5 Sebab Kita Harus Yakin Harimau Malaya Akan Rangkul Emas Sukan SEA 2017

Harimau Malaya dan Garuda Indonesia. Ada yang memanggilnya ‘Derbi Nusantara’. Ada juga yang menggelarnya ‘Derbi Serumpun’. Anda boleh menggelarkan perlawanan semalam apa sahaja.

90 minit yang mendebarkan. 95 minit jika ia ditambah dengan masa kecederaan yang diberikan pengadil. Pertembungan di antara Malaysia dan Indonesia di peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA ke-29, berakhir dengan penuh dramatik, memihak kepada Malaysia.

Menang kesemua 4 perlawanan di peringkat kumpulan, menjaringkan 10 gol dan bolos 4 gol, Indonesia turut menjadi mangsa terbaru skuad Harimau Malaya di peringkat separuh akhir Sukan SEA ke-29.

Thailand yang menanti di perlawanan akhir bukan calang-calang pasukan. Tetapi sebagai penyokong pasukan negara, kita punyai pelbagai sebab untuk optimis, pingat emas temasya Sukan SEA kali ini bakal milik kita.

Melalui artikel ini, kami gariskan 5 sebab mengapa rakyat Malaysia amnya, harus yakin pasukan Gajah Perang akan menjadi mangsa seterusnya Harimau Malaya:

1. Sentuhan berbisa N. Thanabalan (Thunder-Balan!)

Nama N. Thanabalan terus hangat menjadi sebutan penyokong bola sepak di Malaysia tatkala saingan acara bola sepak di Sukan SEA ini semakin rancak menuju ke perlawanan akhir.

Jujurlah kepada diri sendiri. Nama pemuda berusia 22 tahun yang beraksi bersama Felcra FC ini kurang kita kenali sebelum membintangi skuad kendalian Ong Kim Swee.

Bermula dengan 1 gol ketika menentang Singapura, ketajaman Thanabalan diteruskan dengan 2 gol ketika menentang Myanmar. Gol ke-4 Thanabalan pada malam tadi menjamin misi emas Malaysia terus berada di landasan yang betul.

N.Thanabalan

Apa yang menariknya mengenai pemain ini adalah kebijaksanaan dan kerajinannya untuk mencari ruang sama ada untuk menjaring atau pun untuk tujuan bantuan gol.

Posisi asal beliau adalah di sayap kanan. Tetapi kebolehan ‘positioning’ di dalam kotak penalti lawan menyebabkan kelibat beliau disamakan dengan penyerang-penyerang terkemuka di dunia seperti Filipo Inzaghi dan juga Ruud van Nistelrooy.

4 gol jaringan beliau sepanjang temasya Sukan SEA meletakkan Thanabalan sebaris dengan Nguyen Cong Phuong (Vietnam) dan juga Thu A. (Myanmar).

Sudah pasti Ong Kim Swee menagih sentuhan emas daripada N.Thanabalan di perlawanan akhir pada Selasa nanti.

2. Sentuhan emas Ong Kim Swee

Kali terakhir pasukan negara bertemu dengan Thailand di aksi perlawanan akhir Sukan SEA ialah pada 2001 ketika Malaysia bergelar tuan rumah.

Stadium Shah Alam menjadi saksi kepada kekalahan 1-0 Malaysia di halaman sendiri kepada Thailand dalam temasya edisi  ke-21 itu.

Untuk edisi ke-29 paada temasya yang sama, sudah pasti Malaysia tidak mahu berputih mata ketika menyambut kunjungan Thailand di Stadium Bukit Jalil pada Selasa nanti.

Photo by Mohammad Nur Ridzuan /www.asiana.my

Untuk itu, Malaysia memerlukan pengalaman. Dan kita tidak boleh nafikan Datuk Ong Kim Swee adalah individu paling layak dan berpengalaman untuk mebawa skuad muda negara memburu emas.

Ketika mengemudi Malaysia memenangi emas 6 tahun yang lalu di Jakarta, Malaysia berada di dalam kumpulan yang lebih sukar. Thailand, Singapura, Kemboja dan juga tuan rumah Indonesia diundi bersama-sama di dalam Kumpulan A.

Selepas seri 0-0 menentang Singapura di perlawanan pertama, Malaysia bangkit menewaskan Thailand, Kemboja dan juga tuan rumah Indonesia untuk mengakhiri peringkat kumpulan di tempat pertama.

Skuad muda negara menyingkirkan saingan Myanmar di peringkat separuh akhir sebelum sekali lagi mengecewakan Indonesia di pentas final di hadapan puluhan ribu penyokong lawan di Stadium Gelora Bung Karno.

Malaysia meraikan kejuaran Sukan SEA 2011 selepas menumbangkan Indonesia. Foto: The Sun Daily

Di temasya ke-29 ini, Ong Kim Swee sekali lagi bertindak cemerlang dalam taktikal pasukan, khususnya ketika menentang Singapura dan juga Myanmar, sebelum menumpaskan Laos untuk memastikan rekod kemenangan bersih di peringkat kumpulan.

Tampil sekali lagi di pentas perlawanan akhir sebagai tuan rumah, kita pasti Ong Kim Swee punyai pelan dan ramuan taktikalnya yang tersendiri untuk menghantar Gajah Perang pulang berputih mata.

3. Penyokong sebagai pemain No.12

Stadium Shah Alam dipenuhi ketika perlawanan menentang Singapura, Myanmar dan juga Indonesia oleh penyokong-penyokong Harimau Malaya.

Ong Kim Swee pernah menyeru agar penyokong datang membanjiri stadium untuk memberi sokongan kepada barisan pemain-pemainnya menjelang sepak mula menentang Brunei pada 14 Ogos yang lalu.

Ternyata penyokong Harimau Malaya tidak mengecewakan. Kehadiran mereka terutama dalam perlawanan-perlawanan penting membabitkan pasukan negara memberikankan tiupan semangat yang amat diperlukan oleh pasukan negara.

Walaupun terdapat insiden yang tidak sedap didengar melibatkan penyokong negara khususnya ketika menentang Myanmar, rata-rata penyokong Malaysia datang dengan semangat cintakan negara.

Pertemuan dan keputusan kumpulan penyokong ‘Ultras Malaya’ dan FAM untuk memastikan tiada lagi sorakan berunsur hinaan juga wajar dipuji, dalam memastikan tujuan penganjuran temasya Sukan SEA terus dihormati oleh setiap negara yang terlibat.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang berwajah baharu mempunyai kapasiti yang lebih besar berbanding Stadium Shah Alam. Sudah pasti peranan penyokong sebagai pemain No.12 di atas padang, sekali lagi ditagih untuk memastikan misi emas sukan bola sepak tercapai.

4. Stadium Nasional Bukit Jalil- ‘Home of Harimau Malaya’

Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibina sempena Sukan Komanwel 1998 sudahpun berusia 19 tahun. Sejak daripada itu, stadium berkenaan digelar sebagai kandang kepada skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun stadium berkenaan ditutup untuk penggunaan untuk tujuan naik taraf sejak 2016. Selesai naik taraf Fasa 1, stadium berkenaan kini mampu memuatkan sehingga 90,000 penonton berbanding 87,411 sebelumnya dengan pelbagai kemudahan berkelas dunia yang lain.

Kali terakhir pasukan Malaysia beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil ialah ketika melayan kunjungan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada 2015.

Selepas lebih 2 tahun tidak beraksi di stadium kebanggaan rakyat Malaysia- juga terbesar di rantau Asia Tenggara, sudah pasti pasukan B-23 tahun negara mahu kembali ke rumah asal dengan kilauan pingat emas.

Gempita kegemilangan ketika menewaskan Indonesia 3-0 dalam pertandingan Piala AFF 2010 pasti ingin diulangi kembali oleh penyokong pasukan negara.

Pentas dan podium Stadium Nasional Bukit Jalil sudah bersedia untuk satu lagi malam gemilang buat Harimau Malaya.

5. Sokongan Tunku Mahkota Johor (TMJ)

Anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza dengan kami. Anda mungkin mempersoalkan ketidakhadiran baginda dalam perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan negara.

Tetapi anda tidak boleh menafikan bahawa Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor sentiasa menjadi pendorong utama kepada pemain-pemain di bawah kendalian baginda untuk mencapai kejayaan.

Kapten JDT, Safiq Rahim pernah mendedahkan TMJ sentiasa memberikan motivasi kepada pemain-pemainnya untuk mencapai kejayaan. Kami percaya perkara serupa juga berlaku di dalam skuad negara untuk temasya Sukan SEA ini.

Baru-baru ini, DYAM Tunku Presiden FAM sempat bertemu dengan barisan pemain dan pegawai pasukan skuad Sukan SEA untuk memberikan kata semangat dan dorongan kepada pasukan.

Kredit: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Facebook

Sebelum ini, ayahanda kepada TMJ, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan sebanyak RM4 juta kepada skuad yang sama kerana berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China.

Ini adalah perlawanan akhir pertama pasukan kebangsaan yang mewakili negara di dalam bola sepak sejak TMJ mengambil alih tampuk pengurusan FAM pada Mac yang lalu.

Sudah pasti kejayaan emas adalah permulaan yang baik pada tahun pertama Baginda menerajui FAM.

Insentif? Kami tidak mengandaikan apa-apa.

Rumusan

Thailand merupakan antara sebuah pasukan yang terkuat bagi acara bola sepak pada temasya Sukan SEA ke-29 ini.

Berdasarkan 5 perkara yang kami sebut di atas, kami percaya pasukan negara juga punyai ramuan tersendiri untuk merangkul pingat emas. Garuda sudah dijinakkan. Kini gelaran Gajah Perang Thailand untuk ditumbangkan.

Ayuh kita berikan sokongan kepada pasukan negara.

Bangkit Bersama mu Harimau Malaya!

Leave a Reply