Hari ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memperkenalkan kepada umum sebuah aplikasi terbaharu untuk arena bola sepak tempatan yang dikenali sebagai Shoot!
Ia dihasilkan menerusi kerjasama bersama Ingres Technologies Sdn Bhd (Ingres), sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka yang khusus dalam pembangunan perisian, sistem integrasi dan infrastruktur telekomunikasi di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, kedua-dua pihak telah mengikat perjanjian selama lima tahun bermula pada 2021 dengan syarikat berkenaan akan bertindak sebagai pembangun aplikasi tersebut.
Ayuh kita terokai lima perkara tentang aplikasi Shoot! ini terlebih dahulu.
1. Bukan yang pertama di Malaysia
Aplikasi ini bukanlah yang pertama untuk arena bola sepak tempatan. Sebelum ini sebuah aplikasi yang diberi nama MFL telah diperkenalkan dengan memiliki fungsi-fungsi yang hampir sama. Ia mula diperkenalkan pada musim 2019.
Ia merupakan kerjasama antara MFL dengan Fanskick.com dan ketika itu dikhabarkan akan turut menyediakan permainan Football Manager Liga Malaysia. Tetapi, hampa!
Selain itu, syarikat berkenaan dikatakan akan turut menyediakan statistik daripada InStat yang akan diberikan secara percuma kepada semua pasukan, dimana akan membantu setiap pasukan untuk membuat analisis dan juga persediaan.
2. Menawarkan pakej yang hampir sama
Menurut kenyataan daripada pihak MFL, aplikasi Shoot! nanti akan menawarkan segala berita, info dan kandungan bola sepak Malaysia. Sebagaimana aplikasi MFL terdahulu, ia menawarkan perkara yang hampir sama sahaja iaitu:
- Sorotan perlawanan liga
- Statistik perlawanan
- Maklumat perlawanan terkini
- Berita rasmi MFL
3. Pakej ‘Extra’ yang baharu
Selain itu, terdapat juga pakej-pakej baharu di dalam aplikasi Shoot! ini yang mungkin akan memberikan perbezaan berbanding aplikasi MFL sebelum ini.
- Berita tentang e-MFL, pasukan kebangsaan lelaki mahupun wanita, pasukan bola sepak pantai, futsal serta pertandingan anjuran FAM
- Sistem ‘e-commerce’ yang akan dibangunkan kemudian
- Dapat ganjaran apabila setiap kali menggunakan aplikasi
- Kelab-kelab Liga Malaysia dapat menjana pendapatan baharu
MUAT NAIK TIKET ANDA SEKARANG DI MFL VIP!
Kini anda boleh memuat naik nombor siri tiket dari perlawanan LP1-LP6 serta LS1-LS6 sehingga 28 Mac 2019.
Muat turun aplikasi MFL sekarang di Apple App Store dan Google Play Store.#MFLapp ⠀⠀#1stopfootballfix ⠀⠀#basicallyBOLA pic.twitter.com/z7RqydPkGC
— MFL APP (@mfl_app) March 20, 2019
4. Menjanjikan ‘engagement’ yang luar biasa
Dengan segala perkara yang dijanjikan itu, MFL dan juga Ingres mengharapkan aplikasi ini akan memeriahkan arena bola sepak tempatan. Ia bukan sahaja akan menyediakan berita dan pakej-pakej yang disebutkan tadi, malah ia juga merangkumi elemen-elemen yang lebih menghiburkan serta ‘fan engagement’ yang luar biasa.
Ia juga akan dapat mengeratkan hubungan antara penyokong dan pasukan, yang mana mereka akan terasa lebih dekat dengan kelab kesayangan masing-masing.
5. Belum boleh dimuat turun lagi
Sekejap! Jangan cari untuk muat turun terlebih dahulu kerana ia belum lagi dilancarkan secara rasmi. Menurut MFL, aplikasi Shoot! akan dilancarkan pada hujung bulan ini dengan semua penyokong akan dapat memuat turunnya pada bulan hadapan.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MFL dan Ingres berlangsung hari ini dengan MFL diwakili Dato’ Ab Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Ingres, Dato’ Emil Rinaldi Sjaiful sambil disaksikan oleh Presiden MFL Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin serta Pengarah Eksekutif Ingres, Faris Lodin.
KREDIT FEATURED IMAGE: MFL
Baca lagi artikel lain mengenai MFL:
MFL Perkenal Logo & Tarikan Baharu Bagi Meriahkan Saingan Liga Malaysia 2019
3 Persoalan Perlu Dijawab MFL Selepas Pendedahan Oleh The Vibes
Tindakan MFL Sehingga Batalkan Piala FA Dilabel Sebagai ‘Pemalas’