Chelsea mengharungi jendela perpindahan musim panas yang dipalit dengan beberapa masalah berjaya melengkapkan dua pembelian pemain terbaru apabila Danny Drinkwater dan Davide Zappacosta sah bersama The Blues.
Umum mengetahui Drinkwater merupakan pemain yang sudah dikenali di Liga Perdana Inggeris manakala kualiti yang dimiliki Zappacosta masih belum terbukti di liga paling popular di dunia ini.
Jadi, siapa dia Zappacosta ? dan mengapa juara Liga Perdana Inggeris itu sanggup untuk membayar sekitar £ 23 juta bagi mendapatkan pemain dari Torino ini?
Ini merupakan 5 perkara yang peminat Chelsea terutamanya perlu tahu mengenai Davide Zappacosta :
1) Beliau merupakan pakar penghantar bola lintang
Keputusan Chelsea untuk membeli Zappacosta, 25, pada hari Khamis lalu menyebabkan perbandingan segera dengan Marcos Alonso, seorang lagi sayap ditandatangani dari Serie A pada hari akhir perpindahan musim panas lalu.
Pembelian Alonso musim lalu juga digelar sebagai ‘pembelian panik’ oleh sesetengah pihak. Namun Alonso membuktikan kualiti yang dimiliki oleh beliau.
Kedua-dua pemain itu mempunyai ketinggian luar biasa iaitu Alonso adalah 6 kaki 2 inci, Zappacosta adalah 6 kaki 1 inci.
Fizikal baik disertakan dengan teknik yang hebat memberikan kelebihan buat pemain ini.
Zappacosta juga merupakan pengambil sepakan percuma yang hebat, walaupun begitu beliau harus untuk merebut peluang tersebut kerana Chelsea mempunyai ramai pemain yang mampu melakukan sepakan percuma dengan baik.
Beliau juga jauh lebih pantas berbandingAlonso dan mungkin lebih menarik untuk melihat bagaimana Zappacosta menyesuaikan diri dengan sistem 3-4-3 Antonio Conte serta mampu melakukan hantaran lintang yang lebih baik.
Musim lalu, Zappacosta mencatatkan lima bantuan jaringan dalam Serie A untuk Torino dan menurut Whoscored, satu-satunya pemain pertahanan yang membuat hantaran lintang yang lebih tepat ketika permainan terbuka daripada Zappacosta (47) antara Januari 2016 dan Mei 2017 adalah pemain Juventus Alex Sandro, seorang lagi sasaran utama Conte pada musim panas ini.
Hantaran lintang yang baik dimiliki Zappacosta pasti akan lebih memudahkan tugas Alvaro Morata yang semakin menunjukkan beliau mampu beraksi dengan baik di England.
2) Sudah lama mengagumi Liga Perdana Inggeris
Kembali beraksi di Seria A pada musim panas tahun 2015 bersama Atalanta, Zappacosta menjadi pemain yang menarik minat beberapa kelab di Itali dan juga di luar negara, antaranya termasuklah Liverpool.
Ditanya oleh Sky Italia mengenai kemungkinan perpindahan ke Anfield, beliau menjawab: “Ia akan menjadi impian untuk bermain di Liga Perdana Inggeris, tetapi saya tidak tahu adakah benar atau realistik mengenai cerita ini. Saya berpijak di bumi yang nyata, tetapi saya pasti berasa bersedia untuk pengalaman di luar negara.
“Saya mahu mencabar diri saya di peringkat teratas di peringkat antarabangsa. Jika tawaran datang dari sebuah kelab besar, saya akan bersemangat untuk membuktikan apa yang boleh saya lakukan.”
Torino akhirnya memenangi pertarungan untuk menandatangani Zappacosta dan dua tahun kemudian Liverpool terlepas untuk mendapatkan khidmat beliau yang berpindah ke Chelsea.
3) Menggantikan Darmian di Torino
Banyak pihak di Itali menganggap Zappacosta sebagai pemain yang lebih berbakat berbanding Darmian yang dipilih jurulatih Itali, Gian Piero Ventura untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Sepanyol dan Isreal meskipun mendapat peluang yang terhad di United musim ini.
Kini peluang terbuka luas Davide Zappacosta untuk mengubah keadaan itu sebagai pemain Chelsea, manakala Darmian menghadapi pertempuran untuk meyakinkan Jose Mourinho.
4) Conte mengenali beliau dan menyukainya
Zappacosta diberikan pengalaman apabila menyertai persediaan awal pasukan Itali oleh Conte, yang menamakannya dalam skuad 30 pemain untuk Euro 2016 di Perancis.
Pemain pertahanan kanan baru Chelsea itu tidak berjaya menembusi skuad 23 orang pemain utama, tetapi Conte memilihnya bersama pemain muda iaitu Marco Benassi dan Daniele Rugani untuk menjadi senarai pemain simpanan.
Kebiasaannya, pemain simpanan ini akan pulang ke rumah selepas perlawanan pembukaan pasukan, tetapi Conte meminta agar Zappacosta, Benassi dan Rugani bersama pasukan untuk merasai pengalaman pertandingan antarabangsa yang pertama buat mereka.
Zappacosta kemudiannya diturunkan empat kali oleh pengganti Conte, Ventura dan berjaya menghasilkan bantuan gol dengan hantaran lintang kepada Ciro Immobile dalam kemenangan 2-0 ke atas Piala Dunia Itali ke atas Albania pada Mac lalu.
5) Merupakan peminat setia Juventus
Kembali pada tahun 2015, ketika beliau masih merupakan anak muda Atalanta, Zappacosta menyatakan kesetiaannya dalam wawancara dengan Tuttosport.
“Ini satu penghormatan bagi saya [dikaitkan dengan Juventus], juga kerana seluruh keluarga saya adalah peminat Juve,” katanya. “Jika saya terpaksa memilih, saya akan memilih Juventus.”
Memandangkan Conte adalah legenda Juventus, Davide Zappacosta sepatutnya tidak mempunyai masalah bekerjasama erat dengan jurulatih barunya itu.
Sumber :