Gagal Ke Champions League

Jika Jose Mourinho membuka laman sesawang Semuanya BOLA dan melihat tajuk artikel ini, bolehkah anda membayangkan reaksi beliau?

Bagaimana pula reaksi pengikut setia pasukan Red Devils?

Perlawanan seterusnya buat Manchester United ialah ke kota Vigo, Sepanyol. Jose Mourinho pasti ingin pulang dari Vigo dengan bekalan selesa untuk jaminan tempat ke final UEFA Europa League (UEL)

Di saingan domestik Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United punyai 4 baki perlawanan. Kedua-dua pertandingan menjanjikan laluan ke kejohanan bola sepak paling berprestij di Eropah, UEFA Champions League untuk saingan musim hadapan.

Anda yakin akan keupayaan Manchester United? Kami senaraikan 5 sebab mengapa Manchester United akan gagal ke saingan Champions League pada musim hadapan.

1. Zlatan Ibrahimovic Yang Cedera ACL

Photo by Laurence Griffiths/Getty Images

Jika Manchester United gagal untuk melayakkan diri ke UEFA Champions League pada musim hadapan, sudah pasti ketiadaan Zlatan Ibrahimovic akan dijadikan alasan utama pasukan The Red Devils.

Ibrahimovic tercedera pada perlawanan suku akhir UEFA Europa League menentang Anderlecht di Old Trafford, 20 April yang lalu.

United memiliki alasan yang konkrit untuk mengandalkan alasan ini. Sepanjang kempen EPL, Zlatan telah diturunkan di dalam 28 perlawanan membabitkan aksi selama 2437 minit.

Hanya David De Gea, Paul Pogba dan Antonio Valencia mempunyai minit yang lebih banyak berbanding pemain berusia 35 tahun ini.

Zlatan Ibrahimovic sangat sentimental apabila menjaringkan 17 gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris untuk United musim ini.

Jumlah jaringan Ibrahimovic hampir 3 kali ganda kiraan dibandingkan dengan penjaring kedua terbanyak skuad United, Juan Mata (turut tercedera) dengan jumlah 6 gol.

Selain daripada menjadi penjaring utama, ketiadaan Ibrahimovic pasti dirasai kerana keupayaannya dalam menyumbangkan bantuan gol. 5 bantuan gol yang disumbangkan oleh Ibrahimovic adalah kedua tertinggi selepas Ander Herrera yang menyumbang sebanyak 6 kali dalam saingan EPL.

Marcus Rashford yang menjadi sandaran United setelah kecederaan Ibrahimovic, hanya menjaringkan 5 gol dalam saingan liga setakat ini.

Perlawanan menentang Swansea yang berkesudahan seri 1-1 pada hujung minggu yang lalu, sudah memadai untuk merumuskan ketiadaan Ibrahimovic membuatkan jentera serangan Manchester United ketandusan gol.

2. De Gea abre la puerta 

[signinlocker id=”42052″]

Photo by Shaun Botterill/Getty Images

De Gea abre la puerta (De Gea buka pintu rundingan). Demikianlah tajuk utama di bahagian sukan akhbar Marca yang berpusat di Sepanyol pada Jumaat lepas.

Umum mengetahui betapa Real Madrid tidak akan berhenti mengejar David De Gea untuk menyertai senarai Galaticos mereka pada musim hadapan. Ini bukanlah kali pertama Real Madrid bertindak demikian.

David De Gea hampir diumumkan sebagai pemain Real Madrid pada musim panas 2015. Cubaan Real Madrid hanya digagalkan oleh mesin fax yang rosak untuk menghantar dokumen perpindahan penjaga gol berusia 26 tahun ini.

Manchester United dan Real Madrid saling menuding jari atas kegagalan perpindahan yang menjadi jenaka dalam dunia bola sepak ini. De Gea akhirnya menandatangani kontrak baru bersama United dan muncul pemain terbaik tahunan Manchester United untuk tiga tahun berturut-turut.

Tetapi tahukah anda kenapa cubaan kedua Real Madrid untuk membawa De Gea pergi dari Old Trafford akan mengagalkan skuad Jose Mourinho ke pentas Champions League?

Dua tahun lalu, De Gea sering melepaskan gol mudah. Antaranya cubaan lemah Christian Benteke, Sergio Aguero, Eden Hazard dan Kevin Mirallas, perlawanan demi perlawanan. Kemudian muncullah perkhabaran bahawa De Gea turut sedang mencari pembeli untuk rumahnya di Manchester.

Semua mengakui David De Gea adalah penjaga gol berkelas dunia. Bagaimanapun, kesemua gol mudah tersebut mulai berlaku setelah Real Madrid mula menunjukkan minat mereka.

Kebetulan atau tidak, David De Gea hanya terpaku melihat gol penyamaan Swansea hasil sepakan percuma Gylfi Sigurdsson. Mana-mana penjaga gol sekurang-kurangnya sudah menjangka arah sepakan percuma sedemikian!

Adakah kita akan menyaksikan lebih banyak kesilapan mudah dari David De Gea dalam baki aksi UEL dan EPL?

3. Jose Mourinho Bukan Sir Alex Ferguson

Benar. Ini adalah musim pertama Jose Mourinho mengendalikan Manchester United. Walaupun setelah 26 musim akan datang (tempoh Sir Alex di Old Trafford), Jose Mourinho bukanlah pengurus yang berkebolehan seperti pengendali dari Scotland itu.

Ada dua isu utama di sini. Pertama ialah bagaimana Jose menguruskan prestasi pemainnya dibandingkan dengan Sir Alex.

Hanya semusim di kerusi pengurus Old Trafford, kita boleh melihat bagaimana Jose begitu lantang mengkritik persembahan pemainnya secara individu kepada media.

Anthony Martial, Chris Smalling dan Luke Shaw adalah antara pemain yang lantang dikritik oleh Jose melalui media – sesuatu yang sukar dilakukan oleh Sir Alex!

Photo by Clive Mason/Getty Images

“Hair Dryer Treatment”. Sinonim dengan frasa ini ketika zaman Sir Alex? Beliau lebih senang mengkritik pemainnya secara individu hanya di bilik persalinan.

Bagaimanapun, ia hanya diketahui oleh media melalui pihak ketiga dan bukan dari sidang akbar Sir Alex. Sir Alex hanya cenderung untuk mengkritik kelemahan pasukan secara menyeluruh berbanding secara individu ketika sidang media.

Nyata Jose Mourinho bukanlah pengurus yang mementingkan elemen keharmonian sepasukan berbanding Sir Alex. Tindakan Mourinho turut boleh menjatuhkan moral individu dan pasukan secara menyeluruh seperti yang terjadi sebanyak dua kali di Stamford Bridge.

Perkara kedua ialah Jose Mourinho tidaklah memiliki kebolehan taktikal yang pakar! Selain perlawanan menentang Chelsea di Old Trafford tempoh hari, kita tidak dapat melihat perbezaan taktikal dalam 33 perlawanan yang lain pada musim ini.

Harus diingat! Chelsea turut mengalami masalah ketiadaan pemain akibat kecederaan pada perlawanan tersebut.

Apa yang dihidangkan oleh Jose dalam taktikal pasukan, tidak banyak bezanya ketika era Van Gaal.

Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images

Ketika baru mengambil alih skuad United, Jose sering menggunakan formasi 4-2-3-1. Formasi ini membenarkan pemain sayap untuk bergerak menewaskan pertahanan lawan di zon 16 & 18 lawan.

Walaupun taktikal ini memberi faedah kepada Ibrahimovic untuk menjaringkan gol, ia tidak memberi variasi dalam corak serangan United. Beberapa perlawanan, Jose turut menggunakan formasi 3-5-1-1, – falsafah bola sepak yang hampir sama diamalkan oleh Louis Van Gaal!

Anda semua tahu bagaimana bijaknya taktikal Sir Alex untuk melumpuhkan pasukan sehebat Barcelona atau Real Madrid di pentas eropah satu masa dahulu.

4. Baki Perlawanan Yang Sukar (EPL vs UEL)

Manchester United mencatat keputusan seri sebanyak 14 kali dalam saingan liga pada musim ini.

Ini menjadikan Manchester United sebagai pasukan paling banyak mencatat rekod seri dalam 5 saingan liga paling kompetitif di Eropah.

United sepatutnya selesa berada di atas Liverpool dan Totenham jika mencatat keputusan menang, sekurang-kurangnya separuh daripada keputusan seri sepanjang musim ini.

Malah United masih bersaing dengan Chelsea untuk kejuaraan liga jika tidak terlampau mudah hilang mata!

Hakikatnya, tetapi Manchester United mencatat 10 daripada keputusan seri itu di Old Trafford!

Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images

Manchester United akan ke Celta Vigo pada pertengahan minggu ini untuk separuh akhir UEL, sebelum menanti kunjungan timbal balik pasukan Sepanyol itu pada 12 Mei. Ajax atau Lyon akan menanti kunjungan skuad United di Friends Arena, Stocklhom jika berjaya melayakkan diri ke final.

Selepas ini skuad Jose Mourinho akan berkunjung ke London untuk pertemuan menentang Arsenal dan Totenham Hotspurs. Southampton menanti di minggu ke-37 sebelum Crystal Palace menjadi tetamu Red Devil di Old Trafford pada minggu ke-38 untuk mengakhiri saingan liga.

Manchester United mungkin telah melepasi rekod tanpa kalah skuad terdahulu pada musim 2010/2011. Tetapi sukar untuk melihat skuad Jose Mourinho tidak mengugurkan mata dalam baki saingan yang tertinggal.

Mudah atau sukar?

5. Herrera Dan Pogba

Photo by Michael Regan/Getty Images

Manchester United tidak memiliki gandingan yang tetap di bahagian tengah pada musim ini. Marouane Fellaini, Michael Carrick, Ander Herera dan Paul Pogba saling silih berganti mengemudi jentera tengah skuad The Red Devils. Wayne Rooney juga kadang kala membuat kemunculan di posisi tengah United.

Bagaimanapun, tida ada siapa dapat menafikan sumbangan bekas pemain tengah Atletic Bilbao. Tidak janggal menyatakan bahawa jentera tengah Manchester United pada musim ini terlampau bergantung kepada Ander Herrera.

Statistik menunjukkan Herrera adalah pemain yang paling banyak membuat bentesan dan pintasan hantaran dalam skuad United pada musim ini. Ironinya, Herrera juga adalah pemain yang paling banyak melakukan bantuan gol untuk United dalam semua pertandingan.

Ini bukanlah sesuatu yang sihat buat skuad yang dibarisi ramai pemain bintang. Paul Pogba tiba dengan reputasi hebat dari Juventus pada musim panas yang lalu.

Walaupun telah menunjukkan peningkatan dan keyakinan sebelum kecederaan ketika menentang Burnley, Paul Pogba harus meningkatkan prestasi yang tidak konsisten beliau pada musim ini.

Kita semua tahu Manchester United bukan berbelanja besar untuk satu lagi musim di UEFA Europa League.

Rumusan 

Ini adalah pendapat kami semata-mata. Apa pendapat anda? Anda punyai lebih sebab kenapa Manchester United akan gagal ke pertandingan Champions League pada musim akan datang?

Atau anda yakin Manchester United tetap berkemampuan ke pertandingan Eropah pada musim hadapan?

Sila nyatakan pandangan anda di ruangan komen.

[/signinlocker]

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN