5 Perlawanan Skuad Harimau Malaya Yang Merekodkan Lebih Dari 5 Gol

Harimau Malaya

Sekalung tahniah buat skuad Harimau Malaya atas kemenangan sulung selepas 12 perlawanan. Mereka wajar diberikan kredit waima lawan mereka cuma pasukan di ranking ke-188 dunia.

Kemenangan ini memberikan motivasi yang baik kepada pengurusan dan pemain ketika dalam proses pembentukan pasukan baharu di bawah kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Malaysia merekodkan jumlah jaringan yang besar dengan 7 gol dihasilkan dan tidak dinafikan, mereka mampu meledak lebih dari itu jika R. Kogileswaran berjaya menyempurnakan percubaannya.

Harimau Malaya Bhutan
Foto: NST

Selepas menang 3-2 ke atas Kemboja pada saingan Piala AFF Suzuki 2016, Malaysia gagal meledak lebih daripada 1 gol setiap perlawanan, kecuali ketika terikat 2-2 menentang Mongolia tempohari.

Harimau Malaya pernah merekodkan kemenangan terbesar iaitu di Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran, di mana Malaysia berpesta gol ke atas jiran Asia Tenggara, Filipina dengan keputusan 11-0.

Selain dua perlawanan tersebut, berikut merupakan senarai 5 perlawanan skuad kebangsaan yang berjaya merekodkan lebih dari 5 gol untuk satu-satu perlawanan.

5) Jun 2007: Malaysia 6-0 Kemboja (Persahabatan)

Malaysia ketika itu dalam rangka persediaan untuk ke kejohanan Piala Asia 2007, di mana Malaysia menjadi tuan rumah bersama-sama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Kemboja merupakan antara lawan terakhir buat skuad kebangsaan sebelum membuka tirai aksi Kumpulan C, Piala Asia 2007, menentang China pada 10 Julai.

Selain Kemboja, Malaysia juga telah menentang UAE dan Jamaica di mana Malaysia tewas dalam kedua-dua aksi tersebut. Malaysia tunduk 1-3 kepada UAE dan 0-2 kepada Jamaica.

Malaysia Kemboja
Aksi Indra Putra ketika menentang Kemboja. Foto: Utusan.

Tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi persahabatan di Australia, Kemboja telah menjadi mangsa amukan anak buah ketua jurulatih ketika itu, Norizan Bakar.

Walaubagaimanapun, Malaysia hanya mampu menjaringkan satu gol pada babak pertama hasil jaringan jarak jauh dari pertahanan kiri, Rosdi Talib pada minit ke-23.

Gol Harimau Malaya pada malam tersebut turut dijaringkan oleh Ivan Yusof, Hairuddin Omar, Aidil Zafuan dan dua gol peribadi penyerang, Eddy Helmi Manan.

4) Oktober 2008: Malaysia 6-0 Afghanistan (Pestabola Merdeka)

Harimau Malaya telah berpesta gol apabila menang 6-0 ke atas Afghanistan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dalam kejohanan Pestabola Merdeka edisi ke-40.

Selepas menang 4-0 ke atas Nepal dan Sierra Leone B-20, Malaysia berada dalam mood terbaik untuk berdepan dengan pasukan di ranking ke-182 dunia ketika itu, Afghanistan.

Ashaari Shamsuddin membuka tirai jaringan pada minit ke-22, diikuti oleh Nizaruddin Yusof dan Zaquan Adha untuk menamatkan babak pertama dengan keputusan 3-0.

Malaysia Afghanistan
Aksi Malaysia menentang Afghanistan. Foto: ZULKARNAIN MOHD SAIDIN/Utusan

Gol tersebut merupakan gol ketiga Zaquan di peringkat antarabangsa selepas meledak gol pertamanya ketika menewaskan Pakistan, 10 hari sebelum itu.

Ashaari kemudian meledak sekali lagi untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-64, sebelum dua lagi gol disumbat oleh peledak ikonik negara, Safee Sali dan Hairuddin Omar.

Harimau Malaya dalam persediaan menghadapi Piala AFF Suzuki 2008 dan Pestabola Merdeka adalah medan ujian buat skuad kendalian B. Sathianathan sebelum berangkat ke Thailand.

3) September 2009: Malaysia 5-0 Lesotho (Persahabatan)

Lesotho adalah sebuah pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), ketika itu berada di ranking ke-160 dunia, sementara Malaysia berada pada kedudukan ke-152 dunia.

Ketua jurulatih negara ketika itu, Datuk K. Rajagobal telah membawa skuad yang terdiri daripada 100% pemain berumur 23 tahun ke bawah antaranya Zaquan Adha dan Safiq Rahim.

Sementara Lesotho pula yang ketika itu di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Leslie Notsi, telah membawa skuad yang dibarisi oleh gabungan pemain muda dan senior.

Malaysia Lesotho
Aksi Zaquan Adha ketika menentang Lesotho. Foto: Kosmo

Stadium MBPJ telah menjadi saksi bagaimana skuad muda negara berjaya meledak lima gol tanpa balas ke atas Lesotho. Itu merupakan pertembungan pertama kedua-dua pasukan.

Namun, Malaysia hanya berjaya mengegar jaring pada minit ke-41 hasil jaringan penyerang, Zaquan Adha, selepas kesilapan dilakukan oleh pertahanan dan penjaga gol mereka.

Gol-gol Malaysia juga telah dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha, Amirulhadi Zainal dan dua gol daripada Abd Manaf Mamat. Aksi persahabatan itu adalah antara persediaan Sukan SEA 2009.

2) Disember 2010: Malaysia 5-1 Laos (Piala AFF Suzuki 2010)

Ini merupakan tahun di mana Malaysia telah meraih kejuaraan pertama dan terakhir Piala AFF Suzuki. Malaysia tumbang 1-5 kepada Indonesia dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Indonesia meneruskan rentak kemenangan besar pada perlawanan kedua kumpulan dengan membelasah Laos 6-0, sementara Malaysia pula terikat tanpa jaringan menentang Thailand.

Selepas dua perlawanan, Malaysia berada di belakang Thailand dengan satu mata dan hanya kemenangan akan merubah nasib mereka sambil mengharapkan Indonesia mengalahkan Thailand.

Malaysia Laos
S. Kunanlan ketika menentang Laos. Foto: AFFSuzukiCup

Malaysia berjaya menundukkan Laos dengan keputusan 5-1, sementara Indonesia menang 2-1 ke atas Thailand. Amri Yahyah menyumbang dua gol untuk kebangkitan bergaya tersebut.

Selepas gol pertama Amri pada minit ke-4, Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan penyamaan oleh penyerang Laos, Lamnao Singto, empat minit kemudian.

Selain dua gol Amri, gol Malaysia turut disumbang oleh Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli.

Selepas itu, Malaysia meneruskan kemaraan sehingga ke pentas akhir lalu menjuarai kejohanan tersebut.

1) April 2012: Malaysia 6-0 Sri Lanka (Persahabatan)

Tanpa beberapa pemain senior antaranya Norshahrul Idlan Talaha dan Baddrol Bakhtiar serta dibarisi oleh pemain-pemain muda, skuad Harimau Malaya berjaya menang besar ke atas Sri Lanka.

Perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam dengan penyerang Hazwan Bakri telah membuat debut impian apabila berjaya meledak hatrik dalam penampilan sulung antarabangsanya.

Datuk K. Rajagobal ketika itu dalam persediaan untuk menghadapi kejohanan AFF Suzuki 2012 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah bersama-sama Thailand.

Malaysia Sri Lanka
Foto: Osman Adnan

Tanpa tonggak senior, Hazwan Bakri dan Wan Zack Haikal telah berjaya mencuri tumpuan semua. Gol pertama dan kedua terhasil pada minit ke-25 dan 26, hasil jaringan pantas Wan Zack.

Itu juga merupakan gol antarabangsa pertama buat pemain Harimau Muda itu. Kombinasi baik Wan Zack bersama Safiq Rahim adalah kunci untuk kedua-dua gol tersebut.

Selepas itu, Hazwan mula garang dan mencetak gol pertama antarabangsanya pada minit ke-73, 83 dan melengkapkan hatriknya pada penghujung perlawanan.

Penutup

Itu adalah senarai 5 perlawanan di mana skuad kebangsaan telah berjaya merekodkan lebih dari 5 gol untuk satu-satu perlawanan. Kini, Bhutan juga telah memasuki carta ini.

Kemenangan akan membaiki moral pasukan dan menjaringkan banyak gol akan meningkatkan motivasi pemain. Kemenangan juga memberikan nikmat sokongan kepada penyokong.

Malaysia Lesotho Penyokong
Ahli HarimauMalaya.Com ketika perlawanan menentang Lesotho. Foto: Facebook Zaim.

Penulis pernah berada di stadium ketika skuad kebangsaan merekodkan kemenangan ke atas Lesotho. Ketika itu, penulis turun bersama-sama komuniti HarimauMalaya.Com dan Ultras Malaya.

Semoga pesta gol kali ini akan menyembuh dan mengembalikan semangat kepada skuad negara. Apa pun, kemarau kemenangan sepanjang 12 perlawanan telah berjaya diatasi.

Anda pernah berada di stadium dalam salah satu dari 5 perlawanan yang telah penulis senaraikan? Atau anda rasa ada perlawanan lain yang penulis tidak senaraikan. Kongsikan bersama kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN