Lembaga pengarah Arsenal sudah pun mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak mungkin akan mencari pengganti Arsene Wenger, tetapi mereka mencari pengurus baru yang mampu membawa Arsenal.
Maksud ayat di atas, mereka bukan mencari Arsene Wenger baru tetapi mencari pengurus baru.
Beberapa nama dikaitkan dengan jawatan di Arsenal termasuk Carlo Ancelotti, Mikel Arteta, Brendan Rodgers, Max Allegri dan banyak lagi nama. Namun bagi kami Luis Enrique seharusnya menjadi keutamaan Arsenal buat masa ini.
1. DNA bola sepak
Nak tak nak, harus diakui, Arsene Wenger telah menjadi ‘bola sepak’ Arsenal. Beliau membentuk pasukan dengan Wengerball yang berasaskan ‘total football’.
Enrique adalah pemegang falsafah bola sepak menyerang dengan asas total football dari La Masia. Beliau sudah pasti boleh menyerapkan bola sepak beliau di Arsenal dengan pemain-pemain yang ada dan tidak perlu melakukan rombakan besar.
Sudah berdekad lamanya, Arsenal dan Barcelona membuktikan pemain-pemain dari kelab tersebut tiada masalah untuk beraksi dalam 2 pasukan ini. Nama seperti Cesc Fabregas, Thierry Henry, Marc Overmars, Alexis Sanchez, Emmanuel Petit, Sylvinho, Giovanni van Bronckhorst, Alexander Hleb, Alex Song, Thomas Vermaelen, antara nama-nama yang kita ingat.
Hanya beberapa nama sahaja kurang menjadi, tetapi, mereka tetap berani untuk melakukan perpindahan di antara 2 kelab bila ada peluang kerana DNA bola sepak.
Dengan Thomas Tuchel dilaporkan sudah bersetuju ke PSG, Enrique antara pengurus yang berkemampuan untuk mengendalikan bola sepak moden dengan idea beliau.
2. Reputasi
Luis Enrique memenangi 9 trofi dalam 3 musim di Barcelona. Ini bermakna beliau hanya terlepas 4 sahaja daripada yang tersedia untuk dimenangi pada tempoh tersebut.
Paling menarik beliau juga memenangi 1 UCL dalam tempoh tersebut dan ianya memang idaman seluruh penyokong Arsenal. Satu serpihan ‘puzzle’ yang mereka hilang di dalam sejarah kejayaan kelab mereka.
Siapa akan lupa sejarah luar biasa ketika Barcelona bangkit ke atas PSG di Nou Camp. Enrique memotivasikan pemain beliau dengan sangat baik ketika Barcelona dalam tekanan.
Jadi, Enrique sudah ada pengalaman untuk mengendalikan kelab yang besar dengan nama-nama besar di dalam pasukan seperti Barcelona. Beliau juga disenarai dalam kelompok antara pengurus/jurulatih elit di Eropah.
3. Taktikal
Jika BOD Arsenal menyatakan mereka mustahil untuk mencari Arsene Wenger dan mahukan pengurus yang baru dengan idea mereka sendiri. Enrique menepati ciri itu.
DNA adalah DNA. Taktikal adalah lebih kompleks. Ketika di Barcelona, beliau tidak terikat dengan sistem tiki taka ataupun 4-3-3 Barcelona yang berasaskan false no.9.
Beliau menggunakan pendekatan beliau sendiri dan Lionel Messi juga banyak digunakan sebagai no.10 sebenar pada era beliau. Luis Suarez dijadikan No.9 tulen.
Enrique juga boleh menggunakan Messi sebagai false no.9 dan Suarez ditolak kepada ‘wide target man’ dalam sistem beliau. Formasi 4-4-1-1, 4-4-2 (termasuk diamond), serta sistem bek bertiga, dan 4-2-3-1. Kesemuanya pernah beliau gunakan di Barcelona dengan gaya bola sepak beliau yang lebih direct ketika dengan bola.
Agak menarik, di Arsenal, Wenger sendiri pernah dan kerap menggunakan sistem bek bertiga.
4. Ejen bebas
Secara realistiknya, Arsenal boleh berbincang dengan Enrique secara lebih langsung berbanding dengan beberapa calon lain yang ada jawatan di kelab mereka. Ancelotti juga ejen bebas, tetapi harus diingat ketika di Bayern Munich, Ancelotti bergelut untuk membina bola sepak dengan asas yang ditinggalkan Guardiola.
Beliau sendiri mengakui banyak belajar falsafah Guardiola di Bayern kerana sukar untuk beliau membentuk pasukan dengan pemain yang sudah ditanam dengan DNA Juego Di Posicion yang sangat kuat.
5. Kerjasama dengan BOD
Ini mungkin aspek yang paling digemari Lembaga Pengarah (BOD) Arsenal. Enrique tiada masalah berkongsi kuasa dengan BOD dalam isu pengurusan terutama sekali melibatkan pengurusan budget.
Di Barcelona beliau terbuka untuk berkongsi kuasa dalam urusan perpindahan pemain. Cuma bezanya, Barcelona bukan kelab penjual berbanding dengan Arsenal yang kerap menjual pemain utama mereka.
Rumusan
Arsenal pastinya perlu memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah simpton Old Trafford selepas kehilangan pengurus terbaik mereka, Sir Alex Ferguson.
Transisi yang pasti akan memakan masa, cuma tak pasti ianya mengambil masa yang singkat ataupun masa yang panjang.
Ini adalah penilaian kami tentang Luis Enrique. Anda bagaimana? Adakah anda merasakan ada calon lain lebih layak diletakkan sebagai pertimbangan paling utama di Emirates.