Kecederaan pemain utama, Mohamed Salah untuk Liverpool dan Dani Carvajal bagi Real Madrid.
Ini diikuti oleh dua kesilapan oleh penjaga gal Liverpool, Loris Karius sambil diselang seli oleh gol cantik daripada Gareth Bale, dan percubaan Sadio Mane yang sendirian cuba menghidupkan peluang Liverpool di bahagian serangan.
Ini adalah 5 perkara yang boleh kami simpulkan melalui perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) yang berlangsung pada awal pagi tadi.
1. Sergio Ramos: Pakar sisi gelap bola sepak
Pilih. Anda boleh membenci pemain ini atau menggemarinya. Seperti kata pepatah Inggeris: ‘For every hero, there must be a villain. Yang membawa maksud, untuk setiap kumpulan pahlawan, akan ada seorang yang berpewatakan jahat.
Di dalam skuad Real Madrid, Sergio Ramos menepati profail pepatah tersebut. Tidak ramai pemain ternama di Eropah dan dunia yang mampu menguasai sisi hitam permainan bola sepak seperti Ramos.
Steve McManaman pernah memberikan komen mengenai Ramos: “Ramos tahu setiap helah di dalam buku. Malah Ramos adalah pencipta kebanyakkan daripada helah di atas padang.”
Mungkin sukar untuk menyalahkan pemain antarabangsa Sepanyol itu untuk kecederaan yang dialami oleh Mohamed Salah. Tetapi Ramos sedar dan tahu apa yang perlu dilakukannya untuk mengunci pergerakan Salah.
Cara Ramos menarik lengan kanan penyerang Mesir itu menggunakan lengan kiri dan kelebihan fizikal yang dimiliki oleh beliau berbanding pemain Liverpool itu sudah cukup memastikan Salah tidak mampu bebas tanpa kawalan di kawasan pertahanan Madrid.
Kemudian, cara Ramos jatuh dan menghempap Salah menamatkan terus cabaran pemain paling berbahaya di atas padang buat Liverpool.
Kita mungkin bersimpati dengan Salah. Namun bagi pemain pertahanan berusia 32 tahun yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kejayaan pasukannya, ia adalah tugas yang sudah diselesaikan.
Ramos sengaja menjatuhkan Salah. Namun untuk membuatkan pemain itu menamatkan saingan lebih awal, ia bagaikan bonus dalam perlawanan ini buat Madrid.
2. Kepentingan Karim Benzema
Terdapat teori yang mengatakan Benzema terus berada di Estadio Santiago Bernabeu walaupun tidak menjaringkan cukup gol adalah kerana pemain itu ialah anak emas kepada Presiden kelab, Floentini Perez.
Realitinya, ia adalah kerana peranan pemain dari Perancis itu di dalam pasukan yang menjadikan pemain seperti Cristiano Ronaldo dan lain-lain beraksi dengan lebih baik.
Benzema bukan penyerang yang prolifik. Musim ini, beliau hanya menjaringkan lima gol di La Liga pada musim ini. Selama sembilan musim di Madrid, Benzema hanya menjaringkan lebih daripada 20 gol dalam dua musim.
Setelah Bale menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan membabitkan Real Madrid, terdapat perkhabaran Bale akan memulakan perlawanan terlebih dahulu tanpa Benzema.
Namun untuk perlawanan besar seperti ini, Zidane lebih percayakan Benzema. Benzema pantas menyambar tandukan muntah oleh Ronaldo sebelum gol tersebut dibatalkan akibat offside.
Enam minit selepas babak kedua bermula, Benzema menggunakan pengalaman yang dimilikinya untuk meletakkan Real Madrid di hadapan. Ia tampak komikal, namun Benzema berjaya merealisasikannya.
3. Gareth Bale buktikan kemampuannya
Spektakuler! Itulah definisi kepada kecantikkan gol pertama Gareth Bale yang kembali meletakkan Madrid 2-1 di hadapan selepas jaringan penyamaan Sadio Mane.
Masa hadapan penyerang sayap berusia 28 tahun ini sentiasa berada di dalam keadaan tidak ketentuan, dan ia bakal berulang pada musim panas akan datang.
Buat masa ini, khabar angin bertiup kencang menyatakan Bale bakal meninggalkan Bernabeu untuk ke Old Trafford.
Sebelum dua gol pada malam tadi, Bale turut mengingatkan kebolehan yang dimilikinya ketika menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Barcelona pada Mei lalu.
Jaringan pertama menentang Liverpool pada malam tadi Bale sekali lagi memperagakan kualiti individu yang dimilikinya.
Setelah melihat bola hantaran Marcelo, Bale yang membelakangkan bola pantas memusingkan badannya sebelum menggunakan kaki kirinya untuk menyambut bola dengan gaya akrobatik untuk tidak memberi peluang langsung kepada Karius.
Gol kedua Bale adalah kerana fokus dan kebijaksanaan di dalam perlawanan setelah sedar penjaga gol Liverpool itu seperti hilang fokus dan keyakinan.
Hakikatnya dua gol kemenangan tersebut dijaringkan oleh Bale dan bukan Ronaldo dan ia tiba hanya beberapa minit selepas Bale masuk menggantikan Isco.
Untuk seorang bekas pemain seperti Zinedine Zidane, beliau pastinya menyedari definisi gol yang hebat pada malam perlawanan akhir Champions League.
Satu perkara yang pasti ialah Bale sudah tidak mahu lagi berada di bangku simpanan untuk memastikan dirinya bermain setiap minggu.
“Saya mahu bermain setiap minggu. Pada musim ini, ianya tidak sebegitu.”
“Saya pernah mengalami kecederaan sehingga 5 atau 6 minggu, namun ia sudah berlalu.”
“Musim panas ini, tiba masanya untuk saya mulai berbincang dengan ejen,” ujar Bale kepada BT Sports baru-baru ini.
Bolehkah Zidane berkompromi?
4. Masalah lama jadi baru buat Klopp
Salah satu bahagian yang sering menjadi masalah untuk Jurgen Klopp sejak tiba di Anfield ialah posisi penjaga gol.
Bekas penjaga gol Mainz ini adalah penjaga gol kedua di belakang Simon Mignolet hampir keseluruhan kariernya di Anfield. Namun Klopp beralih kepada Karius setelah penjaga gol dari Belgium itu sering melakukan kesilapan.
Selepas permulaan yang kurang meyakinkan, penjaga gol berusia 24 tahun tersebut mulai menunjukkan konsistensi dengan beberapa nama seperti Alisson, Jack Butland dan Jan Oblak satu persatu lenyap sebagai pemain berpotensi ke Anfield.
Kemudian kesilapan mudah berulang kembali. Lontaran oleh Karius mudah dipintas oleh Benzema sebelum menolak masuk untuk memberi pendahuluan kepada Real Madrid. Biarlah kita jujur. Ia agak komikal.
Dan apabila keraguan mulai timbul untuk Karius beraksi dalam perlawanan besar seperti ini, Bale pula menghukum kealpaan penjaga gol tersebut dengan percubaan dari jarak 25 meter.
Kesilapan tersebut berkisar pada kekuatan mental seseorang pemain untuk perlawanan besar begini. Karius jelas belum bersedia untuk membawa Liverpool ke tahap seterusnya.
5. Firmino bukan pemain hebat tanpa Salah
Gandingan Mane-Firmino-Salah dicanang sebagai antara trio penyerang terhebat di dalam bola sepak Eropah. Analisis demi analisis dari seluruh dunia dengan variasi data ditampilkan untuk menyokong fakta tersebut.
Hakikatnya, tanpa Salah Liverpool tidak kelihatan mampu mengancam Real Madrid dalam perlawanan pada malam tadi.
Dan semuanya kerana Roberto Firmino. Selepas Salah dikeluarkan, Mane berperanan sebagai sayap kanan, tatkala Adam Lallana mengambil peranan sebagai sayap menyerang dari sebelah kiri.
Firmino kekal dengan peranan sebagai No.9 jadian.
Masalahnya ialah ketiadaan Salah bermakna Liverpool turut hilang penyudah. Paling mengecewakan, ialah prestasi Firmino.
Dengan Salah, ia membantu pemain seperti Firmino untuk beraksi dengan lebih baik. Pergerakkan Salah membenarkan Firmino membuka ruang ke kiri atau pun kanan, sekaligus turut menyumbangkan gol.
Sepatutnya pemain dengan kredibiliti Firmino mampu menggalas tanggungjawab lebih baik tanpa rakan sepasukannya itu sepertimana yang cuba dilakukan oleh Sadio Mane dalam perlawanan ini.
Namun sebaliknya yang berlaku, dan Mane kelihatan bersendirian di bahagian serangan.
Tiada percubaan tepat, dan hanya sekali berjaya melepasi pertahanan lawan, ia statistik yang amat lemah daripada pemain antarabangsa Brazil ini.
Penutup
Semuanya serba tidak menjadi buat Liverpool sejak dari mulanya. Harus diakui juga Real Madrid berada di dalam kelas tersendiri.
Tiga kejuaraan UCL berturut-turut, Los Blancos telah menjuarai lebih sedozen kejuaraan eropah sepanjang sejarah kelan tersebut.
Sudah tentu kita mahu melihat Liverpool dan beberapa kelab Inggeris yang lain tampil lebih kompetitif pada musim hadapan.