5 Sebab Jose Mourinho Adalah Sir Alex Ferguson Versi Baru Manchester United

Jose Mourinho hanya berada di Old Trafford untuk musim keduanya. 27 tahun berpengkalan di Old Trafford, Sir Alex Ferguson merupakan pengurus paling berjaya dalam sejarah sepanjang zaman buat Manchester United.

13 gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), 5 Piala FA, 4 Piala Liga dan 2 trofi UEFA Champions League (UCL) akan kekal sebagai pencapaian terhebat yang pernah dimenangi oleh seorang pengurus bersama sesebuah kelab.

David Moyes dan Louis Van Gaal dianggap gagal untuk meneruskan legasi kegemilangan Sir Alex. Namun ketibaan Jose Mourinho pada musim panas 2016, telah mengembalikan sinar harapan yang seperti sudah terpadam.

Ketibaan Jose Mourinho di Old Trafford

Musim 2016-17 merupakan musim penuh pertama Jose Mourinho di Old Trafford. Kegagalan di Chelsea pada musim sebelumnya membuatkan sebahagian daripada penyokong United agak skeptikal dengan keupayaan pengendali daripada Portugal ini.

Mourinho tiba di Old Trafford untuk menutup mulut pengkritiknya.

Tugasan sebagai pengurus bola sepak bersama kelab paling berjaya di England bukan perkara yang mudah. Sir Alex sendiri harus melakukan beberapa keputusan yang dianggap tidak popular demi memastikan kelangsungan kejayaan ketika eranya.

Perkara yang sama terjadi ketika Jose Mourinho mengambil alih. Pertama, beliau harus mengendalikan situasi bintang Jerman yang merupakan antara idola di Old Trafford, Bastian Schweinsteiger. Kedua, ialah posisi dan situasi kapten pasukan, Wayne Rooney yang semakin pudar.

Mourinho melakukannya dengan baik sekali. Kedua-duanya terutama Wayne Rooney meninggalkan Old Trafford sebagai legenda lampau.

Adakah Jose Mourinho merupakan acuan kepada Sir Alex Ferguson di Old Trafford?

Berikut adalah 5 keputusan perkara penting yang dilakukan oleh Jose Mourinho untuk mengembalikan stabiliti pasukan pada musim ini.

1. Lukaku dan bukan Morata 

Selepas kecederaan ACL yang menimpa Zlatan Ibrahimovic pada musim lepas, jelas Mourinho memerlukan seorang penyerang prolifik untuk mengetuai barisan serangan Manchester United pada musim ini.

Sebahagian daripada penyokong United mahukan Alvaro Morata. Malah keterujaan untuk melihat bekas penyerang Juventus dan Real Madrid itu beraksi di Old Trafford semakin memuncak pada musim panas yang lalu.

Mourinho berpeluang untuk membawa Morata ke Old Trafford sekiranya sanggup membayar harga yang dipinta oleh hierarki di Real Madrid. Namun sebaliknya yang berlaku.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

Mourinho mengalihkan perhatian Ed Woodward untuk membawa masuk Romelu Lukaku. Penyerang antarabangsa Belgium ini adalah berstatus pemain buangan Mourinho ketika kedua-duanya bersama Chelsea.

Namun pada harga £75 juta, taruhan Mourinho kelihatan membuahkan hasil. 11 gol daripada 10 perlawanan pertama buat Manchester United membuktikan Lukaku adalah penyerang yang lebih sesuai dengan corak permainan United yang lebih fizikal.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran dan ketajaman Romelu Lukaku setakat ini adalah salah satu faktor yang menyumbang ke arah prestasi terbaik Machester United di EPL dan juga UCL.

2. Kepercayaan terhadap Marouane Fellaini

David Moyes tahu kelebihan yang ada pada pemain tengah Belgium ini ketika membimbing Everton. Louis Van Gaal turut menggariskan kepentingan Fellaini dalam falsafah bola sepak yang digariskannya.

Tetapi mana-mana pengurus yang mengandalkan kepercayaan mereka terhadap pemain tinggi lampai berambut afro ini mengundang risiko untuk diejek dan dipersenda. Fellaini bukan pemain yang popular di kalangan penyokong setia Manchester United.

Moyes dan Van Gaal turut menjadi mangsa ejekan bersama-sama dengan Fellaini, sehinggalah pada musim lepas apabila tanggapan negatif di kalangan penyokong United mulai berubah.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Adalah perkara yang mudah untuk Mourinho untuk tunduk kepada kemahuan penyokong United dengan menyingkirkan Fellaini. Namun bekas pengurus Real Madrid dan Inter Milan itu tetap dengan pendirian yang kurang popular dengan memberi kepercayaan kepada Fellaini.

Kebijaksanaan Mourinho menggunakan kelebihan yang ada pada Fellaini, menjadikan pemain berusia 29 tahun itu dijulang sebagai wira pada hari ini.

‘No Pogba, No Problem?’ Ia kelihatan sebegitu buat masa ini. Mungkinkah satu-satunya kekurangan Fellaini ialah tiadanya gaya rambut ‘stylo’ seperti Pobga? Pendapat anda?

3. Kebangkitan Phil Jones & Ashley Young

Ashley Young kelihatan akan menuju ke China pada akhir musim lalu. Usia yang sudah menjangkau 32 tahun hanya notifikasi bahawa Young bukan masa hadapan Manchester United.

Kecederaan Luke Shaw dan ketiadaan pemain berwibawa yang boleh mengambil posisi bek kiri secara tetap dalam kesebelasan utama United pada musim ini mengubah persepsi tersebut.

5 penampilan setakat ini, Young telah menghasilkan 2 bantuan gol beserta purata 82.3% hantaran tepat, dan 0.4 bola tinggi dimenangi untuk setiap 90 minit perlawanan.

Ia adalah statistik yang mengkagumkan buat pemain yang kelihatan bakal tersisih sebelum ini.

(Photo by Clive Mason/Getty Images)

Jose Mourinho pernah menyamakan keupayaan dan kualsiti yang dimiliki oleh Phil Jones dengan bekas kapten England dan Chelsea, John Terry.

“Phil mempunyai kepantasan yang lebih baik daripada John. John mempunyai kualiti yang lebih baik dari Phil dalam perebutan bola di udara. Kedua-duanya adalah jenis pemain pertahanan yang berbeza.”

“Satu-satunya persamaan yang ada pada kedua-dua pemain ialah kesungguhan untuk mereka bertahan. Itulah kualiti yang saya gemari.”

Kata-kata Mourinho ini jelas menggariskan kepercayaannya terhadap Phil Jones. Maka tidak hairanlah Phil Jones kini berada di prestasi terbaiknya sejak menyertai Manchester United pada musim panas 2011.

4. Anthony Martial vs Marcus Rashford

Marcus Rashford telah memulakan 6 daripada 7 aksi awal EPL, menjaringkan 5 gol dan menghasilkan 4 bantuan gol melangkaui semua pertandingan setakat ini.

Pada masa yang sama, Anthony Martial telah beraksi dalam 9 perlawanan untuk Manchester United. Melalui 370 minit aksi di atas padang, bintang muda Perancis ini juga telah menjaringkan 5 gol dan menghasilkan 6 bantuan gol.

Siapakah yang lebih hebat? Siapakah yang lebih layak untuk digandingkan bersama Romelu Lukaku dan Henrikh Mhkitaryan? Atau wajarkah kedua-duanya digandingkan bersama untuk perlawanan-perlawanan seterusnya?

(Photo by Dan Mullan/Getty Images)

Pada usia yang muda, hanya masa akan menentukan sekiranya Rashford dan Martial akan mengepalai jentera serangan United. Namun jika soalan siapakah yang lebih berhak untuk berada di dalam kesebelasan utama menjadi persoalan, maka sistem penggiliran yang diamalkan oleh Jose Mourinho adalah kaedah terbaik.

Pada jendela perpindahan musim panas lalu Mourinho dikhabarkan ingin mendapatkan khidmat Ivan Perisic daripada Inter Milan. Kedegilan Inter untuk memasukkan Martial sebagai sebahagian daripada urus niaga tersebut, membatalkan niat Mourinho.

Kini Jose Mourinho dan Manchester United menikmati hasil impak positif yang dijelmakan kedua-dua pemain. Ternyata persaingan di antara kedua-dua pemain ini telah menjelmakan kesungguhan daripada kedua-dua pemain.

Jose Mourinho kelihatan akan mengekalkan percaturan sebegitu untuk Rashford dan Martial untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

5. ‘Win Ugly’, taktikal bola tinggi & ‘park the bus’

Buat masa ini, musim 2017/18 bermula dengan baik sekali untuk Manchester United. United mampu memenangi perlawanan yang mereka seri atau kalah pada musim sebelumnya.

21 gol daripada 7 perlawanan EPL, dan 7 lagi gol dari pertandingan UCL menunjukkan keupayaan dan ketajaman jentera serangan United pada musim ini- kontra dengan permasalahan menjaringkan gol pada musim sebelumnya.

Semuanya kelihatan sangat mudah buat Jose Mourinho dan pasukannya buat masa ini. Namun demikian, akan tiba perlawanan-perlawanan sukar pada masa akan datang.

Pada ketika itulah karakter sebenar pasukan ini akan diuji. Sedikit sebanyak karakter tersebut mulai diperagakan pada musim ini. Kemenangan sukar 0-1 ketika berhadapan dengan Southampton di St.Mary adalah salah satu contoh.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

United juga perlu bangkit untuk mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Bet365 ketika berhadapan dengan Stoke. Di dalam kedua-dua perlawanan, Manchester United pasca Sir Alex seakan-akan hilang arah.

Perlawanan yang seharusnya mampu berakhir dengan 1 mata akan berakhir dengan kekalahan. Manakala perlawanan yang seharusnya dimenangi akan berakhir dengan seri.

Taktikal bola tinggi dan bertahan gaya ‘park the bus’ Jose Mourinho turut sentiasa dikritik lawan. Tetapi Mourinho adalah pengendali yang mementingkan keputusan. Bukankah bola sepak juga merupakan sejenis pelaburan yang berasaskan ‘result-oriented’?

Jelas Jose Mourinho turut mempunyai barisan pemain tinggi lampai untuk tugasan sebegitu dan seperti Sir Alex, Mourinho tidak mempedulikan pengkritiknya.

Satu perkara yang pasti ialah setiap pasukan tampil dalam perlawanan untuk mencari kemenangan.

Rumusan

Apa pendapat anda? Mampukah Jose Mourinho mengembalikan dominan Manchester United seperti mana ketika era Sir Alex Ferguson?

Nyatakan pendapat anda di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN